JAKARTA: Indonesia memperkenalkan dasar baharu yang membenarkan pemegang status Penduduk Tetap (PR) Singapura untuk melawat Batam, Bintan, dan Kepulauan Karimun tanpa memerlukan visa.
Langkah itu diambil dengan tujuan merancakkan sektor pelancongan serta menarik pelaburan di zon ekonomi khas di wilayah tersebut.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Encik Silmy Karim, pada 8 Oktober, pelawat dari Singapura yang memegang status PR kini boleh tinggal sehingga empat hari di kawasan tersebut tanpa visa.
Dasar itu hanya terpakai kepada PR Singapura dan melibatkan beberapa pelabuhan di wilayah Riau yang merangkumi Kepulauan Karimun.
Encik Silmy turut menjelaskan bahawa inisiatif itu bertujuan memudahkan Penduduk Tetap Singapura yang ingin menghabiskan hujung minggu atau bercuti singkat di destinasi pelancongan seperti Batam, Bintan dan Karimun.
Kepulauan Riau dikenal pasti mempunyai potensi besar menjadi destinasi utama pelancongan di Indonesia.
Menurutnya, visa percuma ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan pertumbuhan pelancongan, malah memudahkan mereka yang berminat untuk melabur atau menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.
Langkah itu dijangka mampu menarik lebih ramai pelawat dan pelabur dari Singapura, terutamanya ke Zon Ekonomi Khas Taman Digital Nongsa dan Bintan Resorts yang menjadi tumpuan pembangunan pelancongan dan ekonomi digital, ekonomi kreatif, serta pelancongan.
Dasar ini juga diambil dengan langkah keselamatan yang teliti, memastikan bahawa kemasukan warga asing dapat dipantau dengan baik untuk mengelakkan gangguan keselamatan dan ketenteraman. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg