Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo diisytihar secara rasmi Presiden Indonesia

Apr 24, 2024 | 3:27 PM
Presiden Indonesia yang dipilih, Encik Prabowo Subianto (kiri), bersama calon gandingan bagi jawatan Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, melambai pada 24 April menyusuli Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) secara rasmi mengisytiharkan kemenangan mereka dalam pilihan raya lalu.
Presiden Indonesia yang dipilih, Encik Prabowo Subianto (kiri), bersama calon gandingan bagi jawatan Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, melambai pada 24 April menyusuli Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) secara rasmi mengisytiharkan kemenangan mereka dalam pilihan raya lalu. - Foto REUTERS
Presiden Indonesia yang dipilih, Encik Prabowo Subianto (kiri), memberi ucapan menyusuli Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) secara rasmi mengisytiharkan kemenangannya dalam pilihan raya negara itu. Di sisinya ialah calon gandingannya bagi jawatan Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka.
Presiden Indonesia yang dipilih, Encik Prabowo Subianto (kiri), memberi ucapan menyusuli Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) secara rasmi mengisytiharkan kemenangannya dalam pilihan raya negara itu. Di sisinya ialah calon gandingannya bagi jawatan Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka. - Foto AFP


JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) secara rasmi mengisytiharkan Encik Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia yang terpilih pada 24 April.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi KPU, Encik Hasyim Asy’ari, beberapa jam selepas Mahkamah Perlembagaan menolak usul undang-undang oleh calon yang kalah, Encik Anies Baswedan dan Encik Ganjar Pranowo, yang mencabar kemenangan Encik Prabowo.

Pengisytiharan presiden dan naib presiden yang dilantik dibuat di ibu pejabat KPU.

Encik Prabowo dan calon gandingannya, Encik Gibran Rakabuming Raka, memenangi pilihan raya dengan 58 peratus undi, menurut pengiraan kebangsaan yang diumumkan pada 20 Mac.

Namun, perayaan kemenangan itu ditangguh berikutan cabaran undang-undang daripada calon saingan, Encik Anies dan Encik Ganjar, yang menuntut supaya keputusan itu dibatalkan.

Kedua-dua calon terbabit mendakwa berlaku penipuan pengundian secara meluas, adanya pilih kasih serta sokongan pemerintah yang dikatakan memihak kepada Encik Prabowo dan Encik Gibran, yang juga anak sulung Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Dalam undian 22 April lalu, lima daripada lapan hakim Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kedua-dua Encik Anies dan Encik Ganjar gagal mengemukakan bukti kukuh, dan saksi yang boleh dipercayai, untuk menyokong dakwaan mereka, sekali gus menolak usul mereka secara keseluruhan.

Lima daripada lapan hakim memutuskan menentang cabaran tersebut, dan tiga hakim iaitu Encik Saldi Isra, Cik Enny Nurbaningsih dan Encik Arief Hidayat menawarkan pendapat yang berbeza.

Hakim Anwar Usman, bapa saudara Encik Gibran, tidak mengambil bahagian dalam keputusan itu kerana bimbang konflik kepentingan.

“Saya ingin mengatakan bahawa perlawanan itu sudah berakhir, perlawanan yang sangat penting, pertandingan yang sangat penting. Inilah yang diminta oleh rakyat,” kata Encik Prabowo pada satu majlis di ibu kota Jakarta pada 24 April.

“Saya akan buktikan bahawa saya akan... berjuang untuk semua rakyat Indonesia, termasuk mereka yang tidak mengundi saya,’‘ tambah Encik Prabowo.

Keputusan itu membuka jalan kepada Encik Prabowo menumpukan perhatian kepada peralihan kuasa daripada Encik Jokowi, yang dijadualkan pada 20 Oktober, dan memulakan pembentukan Kabinet bersama pasangannya, Encik Gibran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg