Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo peruntuk dana mangsa gempa Nusa Tenggara, korban cecah 105 orang
NUSA TENGGARA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, melakukan lawatan pertamanya ke Nusa Tenggara Timur (NTT) pada 26 Ogos – 11 hari selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda wilayah itu dan meragut sekurang-kurangnya 105 nyawa.
Lawatan itu dilakukan ketika ribuan gempa susulan terus menggegarkan kawasan terjejas, menyebabkan hampir 180,000 penduduk masih berlindung di pusat pemindahan dan tempat perlindungan sementara.
Encik Prabowo tiba di Mbay, ibu kota Kabupaten Nagekeo, pada petang 26 Ogos, diiringi Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian; Menteri Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi; dan Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo.
Sejurus tiba, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama beberapa agensi, termasuk Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi bantuan dan pemulihan.
Gempa utama pada 15 Ogos berpusat di luar pantai Pulau Flores dan mengakibatkan kerosakan besar di beberapa kawasan.
Sehingga 26 Ogos, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) merekodkan sekurang-kurangnya 7,492 gempa susulan dengan kekuatan antara 1.1 hingga 6.2 magnitud.
Gempa susulan yang berterusan di tujuh kabupaten di Pulau Flores menyukarkan penduduk kembali ke rumah dan melambatkan usaha pemulihan.
“Kami memahami bahawa semua orang mahukan pemulihan yang cepat dan keadaan kembali seperti biasa, tetapi jika begitulah keadaan alam, kita tidak boleh memaksanya,” kata Encik Prabowo.
BMKG memberi amaran gempa susulan boleh berterusan dengan kerap dalam tempoh empat minggu pertama selepas gempa utama, sebelum kekuatan dan kekerapannya dijangka beransur-ansur berkurangan.
Encik Prabowo berkata berdasarkan penilaian pakar, penduduk mungkin perlu menunggu sehingga kira-kira tiga minggu lagi sebelum keadaan dianggap cukup selamat untuk proses pemulihan dilaksanakan dengan lebih meluas.
Beliau turut mempertahankan keputusannya tidak mengunjungi kawasan bencana lebih awal selepas timbul persoalan mengenai ketiadaannya sepanjang tempoh awal selepas gempa.
Menurutnya, beliau sengaja menangguhkan lawatan supaya kehadiran pegawai pemerintah pusat tidak mengganggu tumpuan pegawai tempatan yang sedang menjalankan operasi kecemasan.
“Kadangkala apabila terlalu ramai pegawai dari pemerintah pusat datang melawat, tumpuan boleh terbahagi. Pegawai tempatan akhirnya perlu menjemput mereka dan melaksanakan pelbagai tugas sambutan,” katanya.
Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, antara pegawai kanan yang lebih awal mengunjungi kawasan terjejas apabila beliau meninjau bangunan rosak di Kabupaten Sikka pada 20 Ogos.
Encik Prabowo pada asalnya dijadual melawat NTT pada 22 Ogos, tetapi lawatan itu ditangguhkan bagi membolehkannya meninjau kebakaran hutan dan tanah yang semakin serius di Kalimantan dan Sumatera.
Kebakaran yang berlaku ketika musim kemarau berpanjangan itu turut menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejas negara jiran termasuk Brunei, Malaysia dan Singapura.
Encik Prabowo bagaimanapun menegaskan pemerintah pusat terus menyelaras operasi bantuan dan menghantar keperluan kepada mangsa gempa meskipun beliau belum mengunjungi kawasan itu ketika itu.
“Percayalah, pemerintah tidak akan membiarkan anda bersendirian. Kami berada di sini dan kami akan terus membantu anda,” katanya kepada mangsa gempa di Nagekeo.
Beliau turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Saya menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh penduduk Flores dan kawasan yang terjejas akibat bencana ini, terutama mereka yang kehilangan anggota keluarga,” katanya.
Pemerintah turut merancang mempercepat pembinaan kediaman sementara dan membaiki rumah serta prasarana yang rosak sebaik sahaja keadaan dianggap selamat.
Sekolah juga akan dibuka semula secepat mungkin, dengan kelas sementara dijalankan di dalam khemah sehingga bangunan sekolah yang rosak diperiksa dan disahkan selamat.
Bupati Nagekeo, Encik Simplisius Donatus, memberitahu Presiden bahawa daerahnya berdepan kesukaran menangani kesan gempa selepas pemerintah pusat mengurangkan dana pemindahan ke wilayah itu sebanyak 148 bilion rupiah ($11.3 juta).
Menurutnya, pemotongan tersebut mengehadkan kemampuan pemerintah daerah untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat di kawasan terpencil.
“Dengan mengambil kira keadaan sekarang, kami dengan hormat meminta Presiden mengembalikan dana tersebut kerana ia amat diperlukan masyarakat kami di kawasan terpencil di Kabupaten Nagekeo,” katanya.
Sebagai langkah segera, Encik Prabowo mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak 40 bilion rupiah kepada pemerintah wilayah NTT.
Setiap lapan kabupaten di Pulau Flores pula akan menerima tambahan 20 bilion rupiah bagi membiayai operasi kecemasan dan membantu penduduk yang terjejas.
Pemerintah kini memberi keutamaan kepada penyediaan tempat perlindungan, pemulihan sekolah dan prasarana asas serta bantuan kepada ratusan ribu penduduk yang masih belum dapat pulang ke kediaman masing-masing akibat gempa susulan. - Agensi berita
