Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo ganti ketua agensi bencana Indonesia sehari selepas adik ditahan rasuah
Pegawai baru dilantik ikrar bertindak pantas tangani kebakaran hutan, semak operasi agensi
Prabowo ganti ketua agensi bencana Indonesia sehari selepas adik ditahan rasuah
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah menggantikan ketua agensi pengurusan bencana, Encik Suharyanto, dengan seorang lagi pegawai pada 15 Oktober, sehari selepas adik lelaki Encik Suharyanto ditahan atas dakwaan rasuah membabitkan dana bantuan kecemasan.
Pertukaran kepimpinan itu berlaku ketika Indonesia bergelut dengan kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut yang meluas di Sumatera dan Kalimantan. Jerebu telah merebak ke negara jiran, Singapura dan Malaysia.
Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi, 50 tahun, dilantik menggantikan Encik Suharyanto, 59 tahun, sebagai ketua Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Pelantikan itu diumumkan di Istana Presiden di Jakarta, bersama sembilan pelantikan lain.
Antara yang dilantik ialah Encik Yusuf Jauhari dan Encik Richard Tampubolon sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, serta pakar perhutanan, Profesor Satyawan Pudyatmoko, sebagai ketua Agensi Pengurusan Tanah Gambut dan Paya Bakau Nasional (BPGMN).
Jeneral Kristomei sebelum ini memimpin tentera di wilayah Sumatera iaitu Lampung dan Bengkulu, dan berkhidmat sebagai jurucakap tentera Indonesia.
Encik Suharyanto, bekas pegawai kanan tentera darat, mengetuai BNPB sejak November 2021 selepas dilantik oleh Presiden Joko Widodo ketika itu.
Tiada tempoh jawatan yang tetap bagi ketua agensi itu, dan tiada alasan rasmi diberikan untuk penggantiannya.
Berucap kepada pemberita selepas pelantikannya, Jeneral Kristomei berikrar untuk bertindak pantas menangani kebakaran hutan dan menyemak operasi agensi itu.
“Sasarannya secepat mungkin. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menanggung akibatnya. Kami mengira minit, bukan jam,” katanya.
Penganalisis politik di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan, Encik Wasisto Raharjo Jati, berkata perubahan itu bertujuan memulihkan keyakinan awam di tengah-tengah penelitian serantau terhadap cara Indonesia menangani kebakaran itu.
“Kegagalan menyelesaikan sepenuhnya kebakaran hutan, yang menjejas Malaysia dan Singapura, telah merosakkan imej pemerintah Indonesia dalam Asean, terutama selepas Malaysia berusaha membangkitkan isu itu di forum serantau.
“Rombakan ini pastinya sebahagian daripada usaha memulihkan imej pemerintah di dalam dan luar negara,” katanya kepada The Straits Times (ST).
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pada 12 Oktober bahawa beliau akan membangkitkan isu jerebu rentas sempadan di mesyuarat menteri luar Asean di Manila pada November.
Encik Wasisto berkata penahanan suspek rasuah di BNPB ialah satu lagi faktor di sebalik pertukaran kepimpinan itu.
Agensi antirasuah Indonesia telah menahan lima orang, termasuk Bima Setyawan, adik lelaki ketua pengurusan bencana negara itu, atas dakwaan rasuah membabitkan dana bantuan kecemasan.
Ketika ini, kebakaran hutan menyebabkan jerebu menyelubungi beberapa bahagian Asia Tenggara dan menekan usaha tindak balas bencana Indonesia.
Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) telah menahan beberapa suspek pada 14 Oktober, sehari selepas menjalankan serbuan di Jakarta dan kawasan sekitarnya, kerana disyaki berlaku ketidakpatuhan dalam perolehan barangan dan perkhidmatan di BNPB.