JAKARTA: Presiden yang dipilih, Encik Prabowo Subianto dilaporkan mungkin memainkan peranan penting dalam pertemuan yang dirancang dengan Encik Anies Baswedan, untuk mengatur pasangan dengan anak Presiden Joko Widodo, Encik Kaesang Pangarep, bagi pilihan raya Jakarta.
Ketika cakap-cakap tentang Encik Anies mungkin bergabung tenaga dengan anak bongsu Presiden Joko “Jokowi” Widodo untuk pemilihan gabenor Jakarta berterusan, Encik Anies berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Encik Prabowo sebelum pilihan raya pada November, kerana “bertukar idea” dengan semua pihak adalah penting.
“Sudah tentu kami akan membina komunikasi dengan semua orang. Insya-Allah, kami akan berhubung dengan pemimpin parti, termasuk Pak Prabowo,” kata Encik Anies pada 22 Jun seperti dipetik Kompas.com.
“Menjalin komunikasi adalah satu keperluan, kerana parti politik kini sedang mempertimbangkan, (pilihan mereka untuk calon) pilihan raya wilayah.
“(Encik) Prabowo tetap akan membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menjalinkan hubungan, termasuk Anies, yang bertanding menentangnya dalam pemilihan presiden Februari lalu,” kata timbalan pengerusi Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo, Encik Habiburokhman, lapor The jakarta Post.
Lebih banyak pertemuan antara tokoh (politik), lebih baik,” katanya sambil menambah “kita semua tahu bahawa Prabowo tidak pernah berdendam terhadap sesiapa yang bersaing dengannya.”
Perbahasan mengenai potensi pertemuan antara Encik Anies dan Encik Prabowo muncul selepas Encik Kaesang menyatakan minatnya untuk berpasangan dengan Encik Anies.
Tetapi Encik Kaesang kemudiannya menarik balik kenyataannya tentang berpasangan dengan Encik Anies, dengan mengatakan bahawa beliau dan bekas gabenor itu tidak mungkin menjadi sekutu akibat perbezaan pendirian mereka.
Gandingan itu pertama kali dicadangkan oleh Parti Kebangkitan Nasional (PKB) cawangan Jakarta, sebuah parti berasaskan Islam yang menyokong Encik Anies bagi pilihan raya presiden.
Encik Anies tidak memberikan jawapan tegas mengenai cadangan itu, tetapi minggu lalu beliau mengkritik keputusan Mahkamah Agung untuk menukar umur minimum pencalonan untuk pilihan raya wilayah, keputusan yang menjadikan Encik Kaesang layak bertanding.
“Peraturan tidak boleh diubah. Peraturan harus dipatuhi, itulah prinsipnya,” kata Encik Anies.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg