Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo potong AS$3.77b bajet program makanan percuma
Prabowo potong AS$3.77b bajet program makanan percuma
Prabowo potong AS$3.77b bajet program makanan percuma
JAKARTA: Indonesia telah mengurangkan bajet Program Makanan Percuma (MBG) utamanya dengan anggaran Rp 67 trilion (AS$3.77 bilion).
Langkah itu dibuat ketika Presiden Prabowo Subianto mendesak kecekapan perbelanjaan pemerintah yang lebih luas, sambil menegaskan pemotongan itu tidak akan mengurangkan jangkauan program berkenaan kepada berjuta-juta pelajar di seluruh Indonesia.
Peruntukan program ini telah dikurangkan daripada Rp 335 trilion kepada Rp 268 trilion, kata Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, pada 19 Mei.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengurusan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan manfaat program yang menyasarkan para pelajar sekolah.
“Buat masa ini, angka tersebut mencecah Rp 268 trilion, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan selanjutnya dan pengiraan sedang dijalankan.
“Jadi orang ramai harus berhenti menyalahkan Program Makanan Percuma. Presiden sedang menambah baik pengurusan program dan cara dana dibelanjakan,” kata Encik Purbaya semasa sidang akhbar di pejabat Kementerian Kewangan.
Beliau menekankan bahawa pengurangan bajet mencerminkan pengawasan pemerintah yang lebih ketat terhadap program tersebut dan menunjukkan bahawa ia kekal terbuka untuk penilaian.
“Program ini tidak kebal daripada maklum balas. Presiden sedang menilai cara terbaik untuk mencapai penjimatan tanpa mengganggu keberkesanan program dalam menyediakan makanan untuk kanak-kanak sekolah. Itulah keutamaan kami sebenarnya,” katanya.
Walaupun terdapat pemotongan bajet, perbelanjaan untuk program tersebut terus meningkat sepanjang 2026.
Penyerapan bajet mencapai Rp 19.55 trilion pada Januari sebelum meningkat kepada Rp 38.97 trilion pada Februari, Rp 55.34 trilion pada Mac, dan Rp 75 trilion pada April.
Bilangan penerima manfaat juga terus meningkat. Jumlah penerima adalah seramai 39.7 juta orang pada Oktober 2025, meningkat kepada 43.9 juta pada November dan 50.8 juta pada Disember.
Memasuki tempoh 2026, jumlahnya mencapai 60 juta penerima manfaat pada Januari, 61.1 juta pada Februari, dan 61.8 juta pada Mac.
Sehingga April 2026, program tersebut telah menjangkau sekitar 62 juta orang di seluruh negara.
Kebanyakan penerima manfaat adalah daripada kumpulan umur persekolahan. Pada April sahaja, penerima golongan pelajar mencecah 48.8 juta orang, manakala penerima manfaat bukan pelajar berjumlah 13.2 juta.
“Ini adalah program yang baik dan kami akan terus menyokongnya, sambil meningkatkan kecekapannya pada masa hadapan,” kata Encik Purbaya. - Agensi berita
