TOKYO: Parti gabungan kerajaan Jepun kehilangan majoriti Parlimen dalam pilihan raya yang berlangsung pada 27 Oktober, sekali gus mewujudkan ketidakpastian terhadap pembentukan kerajaan baru dan prospek ekonomi Jepun.
Dengan hanya 20 daripada 465 kerusi yang belum dikira, Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Encik Shigeru Ishiba, bersama rakan parti gabungannya Komeito, memperoleh 209 kerusi di Parlimen.
Jumlah tersebut berkurangan daripada 279 kerusi yang mereka raih dalam pilihan raya sebelum ini, menandakan keputusan pilihan raya terburuk gabungan itu sejak kehilangan kuasa buat seketika pada 2009.
“Pilihan raya ini sangat sukar bagi kami,” kata Encik Ishiba yang kelihatan muram kepada TV Tokyo.
Encik Keiichi Ishii, yang menjadi pemimpin baru Komeito, rakan gabungan jangka panjang LDP, tewas di kawasannya.
Pemenang terbesar pilihan raya tersebut – parti pembangkang utama, Parti Demokratik Jepun (CDPJ) – memenangi 143 kerusi setakat ini, meningkat daripada 98 kerusi sebelum ini.
Keputusan tersebut menandakan pengundi telah menghukum parti Encik Ishiba ekoran skandal pembiayaan dan inflasi.
Hasilnya mungkin memaksa pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian perkongsian kuasa yang berpecah-belah untuk memerintah.
Ini berpotensi membawa kepada ketidakstabilan politik ketika negara itu menghadapi cabaran ekonomi dan situasi keselamatan yang tegang di Asia Timur.
“Ini bukan penamat, tetapi permulaan,” kata pemimpin CDPJ, Encik Yoshihiko Noda, dalam satu sidang akhbar, sambil menambah bahawa partinya akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk membentuk kerajaan baru.
Encik Ishiba pula berkata beliau akan menunggu sehingga keputusan akhir, dijangka pada 28 Oktober, sebelum menimbangkan kemungkinan membentuk gabungan atau perjanjian perkongsian kuasa lain.
Pada September lalu, Encik Ishiba menewaskan lapan calon lain untuk menjadi ketua LDP, yang telah mentadbir Jepun hampir tanpa gangguan selama tujuh dekad, walaupun dengan pertukaran pemimpin yang kerap.
Beliau mengambil alih jawatan beberapa hari kemudian, menggantikan Encik Fumio Kishida yang menghadapi rasa tidak puas hati terhadap kenaikan harga, skandal dana dan hubungan LDP dengan gerakan Kristian berikutan pembunuhan mantan Perdana Menteri Encik Shinzo Abe pada 2022.
Encik Ishiba mengadakan pilihan raya mengejut sejurus selepas dipilih, dengan harapan dapat memenangi mandat awam untuk jawatan perdana menteri.
Pada perhimpunan pada 26 Oktober, Encik Ishiba berjanji bahawa LDP akan “bergiat semula sebagai sebuah parti yang adil, saksama dan ikhlas”. Namun, ia tidak mencukupi untuk meyakinkan pengundi.
LDP telah meraih suara majoriti sejak ia kembali berkuasa pada 2012 selepas tempoh pemerintahan pembangkang yang singkat. Ia juga kehilangan kuasa seketika pada 1993 apabila gabungan tujuh parti pembangkang membentuk kerajaan yang hanya mampu bertahan kurang daripada setahun.
Parti yang lebih kecil seperti Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP) atau Parti Inovasi Jepun kini boleh membuktikan bahawa mereka juga mempunyai kuasa untuk membentuk gabungan kerajaan yang baru kelak.
DPP mempunyai 27 kerusi setakat ini dengan Parti Inovasi Jepun mempunyai 35 kerusi, tetapi kedua-duanya memiliki dasar yang bertentangan dengan perjuangan LDP. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg