JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berkata pemerintahannya berjaya menangani beberapa masalah berpanjangan sepanjang 21 bulan memimpin negara itu, termasuk meningkatkan tahap sara diri makanan dan tenaga, sambil yakin ekonomi Indonesia mampu tumbuh 6 peratus menjelang akhir 2026.

Dalam ucapan kenegaraan keduanya pada 14 Ogos, menjelang sambutan ulang tahun ke-81 kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos, Encik Prabowo, berkata pemerintahannya sudah melaksanakan 121 dasar “transformatif” dalam tempoh 663 hari sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara.

Ini bersamaan dengan pelaksanaan kira-kira satu dasar baharu setiap lima hari.

Encik Prabowo menampilkan pendekatan pemerintahannya sebagai berteraskan tindakan pantas, campur tangan pemerintah apabila diperlukan dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun mengakui masih banyak masalah perlu diselesaikan dan menggesa seluruh rakyat Indonesia bersama-sama menjayakan usaha membangunkan negara.

“Saya tidak menerima mandat daripada rakyat untuk menjelaskan mengapa sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan.

“Saya menerima mandat daripada rakyat untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi kesulitan yang dihadapi masyarakat,” katanya dalam ucapan di Parlimen.

Antara pencapaian yang diketengahkan ialah prestasi ekonomi Indonesia yang menurut Encik Prabowo terus menunjukkan daya tahan.

Beliau berkata ekonomi negara itu berkembang 5.61 peratus pada suku pertama 2026, manakala pertumbuhan bagi separuh pertama 2026 mencapai 5.45 peratus.

“Ini adalah pertumbuhan suku pertama dan separuh pertama tertinggi dalam tempoh 13 tahun,” katanya.

“Dengan dasar yang tepat, saya yakin pertumbuhan ekonomi kita boleh mencapai 6 peratus menjelang akhir tahun ini (2026).”

Encik Prabowo sebelum ini menetapkan sasaran lebih besar untuk ekonomi Indonesia berkembang 8 peratus menjelang akhir tempoh pemerintahannya pada 2029.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) semata-mata bukan matlamat utama pemerintahannya.

Sebaliknya, katanya, ukuran kejayaan sebenar ialah sejauh mana pertumbuhan ekonomi dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Matlamat saya ialah kesejahteraan rakyat.

“Setiap rupiah pelaburan mesti mewujudkan pekerjaan. Setiap dasar mesti memperbaiki kehidupan rakyat. Itulah prinsip yang menjadi panduan pemerintah yang saya pimpin,” katanya.

Dalam bidang keselamatan makanan, Encik Prabowo berkata Indonesia kini mencapai tahap sara diri bagi beberapa bahan makanan utama.

Ia termasuk beras, jagung, gula, ayam, telur, bawang merah serta beberapa jenis cili.

Pencapaian itu penting bagi negara yang mempunyai lebih 280 juta penduduk dan sejak sekian lama berusaha mengurangkan pergantungan terhadap bekalan makanan dari luar negara.

Selepas meningkatkan pengeluaran makanan domestik, pemerintah kini memberi perhatian kepada usaha mencapai tahap sara diri tenaga.

Antara langkah utama ialah pelaksanaan bahan api biodiesel B50, yang menggabungkan 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan diesel.

Encik Prabowo berkata Indonesia sudah menghentikan import diesel dari luar negara mulai 1 Julai.

Menurut beliau, langkah itu membolehkan negara menjimatkan sehingga 170 trilion rupiah ($13.1 bilion).

Namun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian sepanjang 21 bulan pertama pemerintahannya tidak bermakna semua masalah Indonesia sudah selesai.

“Saya belum boleh mengatakan bahawa semua masalah negara sudah diselesaikan atau setiap janji yang saya buat sudah ditunaikan,” katanya.

Encik Prabowo turut menggesa institusi negara, pemerintah pusat dan daerah serta seluruh rakyat Indonesia bekerjasama dalam menghadapi cabaran seterusnya.

“Membangunkan negara bukan tugas Presiden seorang. Republik ini dibangunkan melalui usaha bersama semua institusi negara, pemerintah pusat dan daerah serta seluruh rakyat Indonesia,” katanya.

Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut membentangkan pencapaian beberapa program utama pemerintahannya.

Antaranya ialah program makanan berkhasiat percuma yang menjadi antara dasar utama beliau sejak mengambil alih jawatan Presiden.

Beliau turut mengetengahkan program Koperasi Desa Merah Putih yang bertujuan menggerakkan ekonomi di kawasan luar bandar, memperkukuh kegiatan perniagaan masyarakat setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Sejak program itu dilancarkan pada Julai 2025, kira-kira 10,000 koperasi tersebut sudah beroperasi.

Encik Prabowo menetapkan sasaran supaya 30,000 Koperasi Desa Merah Putih beroperasi menjelang akhir 2026.

Dalam bidang kesihatan, beliau berkata program pemeriksaan kesihatan asas percuma sudah memberi manfaat kepada jutaan rakyat.

Pemerintahannya turut menubuhkan Sekolah Garuda, program yang bertujuan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti kepada pelajar dari pelbagai wilayah Indonesia.

Encik Prabowo turut menonjolkan usaha memperkemas pengurusan sumber asli dan membanteras kegiatan perlombongan haram.

Menurutnya, pihak berkuasa sudah menutup sekitar 1,000 tapak perlombongan haram di Bangka Belitung.

Pemerintah turut mengambil semula tanah yang digunakan tanpa kebenaran sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan aset negara.

Dalam sektor perdagangan, Encik Prabowo berkata Danantara Sumber Daya Indonesia (DSI) akan mula beroperasi sepenuhnya pada September.

DSI ialah syarikat eksport di bawah kawalan negara yang bernaung di bawah dana kekayaan negara Danantara Indonesia.

Ia ditubuhkan untuk menyelaraskan penjualan beberapa komoditi strategik Indonesia ke pasaran antarabangsa, termasuk minyak sawit mentah, arang batu dan ferologam.

Ucapan kenegaraan itu disampaikan di hadapan kira-kira 1,200 tetamu, termasuk anggota Parlimen, menteri, duta serta mantan Presiden dan Naib Presiden.

Bekas Presiden, Encik Joko Widodo, turut menghadiri acara tersebut.

Encik Prabowo juga mengundang lapan tetamu khas yang mewakili golongan yang menerima manfaat daripada pelbagai program pemerintah, termasuk petani dan pelajar.

Walaupun menampilkan pencapaian pemerintahannya sepanjang 21 bulan lalu, Encik Prabowo menegaskan Indonesia masih mempunyai perjalanan panjang.

Mesej utamanya ialah pertumbuhan ekonomi, keselamatan makanan dan tenaga serta program sosial perlu akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Beliau turut menyampaikan satu lagi ucapan di Parlimen pada petang 14 Ogos bagi membentangkan rancangan belanjawan pemerintah untuk 2027. – Agensi berita.