JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia memusnahkan kira-kira 2.88 juta hektar kawasan sepanjang 10 bulan pertama 2026, dengan ribuan hektar tanah dalam kawasan konsesi ladang kelapa sawit dan kayu pulpa milik syarikat besar turut terbakar.

Kajian yang diterbitkan pada 13 November itu mendedahkan bagaimana pembukaan hutan, pengeringan tanah gambut dan pengurusan kebakaran yang lemah meningkatkan risiko kebakaran besar ketika Indonesia mengalami musim kemarau paling buruk dalam beberapa tahun.

Menurut kajian bersama Rangkaian Tindakan Hutan Hujan (RAN) dan platform pemantauan hutan Nusantara Atlas, keluasan tanah yang terbakar dari Januari hingga Oktober bersamaan kira-kira 18 kali keluasan London.

Kawasan terbakar itu meningkat hampir sejuta hektar dalam tempoh sebulan, sekali gus mencerminkan betapa pantasnya api merebak ketika cuaca panas dan kering melanda negara berkenaan.

Jumlah kawasan yang terbakar dalam sembilan bulan pertama tahun ini juga 35 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2019, ketika Indonesia kali terakhir mengalami keadaan El Nino yang kuat.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia belum mengesahkan atau menolak angka tersebut dan belum mengeluarkan anggaran rasmi keluasan kawasan yang terbakar sejak Julai.

Kebakaran besar itu turut mencetuskan krisis kesihatan apabila ratusan ribu penduduk Indonesia mengalami masalah pernafasan akibat terhidu asap berbahaya.

Jerebu turut menjejaskan negara jiran, menyebabkan amaran pencemaran udara dikeluarkan dan beberapa sekolah ditutup.

Pelepasan bahan pencemar daripada kebakaran dilaporkan meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding purata bermusim.

Kajian berasingan oleh kumpulan saintis Kumpulan Kajian Pengaruh Perubahan Iklim terhadap Cuaca Dunia (WWA) mendapati fenomena El Nino menjadi punca utama kekurangan hujan yang luar biasa di Indonesia antara Julai dengan Oktober.

Fenomena itu menyebabkan jumlah hujan bermusim berkurangan kira-kira separuh, menjadikan hutan dan tanah gambut lebih mudah terbakar.

Pada masa sama, perubahan iklim akibat kegiatan manusia meningkatkan suhu dan memburukkan keadaan.

Menurut WWA, perubahan iklim, terutamanya akibat pembakaran bahan api fosil, menyebabkan suhu antara Ogos dengan Oktober menjadi kira-kira 1.6 darjah Celsius lebih panas.

Pemanasan global akibat kegiatan manusia turut menjadikan keadaan cuaca yang menggalakkan kebakaran kira-kira tiga kali lebih berkemungkinan berlaku.

Pakar kaji cuaca daripada kumpulan penyelidikan kebakaran FLARE, Encik Pramudhian Firdaus, berkata landskap Indonesia berubah dengan ketara sepanjang 30 tahun lalu akibat penebangan hutan dan pengeringan tanah gambut secara meluas.

Perubahan itu menyebabkan kawasan berkenaan semakin mudah terbakar, terutama ketika musim kemarau panjang.

Beliau menegaskan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta melindungi hutan dan tanah gambut amat penting bagi mengurangkan risiko kebakaran pada masa depan.

Kajian RAN dan Nusantara Atlas turut mengenal pasti kebakaran dalam kawasan konsesi yang dikendalikan beberapa syarikat besar, termasuk kumpulan perniagaan yang sedang disiasat di Singapura mengikut undang-undang pencemaran jerebu rentas sempadan.

Antaranya, lebih 14,600 hektar tanah terbakar dalam kawasan konsesi kayu pulpa PT Bumi Mekar Hijau, pembekal eksklusif kepada Asia Pulp & Paper (APP) di Indonesia.

APP memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengulas penemuan kajian tersebut.

Di Kalimantan Barat, sekurang-kurangnya 3,742 hektar tanah terbakar dalam kawasan konsesi kelapa sawit PT Kayung Agro Lestari, yang dikendalikan First Resources, sebuah syarikat tersenarai di Singapura.

Daripada jumlah itu, hampir 2,000 hektar merupakan kawasan hutan yang ditetapkan mempunyai nilai pemuliharaan tinggi.

First Resources tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.

Bagaimanapun, syarikat itu memberitahu RAN bahawa ia mengamalkan dasar pembukaan tanah tanpa pembakaran dan sudah melaksanakan langkah pencegahan kebakaran.

Analisis imej satelit turut mengenal pasti 4,473 hektar kawasan terbakar dalam konsesi kelapa sawit yang dikendalikan Bumitama Agri.

Kira-kira 88 peratus kawasan terbakar itu terletak di tanah gambut yang mudah terbakar.

Bumitama tidak menjawab permintaan ulasan melalui e-mel, tetapi memaklumkan kepada RAN bahawa siasatan masih dijalankan dan pihaknya belum dapat menjawab dakwaan khusus.

Ketua penyelidikan dan siasatan RAN, Encik Alex Helan, berkata persoalan utama bukan sekadar siapa yang memulakan kebakaran, tetapi pihak yang mengubah keadaan tanah sehingga menjadikannya mudah terbakar.

Menurut beliau, pengeringan tanah gambut bagi membuka kawasan pertanian dan perladangan boleh meningkatkan risiko kebakaran besar.

Kajian itu bagaimanapun tidak menentukan bagaimana kebakaran berkenaan bermula.

RAN turut menggesa bank dan pelabur supaya mengenakan syarat pencegahan kebakaran yang boleh dipercayai sebelum menyediakan pembiayaan kepada syarikat yang beroperasi di kawasan berisiko tinggi.

Encik Helan menegaskan keputusan membuka ladang di kawasan mudah terbakar dibuat oleh syarikat demi keuntungan, justeru mereka perlu mengambil tanggungjawab terhadap risiko yang diwujudkan.

“Syarikat-syarikat ini membuat keputusan perniagaan di pejabat mereka untuk beroperasi di kawasan yang amat mudah terbakar dan membangunkan ladang di kawasan tersebut demi keuntungan,” katanya. – Agensi berita