Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo ganti ketua polis Indonesia dengan ketua agensi antidadah
Prabowo ganti ketua polis Indonesia dengan ketua agensi antidadah
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menggantikan Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, dengan ketua agensi antidadah negara, Pesuruhjaya Jeneral Suyudi Ario Seto, selepas berminggu-minggu spekulasi mengenai perubahan pucuk pimpinan pasukan polis.
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada 1 Oktober meluluskan pelantikan Encik Suyudi sebagai Ketua Polis Negara yang baru dalam sidang pleno, selepas pencalonannya terlebih dahulu mendapat sokongan sebulat suara daripada Suruhanjaya III, yang menyelia hal ehwal undang-undang dan keselamatan.
Pelantikan itu menamatkan lebih lima tahun kepimpinan Jeneral Listyo, yang dilantik oleh mantan presiden Joko Widodo pada Januari 2021 dan menjadi antara ketua polis paling lama berkhidmat dalam sejarah Indonesia.
Perubahan kepimpinan itu disahkan selepas DPR menerima surat Presiden bernombor R57/Pres/09/2026 bertarikh 30 September yang mengusulkan pemberhentian Jeneral Listyo dan pelantikan Encik Suyudi sebagai penggantinya.
Ketua Suruhanjaya III DPR, Encik Habiburokhman, berkata pimpinan DPR menerima surat Presiden itu pada pagi 1 Oktober sebelum Badan Musyawarah Parlimen menugaskan Suruhanjaya III menjalankan ujian bagi menilai kelayakan Encik Suyudi untuk dilantik sebagai Ketua Polis Negara.
Selepas mendengar pembentangan visi dan misinya, semua wakil parti dalam Suruhanjaya III sebulat suara bersetuju menyokong pelantikan Encik Suyudi sebagai Ketua Polis Negara yang baru.
Keputusan itu kemudian dibawa ke sidang pleno DPR yang dipengerusikan Speaker, Cik Puan Maharani, dan mendapat kelulusan Parlimen.
Encik Suyudi, seorang pegawai kanan polis yang mengetuai Badan Narkotika Nasional (BNN) sejak Ogos 2025, dijangka membawa pengalamannya dalam penguatkuasaan undang-undang dan usaha memerangi dadah ke pucuk pimpinan Polis Nasional Indonesia (Polri).
Ketika menjalani ujian kelayakan, beliau menggariskan doktrin kepimpinan “Polisi Bersama Rakyat” dan membentangkan program 100 hari untuk memulakan transformasi institusi polis.
Beliau turut berikrar menyelaraskan keutamaan Polri dengan agenda pemerintah, termasuk reformasi undang-undang, usaha memerangi rasuah dan dadah, keselamatan negara serta pembangunan sumber manusia.
Menurutnya, polis perlu menjalankan tanggungjawabnya dalam menjaga keselamatan, memberi kepastian undang-undang dan menangani jenayah tanpa mengambil alih bidang kuasa institusi pemerintah lain.
Timbalan Ketua Suruhanjaya III, Encik Ahmad Sahroni, menyifatkan Encik Suyudi sebagai pegawai yang mempunyai rekod kukuh dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan berupaya menggantikan Jeneral Listyo.
Pertukaran kepimpinan itu menyusuli spekulasi selama beberapa bulan mengenai kedudukan Jeneral Listyo.
Pada awal Ogos, media tempatan melaporkan bahawa Encik Prabowo merancang menggantikan beliau, tetapi laporan berkenaan ketika itu dinafikan Encik Habiburokhman yang meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin yang belum disahkan.
Spekulasi itu muncul ketika hubungan antara polis dengan Pejabat Peguam Negara dilaporkan tegang susulan beberapa siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan pegawai kanan kedua-dua institusi.
Jeneral Listyo juga berdepan tekanan terhadap kepimpinannya susulan beberapa kontroversi membabitkan pasukan polis.
Menurut laporan media Indonesia, Polri berdepan kritikan awam berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa, tindakan keras anggota polis dan budaya tidak bertanggungjawab dalam institusi itu.
Tekanan terhadap pasukan polis meningkat dengan ketara selepas bantahan besar-besaran pada Ogos 2025 apabila penghantar makanan, Affan Kurniawan, maut selepas dilanggar kenderaan berperisai milik Briged Mobil polis ketika demonstrasi.
Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai dan desakan supaya pembaharuan menyeluruh dilakukan dalam pasukan polis.
Pertukaran ketua polis itu sekali gus meletakkan Encik Suyudi di hadapan usaha Encik Prabowo untuk memperbaharui Polri ketika keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang terus menjadi perhatian.
Encik Suyudi juga mengambil alih pada waktu pemerintah berdepan cabaran keselamatan yang luas, daripada jenayah terancang dan pengedaran dadah kepada rasuah serta tuntutan supaya tindakan polis lebih telus dan bertanggungjawab.
Pada pagi 1 Oktober, ketika Encik Suyudi menjalani proses kelulusan di DPR, Jeneral Listyo masih dilihat bersama Encik Prabowo pada upacara memperingati Hari Kesaktian Pancasila di Monumen Pancasila Sakti di Lubang Buaya, Jakarta Timur.
Beliau akan dilantik sebagai Ketua Staf Presiden (KSP) dalam rombakan terbaru pentadbiran Presiden Prabowo.
Sumber yang dipetik Tempo sebelum ini berkata rancangan menggantikan Jeneral Listyo sudah dipertimbangkan sejak September dan beliau mungkin diberikan tugas baru dalam pentadbiran Encik Prabowo.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai jawatan baru untuk Jeneral Listyo.
Pelantikan Encik Suyudi kini menandakan perubahan penting dalam kepimpinan salah sebuah institusi keselamatan paling berpengaruh di Indonesia, dengan perhatian seterusnya tertumpu kepada sejauh mana beliau mampu melaksanakan pembaharuan Polri dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan itu. - Agensi berita