Prabowo, barisan pemimpin pamer perpaduan di acara tahunan Aidilfitri
Prabowo, barisan pemimpin pamer perpaduan di acara tahunan Aidilfitri
JAKARTA: Acara tahunan Rumah terbuka Aidilfitri di pekarangan istana Presiden Probowo Subianto menjadi saksi kepada pergaulan mesra pegawai dan rakyat biasa dalam suasana penuh harmoni.
Tradisi yang menandakan berakhirnya Ramadan itu menyaksikan beliau mengalu-alukan lebih 4,000 tetamu di pekarangan istananya pada 21 Mac, hari pertama Aidilfitri.
Beliau menyambut pegawai pemerintah dan orang ramai yang mula memenuhi perkarangan istana pada awal pagi.
Terdahulu pada hari itu, Encik Prabowo menghadiri solat Aidilfitri di Masjid Darussalam di Aceh Tamiang, Aceh, bersama ratusan penduduk yang masih belum pulih daripada bencana banjir yang melanda wilayah itu tahun lalu.
Pada acara di istana Presiden, beliau yang diiringi anak lelakinya Encik Ragowo “Didit” Hediprasetyo, menyambut orang ramai yang turut mendoakan kesejahteraannya dan Indonesia.
Para pengunjung bergaul bebas sambil menikmati hidangan tradisional Aidilfitri di tengah-tengah persembahan hiburan secara langsung.
Encik Hardi, seorang penduduk Bogor berusia 30 tahun yang telah menghadiri rumah terbuka itu selama tiga tahun, berkata beliau beratur lebih tiga jam untuk berjabat tangan dengan Presiden.
“Menghadiri acara ini adalah tradisi bagi saya selepas solat Aidilfitri. Saya bermula pada 2024 bersama presiden ketika itu Encik Joko “Jokowi” Widodo dan menghadiri acara tahun lalu bersama Presiden Prabowo.
“Saya teruja berpeluang berjabat tangan dengan Presiden yang dikawal ketat oleh pegawai keselamatan. Ternyata beliau sangat mudah didekati,” tambah Encik Hardi.
Encik Jokowi, yang anak lelakinya ialah Naib Presiden Encik Gibran Rakabuming Raka, turut menghadiri acara tersebut.
Mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono juga hadir sama dengan dua anak lelakinya, Encik Agus Harimurti Yudhoyono dan Edhie Baskoro Yudhoyono.
Dalam siaran akhbar, Sekretariat Negara menyifatkan kehadiran Encik Jokowi sebagai “mencerminkan kesinambungan dalam kepimpinan negara yang kekal rapat” antara Encik Prabowo dengan pendahulunya.
“Perhimpunan Aidilfitri tahun ini menawarkan ruang yang bermakna untuk mengukuhkan ikatan dan memupuk keharmonian antara pemimpin di samping mengulangi mesej bahawa perpaduan adalah asas utama negara pada masa hadapan,” kata Sekretariat Negara.
Encik Jokowi dilihat berbual dengan Encik Prabowo dan Encik Didit dalam pertemuan tertutup yang diadakan sebagai acara sampingan majlis penuh meriah itu.
Namun, Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan, Cik Megawati Soekarnoputri, tidak menghadiri acara itu dan sebaliknya mengadakan sambutan Hari Raya di ibu pejabat parti tersebut di Jakarta. - Agensi berita

