Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

FOKUS INDONESIA

Prabowo lebih inklusif, toleran dalam kempen pilihan raya presiden 2024

Mahu difahami oleh pengundi sebagai seorang yang berwibawa, harmoni dan bertolak ansur
Jun 18, 2023 | 05:31 AM



Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada perubahan sederhana dalam strategi dan nada kempen calon kali ketiga Prabowo Subianto akan membuahkan hasil dalam pilihan raya presiden (PE) Indonesia pada 2024. Tetapi tidak ada salahnya mencuba.

Encik Prabowo kini dilihat sebagai pencabar kuat kepada Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, yang dicalonkan oleh Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Tinjauan baru-baru ini oleh Lembaga Survei Indonesia (LSI), Saiful Muzani Research Consulting (SMRC), dan Lingkaran Survei Indonesia (LSI-Denny JA) menunjukkan Encik Prabowo mendahului dari segi keupayaan untuk dipilih berbanding Encik Ganjar dan mantan gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan.

Tinjauan yang dibuat oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan harian Kompas (Litbang Kompas) menunjukkan keupayaan Encik Prabowo dipilih adalah lebih tinggi sama ada beliau bersaing satu lawan satu dengan Encik Ganjar mahupun Encik Anies.


Sebelum ini, ramai mungkin memandang rendah penakatan politik Encik Prabowo.

Penulis rencana ini menegas bahawa Encik Prabowo masih calon berupaya maju dalam PE 2024.

Seperti Encik Ganjar dan Encik Anies, sokongan bagi Encik Prabowo masih boleh meningkat atau merosot menjelang PE pada Februari 2024.

Rating populariti Encik Prabowo, Encik Ganjar dan Encik Anies bergantung kepada beberapa faktor, tetapi taktik dan strategi kempen calon-calon itu adalah dua isu penting yang boleh mempengaruhi sebarang kemungkinan.

Daya saing Encik Prabowo terletak pada perubahan ketara dalam strateginya untuk memenangi pilihan raya.

Rencana ini fokus pada bagaimana Encik Prabowo mengubah strategi kempen daripada secara keras atau antagonis – seperti yang dilihat dalam PE 2014 dan 2019 – kepada pendekatan lebih lembut bagi PE 2024.

Semasa dua PE sebelum ini, Encik Prabowo menggunakan strategi ofensif bagi mengemukakan pemikirannya dan mempamerkan imej seorang calon “berperangai keras”.

Seorang pemerhati membandingkan beliau dengan mantan presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Kenyataan Encik Prabowo yang kelihatan emosional bukan ditujukan kepada lawannya, Encik Joko Widodo (Jokowi), sahaja, malah penyokong Encik Jokowi.

Tetapi sekarang, Encik Prabowo kelihatan menampilkan dirinya sebagai seorang ahli politik bersikap terbuka dan inklusif.

Beliau telah melakukan banyak lawatan muhibah (silaturahim politik) bukan ke atas tokoh nasional termasuk ahli politik dan tokoh tentera sahaja, malah mereka yang mungkin menolak kepimpinan beliau atau yang mempunyai perselisihan dengannya.

Semasa mengadakan pertemuan dengan pesara jeneral Wiranto, yang memecat beliau daripada tentera dulu, Encik Prabowo memuji Encik Wiranto sebagai ‘bos’ nya.

Encik Wiranto berasa beliau sekarang boleh menyokong Encik Prabowo.

Encik Prabowo juga mengunjungi mantan presiden, Encik Susilo Bambang Yudhoyono, yang Parti Demokrat (PD) pimpinannya menyokong Encik Anies Baswedan.

Melalui saluran media sosialnya, termasuk YouTube, Twitter dan Facebook, Encik Prabowo juga cuba meninggalkan kesan yang baik kepada orang ramai.

Gaya beliau berpolitik sudah berubah. Beliau tidak mengkritik tokoh politik daripada parti yang tidak menyokongnya, seperti Encik Anies dan Encik Sandiaga Uno.

Semasa pemilihan gabenor Jakarta pada 2017, Encik Prabowo menyokong Encik Anies sebagai gabenor dalam persaingannya menentang Encik Basuki Tjaja Purnama (Ahok).

Menteri Pelancongan, Encik Sandiaga Uno, yang berganding dengan Encik Prabowo dalam PE 2019, telah keluar daripada Gerindra, parti pimpinan Encik Prabowo.

Pengunduran Encik Sandiaga membolehkannya bergabung dengan mana-mana calon (tidak semestinya dengan Encik Prabowo).

Ini bermakna Encik Anies dan Encik Sandiaga sekarang dalam kem lain daripada Encik Prabowo.

Encik Anies calon pilihan parti Nasional Demokrat (NasDem), PD dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS), sekali gus saingan langsung bagi Encik Prabowo.

Parti Persatuan Pembangunan (PPP) sedang cuba mendampingi PDI-P dan nampaknya telah berjanji kepada Encik Sandiaga bahawa beliau boleh menjadi rakan calon Encik Ganjar.

Daripada menuduh dua tokoh itu – Encik Anies dan Encik Sandiaga – sebagai tidak setia, Encik Prabowo menyifatkan mereka sebagai saudara beliau.

Nampaknya Encik Prabawo mahu difahami oleh pengundi Indonesia sebagai seorang yang berwibawa, harmoni, dan bertolak ansur.

Untuk tujuan ini, beliau telah mengambil langkah untuk mengubah pendekatan kempennya.

Encik Prabowo sebelum ini dilihat rapat dengan kumpulan Islami konservatif. 

Sekarang beliau nampaknya sedang menjauhkan diri daripada kumpulan militan dan radikal yang sebelum ini menyokongnya.

Beliau kini lebih gemar bertemu personaliti seperti Gus Miftah (pendakwah selebriti yang berpengaruh dari Yogyakarta); Habib Jindan (tokoh sederhana asal Yaman); Habib Lutfi (ulama nasional yang disegani dari Pekalongan dan ahli Majlis Penasihat Presiden), dan lain lain.

Kelihatannya Encik Prabowo telah belajar daripada pengalaman beliau bahawa pertama, bekerja dengan kumpulan Islam tidak membawa kejayaan; kedua, perikatannya dengan kumpulan-kumpulan itu hanya satu taktik; ketiga, kesedaran Encik Prabowo bahawa bersekutu dengan kumpulan-kumpulan Islam tidak mendatangkan kebaikan baginya kerana beliau lebih bersikap sekular dan beridentiti nasional.

Encik Prabowo mungkin memahami bahawa beliau harus mempunyai hubungan dengan tokoh agama yang dihormati atau malah yang disayangi “pengundi yang dijangka atau berkemungkinan mengundinya”, yang merupakan nahdliyyin sederhana, iaitu pengikut Nahdlatul Ulama (NU), untuk dipilih menjadi presiden.


NU adalah pertubuhan Islam terbesar dengan anggotanya dikatakan antara 45-95 juta.

Dilihat dari sudut lain, Encik Prabowo menyasarkan kader utama penyokong Muslim sederhana Encik Jokowi. Bagi tujuan itu, Encik Prabowo baru-baru ini menziarahi kubur mantan pengerusi umum NU, Allahyarham Abdurrahman Wahid (Gus Dur), dan beberapa pesantren NU, termasuk Tebuireng Jombang, Tambak Beras, Termas dan lain-lain di Jawa Timur.

Memandangkan rakan calonnya mungkin tokoh daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Encik Prabowo sedang memperbaharui hubungannya dengan ulama yang rapat dengan tradisi NU, kerana PKB secara tradisi dikaitkan dengan NU.

Adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peralihan strategi Encik Prabowo mencukupi baginya untuk mencapai kemenangan pada 2024.

Bagaimanapun, menjadi inklusif dan toleran (sedia menghormati atau menerima pendapat berbeza), dan bekerja secara harmoni bersama tokoh penting Islam sederhana mungkin boleh membantunya.

Melakukan demikian bukan sahaja akan menjadi satu taktik pilihan raya, bahkan memenuhi matlamatnya yang lebih luas ingin dilihat sebagai seorang negarawan negara yang matang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >