Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran rumah jagaan warga emas di Sulawesi ragut 16 nyawa

Dec 29, 2025 | 11:53 AM
Pihak berkuasa Indonesia mula menjalankan siasatan terhadap  kebakaran di sebuah rumah jagaan warga emas di Manado, Sulawesi yang mengorbankan seramai 16 orang pada malam 28 Disember.
Pihak berkuasa Indonesia mula menjalankan siasatan terhadap kebakaran di sebuah rumah jagaan warga emas di Manado, Sulawesi yang mengorbankan seramai 16 orang pada malam 28 Disember. - Foto Instagram #Manado

MANADO, Sulawesi: Seramai 16 orang maut dalam kebakaran yang melanda sebuah rumah jagaan warga emas di Manado, ibu kota Wilayah Sulawesi Utara, pada malam 28 Disember dalam satu tragedi yang menggemparkan penduduk setempat dan mencetuskan persoalan serius mengenai aspek keselamatan penghuni warga emas.

Menurut polis, kebakaran berlaku di Panti Werdha Damai yang terletak di Kelurahan Ranomuut, Kecamatan (Wilayah) Paal Dua, sekitar jam 8.36 malam waktu tempatan. Api berjaya dipadamkan kira-kira sejam kemudian selepas tiga jentera bomba milik Kerajaan Bandar Manado dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Utara (Polda Sulut), Encik Alamsyah P. Hasibuan, berkata proses pengecaman sedang dijalankan terhadap kesemua mangsa yang terkorban.
“Setakat ini, pasukan kami masih menjalankan proses pengenalan identiti semua mangsa yang meninggal dunia di Hospital Bhayangkara Polda Sulut sebelum penyelarasan lanjut dibuat dengan pihak keluarga,” katanya dalam kenyataan pada 29 Disember, seperti dipetik agensi berita Antara.

Beliau turut menggesa ahli keluarga mangsa yang berkemungkinan terlibat supaya menghubungi Pos Ante Mortem DVI di Hospital Bhayangkara Manado bagi membantu proses pengecaman.

Rakaman video yang disiarkan stesen televisyen tempatan Metro TV menunjukkan api marak membakar bangunan tersebut, dengan langit malam bertukar jingga akibat kebakaran besar. Dalam suasana cemas itu, kelihatan beberapa penduduk cuba membantu seorang warga emas keluar dari bangunan yang sedang terbakar.

Ketua Jabatan Bomba Manado, Encik Jimmy Rotinsulu, berkata kebanyakan penghuni rumah jagaan berkenaan terperangkap di dalam bangunan ketika kebakaran tercetus. “Majoriti penghuni adalah warga emas dan sebahagian besar daripada mereka tidak dapat menyelamatkan diri dengan pantas. Selain korban nyawa, tiga individu turut mengalami kecederaan akibat melecur,” katanya kepada Metro TV.

Susulan laporan kebakaran, anggota polis dari Balai Polis Tikala bersama Unit Samapta Polresta Manado segera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kawasan dan membantu operasi menyelamat.
“Anggota kami terus mengamankan tempat kejadian bagi mengelakkan gangguan keselamatan serta membantu proses pemindahan mangsa,” kata Encik Alamsyah.

Mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Daerah Manado dan Hospital Permata Bunda untuk menerima rawatan, manakala jenazah mangsa yang terkorban dipindahkan ke Hospital Bhayangkara bagi tujuan pengecaman dan pengurusan lanjut.

Pihak polis kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. Menurut Encik Alamsyah, pasukan forensik termasuk Unit Bidang Kedoktoran dan Kesihatan (Bidokkes) DVI Polda Sulut serta makmal forensik polis telah menjalankan pemeriksaan tempat kejadian dan mengumpul keterangan saksi.

“Pasukan Bidlabfor Polda Sulut sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil keterangan daripada saksi-saksi di sekitar kawasan bagi menentukan kronologi serta punca awal kebakaran,” katanya.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada kebakaran berpunca daripada masalah pendawaian, kecuaian atau faktor lain.

Pihak berkuasa tempatan dijangka menjalankan penilaian keselamatan ke atas pusat jagaan warga emas lain di Manado susulan insiden berkenaan, ketika keluarga mangsa dan orang ramai terus menuntut penjelasan serta langkah pencegahan yang lebih tegas. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg