Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo agih ratusan lembu korban sempena Aidiladha
Prabowo agih ratusan lembu korban sempena Aidiladha
Prabowo agih ratusan lembu korban sempena Aidiladha
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto terus menunjukkan komitmennya sempena sambutan Aidiladha 2026 dengan mengagihkan ratusan ekor lembu korban ke pelbagai wilayah di seluruh Indonesia, walaupun jumlah rasmi keseluruhan di peringkat nasional masih belum diumumkan pemerintah.
Setakat akhir Mei 2026, Sekretariat Presiden Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi mengenai jumlah keseluruhan lembu korban yang disumbangkan Encik Prabowo bagi sambutan Aidiladha 2026 ini.
Namun, berdasarkan laporan dari pelbagai wilayah dan kabupaten (daerah), pengagihan haiwan korban oleh Presiden Indonesia itu dilihat melibatkan skala besar dan merangkumi hampir seluruh negara.
Pada 2025, Encik Prabowo dilaporkan menyumbangkan sebanyak 985 ekor lembu korban sempena Aidiladha yang diagihkan ke seluruh Indonesia menerusi pemerintah daerah, masjid, pondok pesantren dan kumpulan masyarakat.
Ketika itu, Wakil Menteri Sekretariat Negara Indonesia, Encik Juri Ardiantoro, berkata jumlah tersebut meningkat secara signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tidak ada satu pun kabupaten atau kota yang terlewat. Semua mendapatkan bahagian,” katanya.
Bagi Aidiladha 2026 pula, antara wilayah yang menerima jumlah terbesar ialah Kabupaten Bogor yang dilaporkan menerima lebih 100 ekor lembu korban.
Selain itu, Sumatera Utara menerima 34 ekor lembu, manakala Sulawesi Selatan menerima 25 ekor.
Dua lagi wilayah iaitu Sumatera Selatan dan Sulawesi Tenggara masing-masing menerima 18 ekor lembu. Jambi serta Nusa Tenggara Barat pula menerima 12 ekor lembu setiap satu.
Sementara itu, Bangka Belitung dan Papua Barat Daya masing-masing menerima lapan ekor lembu korban.
Di daerah Kaimana, Papua Barat, dua ekor lembu turut diserahkan kepada masyarakat setempat sebagai sebahagian program korban Presiden.
Selain jumlah pengagihan yang besar, perhatian masyarakat turut tertumpu kepada beberapa ekor lembu bersaiz luar biasa atau ‘jumbo’ yang disumbangkan secara khas oleh Encik Prabowo.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah lembu pilihan khas untuk Masjid Istiqlal di Jakarta, masjid terbesar di Asia Tenggara.
Turut menjadi tumpuan ialah seekor lembu seberat 1.2 tan yang disumbangkan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir di Kabupaten Bandung.
Selain itu, seekor lembu seberat 1.1 tan dari Sukabumi yang diberi nama ‘Predator’ turut mencuri perhatian orang ramai selepas gambarnya tular di media sosial Indonesia.
Rata-rata masyarakat menyifatkan pengagihan korban berskala besar itu sebagai simbol keprihatinan ketua negara terhadap rakyat, khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar di beberapa wilayah.
Gabenor Sulawesi Selatan, Encik Andi Sudirman Sulaiman, berkata bantuan itu akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, Sulawesi Selatan mendapat 25 ekor lembu korban dengan berat lebih satu tan daripada Bapak Presiden Republik Indonesia Prabowo Subianto,” katanya.
Beliau berkata pengagihan itu diharap dapat membantu rakyat menyambut Aidiladha dengan lebih bermakna.
“Lembu korban ini kami kirimkan ke beberapa wilayah yang memerlukan, khususnya bagi masyarakat yang menjadi keutamaan untuk menerima bantuan sempena Aidiladha,” katanya lagi.
Di Bangka Belitung, Ketua Biro Kesejahteraan Rakyat wilayah itu, Encik M. Yasir Mustafa, berkata bantuan daripada Presiden memberi kegembiraan kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, tahun ini kita mendapat lapan ekor lembu korban daripada Presiden Prabowo Subianto,” katanya.
“Supaya masyarakat dapat bersuka cita menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini,” tambah beliau.
Seorang penduduk di Bandung yang menerima agihan daging korban berkata bantuan tersebut amat bermakna, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah.
“Bantuan ini sangat membantu rakyat. Sekurang-kurangnya anak-anak dapat menikmati daging korban sempena Aidiladha,” katanya. – Agensi berita.
