Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Thailand rampas 2,000 pistol, 75,000 peluru

Oct 13, 2023 | 4:42 PM
TINDAKAN TEGAS: Ketua polis Thailand, Jeneral Polis Torsak Sukvimol menunjukkan salah satu daripada lebih 2,000 pistol yang dirampas hasil operasi tiga hari bagi membersihkan senjata api di Thailand.  
TINDAKAN TEGAS: Ketua polis Thailand, Jeneral Polis Torsak Sukvimol menunjukkan salah satu daripada lebih 2,000 pistol yang dirampas hasil operasi tiga hari bagi membersihkan senjata api di Thailand.   - Foto BANGKOK POST

BANGKOK: Lebih 2,000 pistol dan 75,000 peluru telah dirampas oleh polis dalam “Operasi Pembersihan Senjata” selama tiga hari susulan tragedi tembakan Siam Paragon, menurut ketua polis negara Jeneral Polis Torsak Sukvimol.

Beliau dan Leftenan-Jeneral Thana Chuwong, pemangku timbalan ketua polis negara, mendedahkan hasil operasi yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand pada Khamis, lapor The Bangkok Post.

Jeneral Torsak berkata bahawa Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, telah mengarahkan beliau untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua jenis senjata api haram di seluruh negara.

Leftenan-Jeneral Thana pula diberi tanggungjawab dalam melancarkan operasi itu.

Semua unit polis di Thailand telah ditugaskan untuk menghapuskan jenayah senjata api dan merampas senjata api haram.

Jeneral Torsak berkata bahawa fokus operasi itu adalah untuk menamatkan penggunaan senjata api dan peluru, penjualan senjata api dalam talian serta pengubahsuaian senjata api secara haram.

Operasi itu melibatkan 3,224 pencarian di seluruh negara, penahanan 1,593 suspek dan rampasan 1,789 senjata api yang tidak diperakui, pistol kosong dan senapang angin, 219 senjata api yang dimiliki secara haram dan 75,973 peluru.

Susulan tindakan itu, 79 halaman Facebook, 14 akaun TikTok, 148 X, 26 saluran YouTube dan 14 akaun Instagram telah ditutup.

Pada hari yang sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Encik Anutin Charnvirakul, memberitahu media bahawa kawalan terhadap senjata api sedang diperketatkan.

“Polis sedang menjalankan pemeriksaan senjata api di tempat-tempat tertentu manakala Kementerian Dalam Negeri telah menggantung banyak jenis sijil senjata api,” katanya.

Baru-baru ini, seorang remaja lelaki itu melepaskan beberapa das tembakan secara rambang di pusat beli-belah Siam Paragon, menyebabkan seorang pelancong China dan seorang warga Myanmar terbunuh, dan lima lagi cedera.

Para penyiasat berkata remaja itu menggunakan ‘pistol kosong’ – replika yang diubah suai untuk menembak peluru hidup.

Sejak itu, polis menjejaki mereka yang bertanggungjawab menjual pistol itu, mengubah suai pistol dan membekalkan peluru kepada remaja itu.

Dalam siasatannya, polis kemudian menahan empat lelaki di wilayah Yala di selatan Thailand dan di Bangkok yang disyaki menjual pistol dan peluru hidup kepada remaja berusia 14 tahun itu melalui laman Facebook.

Baru-baru ini, Thailand mengumumkan rancangan menyemak undang-undang yang melarang orang ramai memiliki senjata api termasuk senjata tiruan atau senapang angin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg