Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo: Penyingkiran Presiden mesti ikut proses perlembagaan
Prabowo: Penyingkiran Presiden mesti ikut proses perlembagaan
Prabowo: Penyingkiran Presiden mesti ikut proses perlembagaan
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto, tampil menjawab desakan segelintir pihak yang mahu beliau disingkirkan lebih awal daripada jawatan, dengan menegaskan bahawa sebarang usaha menukar kepimpinan mesti dilakukan mengikut saluran perlembagaan.
Berucap di hadapan ratusan pegawai pemerintah di Istana Presiden pada 8 April, Encik Prabowo berkata beliau terbuka menerima kritikan, termasuk yang berbentuk keras.
“Jika kita dihina atau dikritik, anggaplah ia sebagai peringatan untuk kita lebih berwaspada,” katanya.
“Jika saya dilihat kurang bijak, maka saya perlu dikelilingi oleh penasihat yang lebih pintar untuk membantu saya,” tambah beliau.
Beliau turut menggesa semua pegawai pemerintah supaya tidak bertindak emosional terhadap kritikan, sebaliknya menanganinya dengan tenang dan bijaksana.
Walaupun mempertahankan pentadbirannya sebagai “berkesan” sejak mengambil alih kuasa pada Oktober 2024, Encik Prabowo mengakui terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintah.
“Jika pemerintah dianggap tidak memuaskan, maka gantilah.
“Ada mekanisme untuk itu secara aman dan teratur, melalui pilihan raya, itu tidak menjadi masalah, atau melalui pemakzulan (penyingkiran daripada jawatan), itu juga tidak menjadi masalah,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa proses pemakzulan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Pemakzulan mesti melalui saluran yang betul, melalui Dewan Perwakilan Rakyat, Mahkamah Perlembagaan dan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR),” katanya sambil menggesa rakyat “mempercayai sistem” yang dibina oleh pengasas negara.
Mengikut Perlembagaan Indonesia, seorang presiden hanya boleh dilucutkan jawatan oleh MPR selepas mendapat persetujuan DPR serta keputusan Mahkamah Perlembagaan bahawa berlaku kesalahan serius seperti pengkhianatan, rasuah atau pelanggaran berat lain.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut merujuk kepada peralihan kepimpinan terdahulu yang berlaku secara aman, termasuk semasa era mantan Presiden Sukarno, Suharto dan Abdurrahman Wahid (Gus Dur).
Beliau mengingatkan bahawa perubahan kepimpinan di Indonesia tidak berlaku melalui keganasan, sebaliknya melalui proses politik yang sah.
Gus Dur, misalnya, disingkirkan pada 2001 selepas berdepan tekanan politik yang memuncak kurang dua tahun selepas memegang jawatan.
Kenyataan Encik Prabowo dibuat susulan desakan beberapa ahli akademik dan pemerhati politik yang mencadangkan beliau digugurkan daripada jawatan, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Antara yang lantang bersuara ialah Encik Saiful Mujani, pengasas Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), yang mengkritik gaya kepimpinan Presiden Prabowo.
Menurut Encik Saiful, Presiden dilihat semakin kurang menunjukkan ciri kepimpinan yang sesuai, termasuk kecenderungan menolak kritikan dan mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak wajar.
Beliau malah menyeru masyarakat sivil agar bersatu “menjatuhkan” Presiden Prabowo, dengan alasan ia satu-satunya cara “menyelamatkan negara”, memandangkan proses rasmi seperti pemakzulan sukar dilaksanakan kerana majoriti besar kerajaan di Parlimen.
Kenyataan itu mengundang kecaman hebat daripada tokoh propemerintah.
Seorang pegawai dari Pejabat Staf Presiden menyifatkan Encik Saiful sebagai “pencetus ketegangan berselindung di sebalik imej akademik” dan mendakwa kenyataannya berunsur pengkhianatan.
Sementara itu, penganalisis politik, Encik Lili Romli, berkata desakan supaya Presiden Prabowo disingkirkan mungkin berpunca daripada kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan semasa.
“Banyak cadangan daripada masyarakat tidak diberi perhatian, menyebabkan keadaan politik menjadi tidak berkembang dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemunduran demokrasi,” katanya.
Walaupun beliau mengakui pelucutan jawatan sukar berlaku dalam keadaan pemerintah menguasai majoriti besar di Parlimen, Encik Lili berpandangan ketidakpuasan hati rakyat boleh diterjemahkan dalam bentuk reaksi awam yang lebih ketara.
“Pemerintah perlu lebih responsif dan terus memperbaiki prestasi.
“Dengan pendekatan yang lebih peka terhadap suara rakyat, tekanan yang timbul dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya. – Agensi berita.
