Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo mahu hukuman lebih berat terhadap pembakar hutan
Kes pembakaran hutan diklasifikasi sebagai ‘keganasan ekologi’; lesen operasi 26 syarikat digantung
Prabowo mahu hukuman lebih berat terhadap pembakar hutan
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mahu undang-undang dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu serta syarikat yang menggunakan kaedah membakar untuk membuka tanah, ketika Indonesia bergelut menangani kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Beliau turut mencadangkan perbuatan menyebabkan kebakaran hutan dan tanah yang serius diklasifikasikan sebagai “keganasan ekologi”, bagi mencerminkan kesan besar perbuatan itu terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
Indonesia kini berdepan kebakaran hutan paling serius dalam tempoh 11 tahun, ketika keadaan cuaca “El Nino super” menyebabkan hutan dan kawasan pertanian menjadi sangat kering serta mudah terbakar.
Kalimantan dan Sumatera merupakan antara kawasan paling teruk terjejas, sementara jerebu berbahaya menyebabkan peningkatan kes penyakit pernafasan.
Asap daripada kebakaran itu turut merentas sempadan sehingga menyebabkan mutu udara mencapai paras tidak sihat di Singapura dan Malaysia.
Dalam mesyuarat bersama Kabinet, Encik Prabowo menegaskan pemerintah tidak akan bertolak ansur terhadap individu atau syarikat yang didapati bertanggungjawab mencetuskan kebakaran.
“Saya sudah meminta Setiausaha Negara dan Menteri Undang-Undang meneliti perkara ini dengan lebih lanjut, khususnya mengenai hukuman dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan Istana yang dikeluarkan lewat 16 September.
“Mungkin kita juga perlu meminta Dewan Perwakilan Rakyat memperketat undang-undang dengan mengklasifikasikan perbuatan ini sebagai ‘keganasan ekologi’. Ini perkara yang sangat serius,” tambahnya.
Encik Prabowo turut mengarahkan pemerintah wilayah supaya segera menghapuskan pengecualian yang membolehkan pekebun kecil menggunakan api untuk membersihkan kawasan tanah berskala kecil.
Polis juga diarahkan menjalankan siasatan jenayah terhadap syarikat yang didapati gagal mematuhi langkah pencegahan kebakaran.
Gesaan itu dibuat ketika pemerintah memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran.
Menteri Perhutanan Indonesia, Encik Raja Juli Antoni, berkata kementeriannya sudah menggantung operasi 26 syarikat berhubung kebakaran hutan dan tanah.
Menurut beliau, penggantungan itu merupakan sebahagian daripada hukuman pentadbiran dan syarikat terbabit juga boleh diarahkan memulihkan kawasan alam sekitar yang rosak.
Tindakan jenayah boleh menyusul sekiranya siasatan menemukan bukti berlaku pelanggaran undang-undang.
“Secara rasmi, ia disebut hukuman pentadbiran berupa penggantungan kegiatan perniagaan. Ini sebahagian daripada usaha kami memperkukuh penguatkuasaan undang-undang,” kata Encik Raja Juli selepas mesyuarat bersama Suruhanjaya IV Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta.
Kementerian Perhutanan kini mengendalikan 46 kes berkaitan kebakaran, membabitkan 15 syarikat dan 31 individu.
Dua kes sudah lengkap untuk dibawa ke mahkamah, sementara yang lain masih dalam peringkat siasatan atau penelitian awal.
Pada 25 Ogos, kementerian mengenakan hukuman pentadbiran terhadap enam syarikat pemegang permit penggunaan hutan selepas pemeriksaan menemukan kebakaran meliputi keseluruhan 1,511.55 hektar dalam kawasan konsesi mereka di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Timur.
Lima syarikat diarahkan menjalankan kerja pemulihan alam sekitar, sementara sebuah lagi dikenakan penggantungan lesen perniagaan selain diwajibkan memulihkan kawasan terjejas.
Pada awal September, lima lagi pemegang permit di Kalimantan Barat dikenakan tindakan pentadbiran selepas kebakaran disyaki berlaku dalam kawasan konsesi mereka.
Tindakan lebih tegas itu dilaksanakan ketika skala kebakaran terus meningkat akibat musim kemarau yang lebih buruk.
Data pemerintah menunjukkan kira-kira 202,000 hektar tanah terbakar antara Januari dengan Julai 2026.
Pertubuhan alam sekitar Yayasan Konservasi Alam Nusantara (YKAN) pula menganggarkan sekitar 600,000 hektar lagi terjejas akibat kebakaran sepanjang Ogos.
Encik Raja Juli memberi amaran kebakaran mungkin berterusan sehingga awal November kerana musim hujan dijangka bermula lebih lewat daripada anggaran sebelum ini.
Pemerintah menetapkan enam wilayah sebagai kawasan keutamaan bagi operasi menangani kebakaran, iaitu Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Riau, Sumatera Selatan dan Jambi.
Lebih 50 pesawat sudah dikerahkan bagi menjalankan operasi pengeboman air dan pembenihan awan untuk membantu memadam kebakaran.
Jepun turut menyertai operasi pengeboman air Indonesia pada 16 September selepas menghantar tiga helikopter CH-47 Chinook seminggu sebelumnya.
Penyertaan helikopter itu sebelum ini tertangguh akibat keadaan penerbangan yang buruk.
Dengan kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya, langkah pemerintah kini bukan sahaja tertumpu kepada operasi memadam api, tetapi juga penguatkuasaan bagi menangani punca kebakaran.
Arahan terbaru Encik Prabowo menunjukkan pemerintah mahu menutup ruang penggunaan api untuk membuka tanah dan meningkatkan tanggungjawab syarikat terhadap kebakaran yang berlaku dalam kawasan operasi mereka. - Agensi berita
