JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto pada 2 Jun menggugurkan Ketua Badan Gizi Nasional (BGN), Encik Dadan Hindayana, sekali gus menamatkan tempoh hampir dua tahun penuh cabaran dalam mengendalikan Program Makanan Bergizi Percuma (MBG) yang berdepan pelbagai kontroversi termasuk kes keracunan makanan dan dakwaan penyelewengan bajet.

Keputusan mengejut memecat ketua jabatan yang mengendalikan program makanan berkhasiat percuma kepada pelajar sekolah bagi menangani isu kekurangan nutrisi itu diumumkan Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, dalam sidang media di Kompleks Istana Presiden di Jakarta Pusat.

“Hari ini, Selasa, 2 Jun 2026, Presiden memutuskan untuk melakukan perubahan kepimpinan di Badan Gizi Nasional,” katanya.

Menurut beliau, Encik Dadan akan digantikan oleh timbalannya sendiri, Cik Nanik Sudaryati Deyang, yang juga dikenali sebagai pembantu rapat Prabowo.

Dua lagi timbalan ketua BGN, iaitu Encik Lodewijk Pusung dan Encik Sony Sonjaya, turut digugurkan daripada jawatan masing-masing.

Tempat mereka akan diisi oleh Cik Agustina Arumsari dan Encik Marsyal Muda Trenggono.

Encik Prasetyo berkata perubahan itu dibuat selepas Presiden Prabowo menilai prestasi BGN sepanjang 18 bulan lalu, termasuk pelaksanaan program MBG yang menjadi antara janji utama beliau dalam kempen pilihan raya presiden 2024.

Walaupun pemerintah tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai sebab pemecatan itu, Encik Prasetyo mengakui isu kualiti makanan menjadi antara kebimbangan utama.

“Pemerintah akan memastikan sepanjang proses penilaian berterusan dilakukan, semua program Badan Gizi Nasional tetap berjalan seperti sepatutnya,” katanya.

Program MBG yang dilancarkan pada 6 Januari 2025 bertujuan menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah, bayi serta wanita hamil dan menyusukan anak. Ketika ini, lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia terkesan dengan masalah bantut akibat kekurangan zat makanan yang teruk.

Pemerintah Indonesia berharap program itu mampu membantu sekurang-kurangnya 82.9 juta penerima manfaat, iaitu hampir satu pertiga daripada keseluruhan penduduk negara itu.

Setakat Mei 2026, pemerintah mendakwa lebih 62 juta penerima telah menikmati manfaat program berkenaan.

Namun di sebalik sasaran besar itu, program MBG turut dibelenggu pelbagai masalah serius.

Kes keracunan makanan dilaporkan berlaku di beberapa wilayah sejak program tersebut dimulakan pada 2025, dengan ribuan pelajar mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit dan demam selepas memakan hidangan yang disediakan.

Encik Dadan sendiri sebelum ini mengakui program tersebut bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 11,000 kes keracunan makanan, termasuk lebih 600 individu yang terpaksa dimasukkan ke hospital.

Keadaan itu mencetuskan kritikan meluas daripada masyarakat sivil dan kumpulan pemantau antirasuah yang mempersoalkan tahap kebersihan serta pengurusan dana program berbilion dolar itu.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa program makanan berkhasiat percuma itu ditangguhkan serta-merta ekoran isu kebersihan dan dakwaan salah laku rasuah.

Pada Mei lalu, kumpulan pemantau antirasuah , Badan Pemantau Rasuah Indonesia (ICW) memfailkan aduan terhadap Dadan berhubung dakwaan ketidakpatuhan dalam pengurusan bajet.

Presiden Prabowo sebelum ini mengakui terdapat masalah dalam pelaksanaan program MBG dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan.

Walaupun begitu, pengumuman pemecatan Encik Dadan tetap mengejutkan ramai pihak kerana beliau masih menjalankan tugas rasmi bersama Encik Prabowo pada pagi 2 Jun.

Antara agenda terakhirnya ialah mengiringi Presiden melawat dapur MBG atau Unit Pelaksana Pemenuhan Gizi (SPPG) di Palmerah, Jakarta Barat.

Beberapa hari sebelum digugurkan, Encik Dadan turut mencuri perhatian apabila mencadangkan peluasan program makanan percuma itu ke Arab Saudi.

Cadangan tersebut dibuat selepas beliau melawat Sekolah Indonesia Jeddah (SIJ) ketika menunaikan ibadah Haji di Makkah bersama isterinya menggunakan perbelanjaan sendiri.

Selepas lawatan itu, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan kajian kemungkinan untuk menyediakan makanan percuma kepada kira-kira 1,000 pelajar di sekolah tersebut.

Encik Dadan merupakan profesor entomologi dari Universiti IPB dan dilantik sebagai ketua pertama BGN oleh bekas Presiden Joko Widodo pada Ogos 2024.

Penubuhan BGN dilakukan ketika tempoh peralihan kuasa sebelum Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai presiden pada Oktober tahun sama.

Program MBG pula dianggap antara dasar paling bercita-cita tinggi Encik Prabowo, dengan kos pelaksanaan mencecah berbilion dolar setiap tahun.

Bagaimanapun, program itu turut menjadi antara sektor pertama yang mengalami pengurangan peruntukan ketika Jakarta berusaha mengurangkan tekanan ekonomi akibat konflik perang di Asia Barat.

Indonesia ketika ini masih berdepan cabaran besar berkaitan isu kekurangan zat makanan, dengan lebih 20 peratus kanak-kanak negara itu mengalami masalah bantut akibat pemakanan tidak mencukupi.

Pemerintah berharap MBG dapat menjadi penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan tahap kesihatan dan pemakanan rakyat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Namun, kontroversi berterusan melibatkan keselamatan makanan, pengurusan bajet dan keberkesanan pelaksanaan kini menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan program mega tersebut di bawah pentadbiran Prabowo.