Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo diberi kuasa penuh pilih dua calon ganti Gibran sebagai Naib Presiden
Parlimen diberi 60 hari pilih pengganti Gibran, Prabowo dijangka berunding dengan parti gabungan pemerintah
Prabowo diberi kuasa penuh pilih dua calon ganti Gibran sebagai Naib Presiden
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mempunyai kuasa penuh untuk menentukan dua calon bagi menggantikan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden, selepas peletakan jawatan anak sulung bekas Presiden Joko Widodo itu mencetuskan proses pemilihan penggantinya.
Encik Prabowo dijangka mengadakan rundingan dengan parti politik yang menyokong pemerintahannya sebelum mengemukakan dua nama kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) untuk dipilih.
Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Yusril Ihza Mahendra, berkata kuasa memilih dan menentukan proses pencalonan terletak sepenuhnya pada Presiden.
“Presiden mempunyai kuasa penuh untuk menentukan dua calon yang akan dikemukakan kepada MPR.
“Proses yang mahu dilaksanakan Presiden juga sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa beliau,” katanya di kompleks Istana Presiden, Jakarta, pada 12 November.
Menurut Encik Yusril, Encik Prabowo bebas mendapatkan pandangan daripada mana-mana pihak, termasuk parti gabungan pemerintah sebelum membuat keputusan.
Namun, rundingan tersebut bukan syarat wajib yang boleh mengehadkan kuasa Presiden.
“Beliau boleh berunding dengan sesiapa sahaja atau memilih untuk tidak mengadakan rundingan. Kedua-duanya tidak menjadi masalah,” katanya.
MPR diberi 60 hari pilih pengganti
Peletakan jawatan Gibran membuka babak baharu dalam politik Indonesia apabila jawatan Naib Presiden secara rasmi diisytiharkan kosong selepas beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada MPR pada 12 November.
Pengerusi MPR, Ahmad Muzani, berkata badan itu mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk memilih pengganti Gibran.
“Mulai hari ini, jawatan Naib Presiden Republik Indonesia kosong dan MPR mempunyai tempoh paling lama 60 hari untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya ketika ditemui di kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta pada 12 November.
Beliau menegaskan MPR akan segera mengambil langkah bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar dan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut peraturan yang ditetapkan, Encik Prabowo mempunyai tempoh sehingga 14 hari selepas menerima permintaan rasmi MPR untuk mengemukakan dua calon Naib Presiden.
MPR kemudian akan mengadakan sidang bagi memilih seorang daripada dua calon tersebut.
Encik Muzani berkata kepimpinan MPR sudah mengadakan mesyuarat awal pada 12 November bagi membincangkan langkah yang perlu diambil susulan pengunduran Gibran.
Empat agenda utama pemilihan
MPR turut mengadakan mesyuarat bersama semua ketua kumpulan parti dalam MPR dan anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) pada 13 November.
Mesyuarat itu akan membincangkan empat agenda utama bagi menyediakan proses pelantikan Naib Presiden baharu.
Agenda pertama menetapkan tarikh sidang penuh MPR untuk memilih pengganti Gibran.
Agenda kedua pula membincangkan langkah rasmi bagi meminta Encik Prabowo mengemukakan dua nama calon.
Seterusnya, MPR akan membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menyemak dokumen dan kelayakan kedua-dua calon yang dicadangkan Presiden.
Jawatankuasa itu bertanggungjawab memastikan semua syarat perundangan dipenuhi sebelum proses pemilihan dijalankan.
Agenda keempat membabitkan pembentukan pasukan khas sementara untuk menyediakan draf keputusan rasmi MPR berhubung pelantikan Naib Presiden.
“Agenda ketiga ialah membentuk pasukan pengesahan bagi menyemak calon Naib Presiden yang dicadangkan Presiden.
“Agenda keempat pula menetapkan pembentukan pasukan khas untuk menyediakan draf keputusan MPR,” kata Muzani.
Beliau turut memaklumkan bahawa kepimpinan MPR akan mengadakan rundingan terus dengan Prabowo bagi menyelaraskan jadual pemilihan.
Pada petang 12 November, Encik Muzani bersama semua Timbalan Pengerusi MPR menemui Encik Prabowo di Istana Presiden, Jakarta, bagi membincangkan perkara tersebut.
“Saya sedang ditunggu Presiden untuk mengadakan rundingan mengenai tarikh dan menyelaraskan jadual pelaksanaannya,” katanya.
Parti gabungan pemerintah mungkin dilibatkan
Sementara itu, Encik Yusril berkata Encik Prabowo mempunyai kira-kira 10 parti politik yang menyokongnya ketika pilihan raya presiden 2024.
Gabungan itu merangkumi parti yang mempunyai kerusi di Parlimen dan parti yang tidak mempunyai wakil rakyat.
Menurutnya, parti terbabit boleh dilibatkan dalam perbincangan bagi menentukan calon Naib Presiden baharu.
Beliau menjelaskan rundingan dengan parti gabungan turut berkaitan peruntukan dalam Undang-Undang mengenai MPR, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), DPD dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD), yang dikenali sebagai UU MD3.
“Beliau juga boleh berunding dengan parti gabungan pemerintah kerana perkara itu turut disebut dalam undang-undang berkenaan,” katanya.
Ebcik Yusril mendedahkan Encik Prabowo sendiri sudah membayangkan kemungkinan mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti gabungan sebelum membuat keputusan.
Perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan di Istana Presiden pada 12 November.
Bagaimanapun, beliau berkata belum ada keputusan muktamad mengenai bentuk rundingan atau parti yang akan dilibatkan.
Pemilihan pengganti Encik Gibran dijangka menjadi ujian penting terhadap perpaduan parti gabungan kerajaan, memandangkan jawatan Naib Presiden mempunyai pengaruh besar terhadap hala tuju pentadbiran Prabowo.
Keputusan itu juga bakal menentukan keseimbangan kuasa politik dalam kerajaan selepas pengunduran Encik Gibran, yang sebelum ini menjadi penghubung penting antara Encik Prabowo dengan keluarga Jokowi.
Encik Yusril berkata Encik Prabowo masih mempertimbangkan langkah yang sesuai sebelum mengemukakan nama calon.
“Beliau akan berbincang dengan parti gabungan. Namun, kami belum mengetahui keputusan muktamadnya.
“Tadi beliau hanya berkata, ‘Mungkin saya perlu berbincang dengan parti gabungan dahulu’,” katanya.– Agensi berita