Prabowo nafi komitmen dana AS$1 bilion untuk Lembaga Keamanan
Prabowo nafi komitmen dana AS$1 bilion untuk Lembaga Keamanan
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menegaskan bahawa negara itu tidak pernah berjanji untuk menyumbang AS$1 bilion (S$1.27 bilion) kepada Lembaga Keamanan (BoP0 dan sebaliknya, beliau berkata BoP hanya bertanya mengenai kesediaan Indonesia untuk mengerahkan pasukan pengaman.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Jakarta, Encik Prabowo berkata Indonesia juga tidak termasuk dalam kalangan negara yang membuat komitmen kewangan pada mesyuarat sulung BoP di Washington pada 19 Februari lalu. “Saya tidak pernah membuat sebarang komitmen untuk membiayai sejak awal,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Komunikasi Pemerintah Indonesia pada 22 Mac.
Sebelum ini, laporan media menyatakan bahawa mesyuarat itu menghasilkan ikrar awal sebanyak AS$17 bilion bagi pembinaan semula, bantuan kecemasan dan kestabilan keselamatan di Jaluran Gaza, dengan Amerika Syarikat menyumbang AS$10 bilion, manakala sembilan negara termasuk Amiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar menjanjikan gabungan sumbangan sebanyak AS$7 bilion.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia tetap menyokong peranan badan antara pemerintah itu, termasuk melalui penyertaan dalam misi pengaman. “Kami telah menyatakan kesediaan untuk menghantar anggota pengaman mengikut keperluan sebenar, termasuk ke Gaza bagi melindungi rakyat Palestin,” ujarnya.
Encik Prabowo turut membuka kemungkinan sumbangan kewangan pada masa depan, khususnya jika usaha pembinaan semula Gaza dimulakan selepas gencatan senjata dicapai. “Jika gencatan senjata berjaya dan proses pembinaan semula bermula, tidak mustahil Indonesia akan menyumbang secara kewangan,” katanya, sambil mencadangkan dana boleh disalurkan melalui Badan Amil Zakat Nasional (Baznas).
Beliau turut menegaskan bahawa Indonesia mempunyai keupayaan fiskal, merujuk kepada pembinaan hospital di Gaza serta bantuan kemanusiaan berterusan yang telah disalurkan. Namun, beliau mengulangi bahawa tiada sebarang komitmen dibuat untuk menyumbang dana semata-mata bagi mendapatkan tempat dalam BoP.
Menurut Encik Prabowo, Indonesia sudah meneliti pelan 21 perkara yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat pada September, dengan memberi perhatian khusus kepada perkara 19 dan 20 yang menggariskan langkah-langkah ke arah kenegaraan Palestin serta penubuhan dialog antara Israel dan Palestin bagi kewujudan bersama secara aman.
Peruntukan itu selaras dengan pendirian lama Indonesia bahawa penyelesaian dua negara adalah penting bagi mencapai keamanan berkekalan di Palestin, katanya.
Pada 17 Mac lalu, Menteri Luar, Encik Sugiono menjelaskan bahawa Indonesia tidak membayar AS$1 bilion itu kerana jumlah berkenaan bukan sumbangan keahlian wajib dan penyertaan tidak bergantung kepada sebarang komitmen kewangan tetap.
Laporan Bloomberg sebelum ini menyebut bahawa dalam draf Piagam BoP, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencadangkan negara yang ingin menjadi ahli tetap perlu menyumbang sekurang-kurangnya AS$1 bilion. Negara yang tidak menyumbang pula masih boleh menyertai sebagai ahli selama tiga tahun, tertakluk kepada kelulusan lanjutan oleh pengerusi lembaga.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Prabowo turut memberi jaminan bahawa semua dasar, termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika Syarikat, akan berpaksikan kepentingan nasional.
“Anda perlu yakin bahawa saya mengutamakan kepentingan negara Indonesia,” katanya dalam program “Prabowo Menjawab” yang disiarkan oleh Agensi Komunikasi Pemerintah Indonesia.
Beliau menegaskan bahawa Indonesia tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada sebarang perjanjian jika didapati menjejaskan kepentingan negara. “Jika saya merasakan kepentingan negara terancam, maka kita boleh keluar daripada perjanjian itu,” katanya.
Menurut Encik Prabowo, perjanjian tersebut telah melalui penilaian menyeluruh sebelum diluluskan, termasuk pengurangan tarif perdagangan daripada 32 peratus kepada 19 peratus. Beliau juga memaklumkan bahawa Indonesia menerima layanan istimewa daripada Encik Trump dalam perjanjian itu, selain mempunyai ruang untuk merunding semula terma jika perlu.
“Kami bersetuju bahawa jika terdapat peruntukan yang tidak selaras atau bercanggah dengan kepentingan kedua-dua pihak, klausa pelarasan akan diguna pakai,” katanya.
Encik Prabowo berkata, klausa tersebut memberi fleksibiliti kepada Indonesia untuk melindungi kedaulatan ekonomi negara, dan merupakan kelebihan berbanding perjanjian perdagangan Amerika Syarikat dengan negara lain.
Dari sudut perdagangan, beliau menjelaskan bahawa Indonesia berpotensi mendapat manfaat melalui akses pasaran yang lebih luas, dengan sebanyak 1,819 komoditi strategik diberikan kemasukan tanpa tarif ke Amerika Syarikat.
Produk utama seperti kopi dan minyak sawit termasuk dalam senarai tersebut, yang dijangka memberi manfaat kepada pengeluar dan pengeksport tempatan.
Encik Prabowo turut menegaskan bahawa Indonesia akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menangani dinamika perdagangan global dan tidak akan secara automatik mengikut langkah negara lain.
“Kita akan bertindak berdasarkan pertimbangan yang teliti, bukan sekadar mengikut keputusan negara lain,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semua usaha diplomasi ekonomi akan berpandukan manfaat kepada rakyat, dengan kepentingan negara kekal sebagai keutamaan utama. - Agensi berita

