Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo mohon maaf kepada S’pura dan M'sia atas jerebu
Sedia tubuh badan baharu perkukuh langkah cegah kebakaran hutan, ambil tindakan tegas terhadap syarikat terlibat
Prabowo mohon maaf kepada S’pura dan M'sia atas jerebu
MANILA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, memohon maaf pada 15 November kepada Singapura dan Malaysia bagi pihak pemerintah beliau atas sebarang impak yang mungkin ditanggung oleh rakyat kedua-dua negara akibat kebakaran hutan di Indonesia.
Beliau juga menyatakan pihak berkuasa negaranya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang dikaitkan dengan punca kebakaran tersebut.
Encik Prabowo menarik perhatian bahawa pemerintah Indonesia telah dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat dalam kes kebakaran hutan yang menyebabkan masalah jerebu tersebut.
Menurut beliau, negaranya juga bersedia untuk menubuhkan sebuah badan baharu bagi memperkukuh langkah-langkah pencegahan kebakaran hutan.
Kenyataan itu disampaikan oleh Encik Prabowo semasa berucap dalam satu sesi mesyuarat Asean, menurut kenyataan daripada istana presiden Indonesia pada 15 November.
Menteri Luar Filipina, Cik Theresa Lazaro, berkata pada 15 November bahawa Indonesia telah secara terus terang menyatakan usaha yang telah dilakukannya untuk menangani kebakaran hutan.
“Para pemimpin turut menggalakkan negara-negara anggota Asean supaya mengutamakan ratifikasi Pusat Penyelarasan Asean untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan,“ ujar beliau dalam satu taklimat akhbar.
Indonesia sedang berdepan dengan kebakaran hutan paling teruk dalam tempoh 11 tahun, dengan kawasan hutan yang luas musnah terbakar, terutamanya di pulau Sumatra, Borneo, dan Papua.
Satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia memusnahkan sekitar 2.88 juta hektar – hampir 40 kali ganda keluasan Singapura – sepanjang 10 bulan pertama 2026, dengan ribuan hektar tanah dalam kawasan konsesi ladang kelapa sawit dan kayu pulpa milik syarikat besar turut terbakar.
Kajian yang diterbitkan pada 13 November itu mendedahkan bagaimana pembukaan hutan, pengeringan tanah gambut dan pengurusan kebakaran yang lemah meningkatkan risiko kebakaran besar ketika Indonesia mengalami musim kemarau paling buruk dalam beberapa tahun.
Menurut kajian bersama Rangkaian Tindakan Hutan Hujan (RAN) dan platform pemantauan hutan Nusantara Atlas, keluasan tanah yang terbakar dari Januari hingga Oktober bersamaan kira-kira 18 kali keluasan London. – Agensi berita.