Indonesia sasar pembekal utama bahan api penerbangan, sekat eksport sisa minyak sawit
Indonesia sasar pembekal utama bahan api penerbangan, sekat eksport sisa minyak sawit
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto berhasrat menjadikan Indonesia pembekal bahan api penerbangan terkemuka dunia ketika beliau mempertahankan keputusan menyekat eksport minyak masak terpakai dan sisa minyak sawit.
Presiden Prabowo Subianto berkata, bahan tersebut akan disalurkan bagi menyokong, antara lain, pengeluaran biodiesel dan bahan api penerbangan domestik.
“Sisa minyak sawit, minyak masak terpakai boleh digunakan sebagai bahan mentah untuk bahan api penerbangan. Oleh itu, dengan memohon maaf kepada negara-negara lain, saya akan menghentikan eksport tersebut.
“Saya melarang eksport sisa minyak sawit dan minyak masak terpakai. Ia mesti terlebih dahulu memenuhi kepentingan rakyat Indonesia,” katanya dalam ucapan semasa Mesyuarat Penyelarasan Nasional (Rakornas) pemerintah pusat dan wilayah di Sentul, Daerah Bogor, Jawa Barat, pada 2 Februari.
Encik Prabowo berkata usaha memperluas pembangunan tenaga berasaskan sawit akan membantu mengurangkan pergantungan Indonesia terhadap import tenaga.
Beliau menambah bahawa Indonesia berhasrat bukan sahaja untuk mencapai sara diri biodiesel tetapi juga menjadi antara pengeluar bahan api penerbangan terbesar di dunia.
Negara yang kaya dengan sumber asli itu telah mula mengetatkan penghantaran menerusi peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan pada 2025.
Di bawah peraturan itu, pengeksport perlu mendapatkan kelulusan pemerintah untuk menghantar minyak masak terpakai juga dikenali sebagai UCO dan sisa minyak sawit ke luar negara.
Namun, Encik Prabowo tidak memperincikan sama ada beliau berhasrat untuk melaksanakan larangan yang lebih ketat atau hanya merujuk kepada sekatan sedia ada yang dinyatakan dalam peraturan Kementerian Perdagangan 2025 itu.
Ogos lalu, syarikat tenaga milik pemerintah, Pertamina, telah mengarahkan anak syarikat penerbangannya, Pelita Air, supaya menggunakan bahan api penerbangan lestari berasaskan UCO dalam penerbangan komersial buat kali pertama. Pesawat itu menyediakan penerbangan di laluan Jakarta-Bali.
Di negara sendiri, Indonesia mahu mengekalkan minyak sawit yang mencukupi untuk melaksanakan dasar biodieselnya, yang dilihat sebagai penawar untuk pergantungannya pada bahan api diesel yang diimport.
“Kita boleh menukar minyak sawit kepada biodiesel. Dengan ini, kita boleh bebas daripada mengimport diesel,” kata Encik Prabowo.
Jakarta telah mewajibkan 40 peratus campuran minyak sawit dalam bahan api dieselnya menerusi dasar yang lebih dikenali sebagai B40.
Kementerian Tenaga melaporkan bahawa pengeluaran biodiesel B40 Indonesia berjumlah 14.2 juta kiloliter.
Negara Asia Tenggara itu telah menjimatkan 130.21 trilion rupiah ($9.9 bilion) dalam pertukaran asing apabila dasar tersebut mengurangkan import diesel sebanyak 3.3 juta kiloliter.
Rancangan sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi campuran minyak sawit mandatori kepada 50 peratus, mungkin bermula pada separuh kedua tahun ini, walaupun pelancarannya akan bergantung pada ujian tersebut.
Eksport minyak sawit mentah dan derivatif Indonesia berjumlah AS$24.42 bilion ($31 bilion) pada 2025. – Agensi berita.

