Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo lancar biodiesel B50, perluas penggunaan bahan api campuran diesel-sawit
Prabowo lancar biodiesel B50, perluas penggunaan bahan api campuran diesel-sawit
Prabowo lancar biodiesel B50, perluas penggunaan bahan api campuran diesel-sawit
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, pada 9 Julai melancarkan secara rasmi pelaksanaan nasional program biodiesel B50, langkah yang disifatkan sebagai mercu tanda penting dalam usaha negara itu memperkukuh keselamatan tenaga, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import dan mempercepat peralihan kepada tenaga lebih hijau.
Pelancaran itu menandakan pelaksanaan penuh program B50 yang telah berkuat kuasa di seluruh Indonesia sejak 1 Julai lalu selepas melalui tempoh percubaan selama lapan bulan.
B50 ialah bahan api yang mengandungi campuran 50 peratus diesel petroleum dan 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit, peningkatan daripada program B40 yang dilaksanakan sebelum ini.
Program berkenaan bukan sekadar dasar tenaga, malah menjadi strategi penting untuk memanfaatkan sumber semula jadi negara bagi mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan pergantungan kepada pasaran luar.
Pemerintah Indonesia melihat B50 sebagai sebahagian daripada agenda transformasi tenaga nasional yang memberi keutamaan kepada penggunaan sumber tenaga tempatan, meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon.
Pelaksanaan program itu dibuat ketika pasaran tenaga dunia masih tidak menentu susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan minyak global, terutama di Selat Hormuz.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, sebelum ini berkata B50 mampu menggantikan kira-kira 300,000 tong diesel import sehari.
Beliau berkata dasar itu juga dijangka menjimatkan pertukaran asing sekitar 157 trilion rupiah (S$12.9 bilion) tahun ini.
Naib Presiden Komunikasi Korporat Pertamina Patra Niaga, Encik Kitty Andhora, berkata syarikat itu telah membuat segala persiapan bagi memastikan bekalan B50 dapat diedarkan tanpa gangguan.
“Pertamina Patra Niaga telah menyediakan semua kemudahan yang diperlukan supaya proses pengeluaran, pengedaran dan bekalan B50 berjalan lancar,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 29 daripada 126 Terminal Bahan Api Minyak (TBBM) milik Pertamina kini bersedia mengedarkan Biosolar B50.
Jumlah terminal itu akan ditambah secara berperingkat sepanjang tempoh peralihan.
Pelaksanaan B50 dibuat berdasarkan Keputusan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral mengenai kewajipan mencampurkan 50 peratus biodiesel ke dalam diesel.
Pemerintah turut memberi tempoh peralihan sehingga 30 September depan kepada syarikat yang masih mempunyai stok B40, selagi bahan api itu memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Melalui B50, pemerintah menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengukuhan keselamatan tenaga negara, pengurangan import bahan api fosil dan peningkatan nilai tambah industri sawit tempatan.
Namun di sebalik manfaat yang dijangka diperoleh, pelaksanaan B50 turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar ekonomi dan industri sawit.
Persatuan Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) menganggarkan dasar itu boleh mengurangkan eksport minyak sawit mentah (CPO) sebanyak kira-kira dua juta tan pada separuh kedua tahun 2026 apabila lebih banyak bekalan dialihkan kepada pengeluaran biodiesel domestik.
Jika dilaksanakan sepanjang tahun, tambahan keperluan CPO bagi program B50 boleh mencecah hampir empat juta tan setahun.
Pakar ekonomi berkata kejayaan B50 bergantung kepada sama ada penjimatan daripada pengurangan import diesel mampu mengatasi kehilangan pendapatan eksport minyak sawit, kos subsidi biodiesel dan kemungkinan kenaikan harga minyak masak di dalam negara.
Pensyarah ekonomi, Encik Achmad, berkata matlamat program itu sememangnya wajar kerana Indonesia sejak sekian lama bergantung kepada diesel import.
“Apabila harga minyak dunia meningkat, tekanan terhadap belanjawan negara bertambah, defisit perdagangan minyak dan gas melebar serta subsidi tenaga menjadi lebih mahal,” katanya.
Pada masa ini, subsidi biodiesel dibiayai Agensi Pengurusan Dana Perladangan (BPDP), yang memperoleh dana melalui levi eksport minyak sawit.
Namun, apabila harga minyak dunia kembali menurun selepas konflik Iran reda, sedangkan harga minyak sawit kekal tinggi melebihi AS$1,100 (S$1,414) satu tan, jurang harga antara biodiesel dan diesel semakin melebar.
Keadaan itu dijangka meningkatkan keperluan subsidi, manakala hasil levi eksport pula boleh berkurangan jika jumlah eksport minyak sawit menurun.
Selain itu, penggunaan lebih banyak minyak sawit untuk biodiesel turut dikhuatiri memberi tekanan kepada bekalan minyak masak dan eksport jika pengeluaran sawit negara tidak meningkat.
Penganalisis berpendapat B50 berpotensi menjadi tonggak baharu keselamatan tenaga Indonesia, namun kejayaannya bergantung kepada keupayaan kerajaan mengimbangi keperluan tenaga, kestabilan fiskal, kepentingan industri sawit dan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar. - Agensi berita
