JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengarahkan tindakan pantas dan bersepadu bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap individu serta syarikat yang terbukti melakukan pembakaran secara haram.

Ketua Staf Presiden, Jeneral (Bersara) Dudung Abdurachman, berkata Encik Prabowo menegaskan bahawa semua agensi pemerintah pusat dan wilayah perlu bekerjasama untuk mengawal kebakaran yang kini berlaku di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.

“Presiden Prabowo Subianto menegaskan kebakaran hutan dan tanah mesti ditangani dengan pantas dan secara bersepadu, dengan tindakan tegas terhadap pihak yang terbukti melanggar undang-undang,” katanya pada 25 Ogos.

Menurut Encik Dudung, pemerintah memantau rapat perkembangan kebakaran kerana asap yang terhasil bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah mengancam kesihatan dan keselamatan penduduk.

“Kebakaran hutan dan tanah mengganggu kesihatan dan keselamatan awam. Jerebu khususnya memberi kesan kepada kanak-kanak dan warga emas, serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Arahan terbaru itu dibuat ketika kebakaran terus berlaku di beberapa wilayah dan pemerintah meningkatkan operasi memadam api menjelang tempoh risiko kebakaran yang dijangka memuncak antara Ogos dengan September.

Enam wilayah diberi keutamaan dalam operasi itu, iaitu Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Riau, Sumatera Selatan dan Jambi.

Di Sumatera Selatan, Encik Prabowo mengarahkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menyediakan pasukan khas bagi memasuki kawasan kebakaran yang sukar dicapai anggota pemadam di darat.

Beliau mengarahkan Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto, menguji penggunaan “Pasukan Alfa”, sebuah unit taktikal khas yang boleh dikerahkan ke kawasan terpencil.

Menurut Jeneral Agus, pasukan itu boleh menggunakan kaedah terjun bebas, paramotor dan turun menggunakan tali dari helikopter untuk sampai ke kawasan yang tidak boleh dimasuki melalui darat.

Encik Prabowo turut meminta lebih banyak helikopter digunakan bagi operasi pengeboman air di Sumatera Selatan dan mengarahkan helikopter TNI yang tersedia dikerahkan segera.

Di darat, pemerintah menyediakan 20 jengkaut untuk memperkukuh saluran air serta 500 pam dan hos bagi menyalurkan air dari perigi ke kawasan kebakaran.

“Mari kita berusaha memadam dengan segera kawasan seluas 1,900 hektar yang masih terbakar,” kata Encik Prabowo ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pengurusan kebakaran di Palembang pada 24 Ogos.

Beliau turut meminta anggota di lapangan segera melaporkan sebarang kekurangan peralatan atau halangan supaya bantuan tambahan dapat dihantar tanpa berlengah.

Pada masa sama, Encik Prabowo sekali lagi menegaskan larangan membuka atau membersihkan tanah dengan cara membakar.

Penduduk yang perlu membersihkan tanah pertanian diminta memaklumkan pihak berkuasa tempatan supaya bantuan boleh diberikan menggunakan kaedah yang dibenarkan.

Menurut beliau, kerja membersihkan tanah boleh diselaraskan menerusi kumpulan tani dengan pembiayaan daripada program Kredit Usaha Rakyat (KUR) yang disokong pemerintah serta koperasi tempatan.

Tindakan lebih keras turut disasarkan terhadap syarikat yang disyaki terlibat dalam pembakaran.

Encik Prabowo mengarahkan polis, pejabat pendakwa raya dan Badan Intelijen Negara (BIN) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mana-mana syarikat yang disyaki mengarahkan atau melakukan pembakaran untuk membuka tanah.

Beliau memberi amaran permit operasi syarikat boleh ditarik balik sekiranya mereka terbukti bersalah.

Encik Dudung berkata beberapa syarikat di Kalimantan Barat kini sedang disiasat berhubung kemungkinan penglibatan dalam kebakaran.

Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya tiada pihak membuat kesimpulan sebelum siasatan dan proses undang-undang selesai.

“Kita mesti mengelakkan daripada membuat kesimpulan sehingga siasatan selesai. Jika terdapat unsur kesengajaan atau pelanggaran, undang-undang mesti dikuatkuasakan dengan tegas. Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang,” katanya.

Kementerian Perhutanan setakat ini telah mengenakan tindakan pentadbiran terhadap enam syarikat pemegang permit pemanfaatan hutan (PBPH) selepas kebakaran menjejas keseluruhan 1,511.55 hektar kawasan konsesi mereka di Kalimantan.

Empat daripadanya beroperasi di Kalimantan Barat, manakala masing-masing satu di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Timur.

Sebuah syarikat turut dibekukan lesen operasinya kerana kebakaran berulang dan keluasan kawasan yang terjejas.

Kementerian Alam Sekitar pula berkata kira-kira 335 syarikat pemegang konsesi di Sumatera dan Kalimantan mempunyai kawasan yang terjejas oleh titik panas dan kebakaran, meliputi hampir 85,000 hektar.

Syarikat yang mengendalikan kawasan tanah gambut turut diarahkan memulihkan fungsi hidrologi kawasan masing-masing, termasuk mengurus paras air, menyekat saluran parit dan membasahkan semula tanah bagi mengurangkan risiko kebakaran.

Encik Dudung berkata pejabatnya akan memantau penyelarasan antara pemerintah pusat dan wilayah, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), TNI serta Polis Nasional Indonesia bagi memastikan operasi memadam kebakaran dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara bersepadu. - Agensi berita