Topik diikuti
Pergi ke BHkuGempa susulan terus gegar Nusa Tenggara, korban cecah lebih 70
Lebih 3,000 gempa antara 1.1 dengan 6.2 magnitud direkod sejak gempa utama landa perairan Flores pada 15 Ogos
JAKARTA: Angka korban akibat siri gempa bumi di Nusa Tenggara Timur (NTT) meningkat kepada 72 orang selepas seorang penduduk Kabupaten Manggarai dilaporkan meninggal dunia akibat mengalami kejutan susulan gempa bermagnitud 5.6 pada awal pagi 20 Ogos.
Gempa terkini itu berlaku ketika NTT masih berdepan ribuan gempa, susulan gempa utama bermagnitud 7.7 melanda pada 15 Ogos, menyebabkan kemusnahan meluas di Pulau Flores dan memaksa hampir 60,000 penduduk berlindung di pusat pemindahan.
Penduduk Manggarai yang meninggal dunia itu dilaporkan dibawa ke hospital selepas mengalami kejutan teruk ketika gempa berlaku.
Gegaran kuat turut menyebabkan beberapa rumah yang sudah mengalami kerosakan sederhana akibat gempa terdahulu mengalami kerosakan lanjut.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), pusat gempa bermagnitud 5.6 itu terletak kira-kira 43 kilometer di utara Ruteng, Kabupaten Manggarai, pada kedalaman 10 kilometer.
Gegaran dirasakan di beberapa kawasan di Pulau Flores, termasuk Kabupaten Manggarai, Manggarai Barat dan Nagekeo pada tahap IV Skala Keamatan Mercalli Terubah Suai (MMI).
Gempa turut dirasakan di Kabupaten Sumba Timur pada tahap III hingga IV MMI.
Pada tahap IV MMI, gegaran biasanya dapat dirasakan ramai orang di dalam rumah, manakala tingkap, pintu dan barangan di dalam bangunan boleh bergetar.
Gempa terkini itu merupakan sebahagian daripada siri gempa susulan selepas gempa bermagnitud 7.7 melanda perairan Flores pada 15 Ogos.
BMKG merekodkan lebih 3,000 gempa susulan sejak gempa utama itu, dengan magnitud antara 1.1 dengan 6.2.
Sekurang-kurangnya 25 daripadanya mencatat magnitud melebihi 5.0, manakala puluhan gegaran dirasakan penduduk.
Menurut BMKG, jumlah gempa susulan yang tinggi merupakan sebahagian daripada proses kerak bumi menyesuaikan diri dan melepaskan tenaga selepas gempa utama yang kuat.
Agensi itu menjangkakan gegaran susulan akan terus berlaku dalam beberapa hari akan datang.
Pakar seismologi memberi amaran tempoh dua minggu pertama selepas gempa utama merupakan fasa paling kritikal bagi NTT, bukan semata-mata kerana kemungkinan gegaran kuat, tetapi kerana banyak bangunan sudah kehilangan kekuatan struktur.
Pakar seismologi Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Encik Kadek Hendrawan Palgunadi, dan pakar BMKG, Encik Andrean Simanjuntak, berkata bangunan yang sudah rosak boleh runtuh walaupun dilanda gempa susulan lebih kecil.
Keadaan itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan hampir 60,000 penduduk yang masih berlindung di kawasan terjejas.
Di Kecamatan Cibal Barat, Kabupaten Manggarai, sebahagian penduduk terpaksa membina khemah sementara sendiri kerana kemudahan perlindungan masih tidak mencukupi.
“Sekarang kami memerlukan kain terpal, makanan dan ubat-ubatan kerana khemah yang kami bina sendiri sangat rapuh,” kata penduduk Cibal Barat, Encik Yohanes Lesing.
Di Kabupaten Manggarai Timur pula, penduduk di Kecamatan Kota Komba meminta bekalan air bersih dipulihkan selepas akses kepada sumber air terjejas akibat gempa.
Mangsa di pusat pemindahan turut melaporkan kekurangan makanan, khemah dan keperluan asas, selain memerlukan sokongan psikologi serta kaunseling trauma untuk membantu mereka menghadapi kesan gempa dan gegaran susulan berterusan.
Pemerintah Indonesia meningkatkan bantuan kepada kawasan terjejas dengan menyalurkan 44 bilion rupiah ($3.4 juta) bagi menyokong operasi pengurusan bencana di NTT.
Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pemerintah pusat bersedia menyediakan bantuan kewangan tambahan berdasarkan penilaian keadaan di lapangan.
“Saya sudah meminta pemerintah kabupaten menggunakan dana awal ini terlebih dahulu,” katanya.
Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya pula berkata pemerintah, atas arahan Presiden Prabowo Subianto, sudah menghantar sejumlah 253 tan bekalan bantuan ke kawasan terjejas sejak gempa berlaku.
Lima pesawat dikerahkan dari Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta pada 19 Ogos dengan membawa 65 tan makanan, air minuman, khemah dan bekalan perubatan.
Dua pusat kecemasan baru turut ditubuhkan di Labuan Bajo dan Maumere bagi mempercepat penyelarasan operasi bantuan.
Menurut Encik Teddy, Menteri Kerja Raya memaklumkan semua laluan darat ke kawasan terjejas sudah dipulihkan sejak hari kedua selepas gempa.
NTT sangat terdedah kepada gempa kerana kedudukannya berhampiran beberapa zon tektonik aktif, termasuk zon subduksi di selatan apabila plat Indo-Australia bertembung dan bergerak ke bawah plat Eurasia.
Wilayah itu turut mempunyai sesar aktif Flores Thrust, kawasan yang dikaitkan dengan pusat gempa utama 15 Ogos.
Istana Presiden pula sedang merancang lawatan Encik Prabowo ke NTT.
Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata lawatan itu masih dalam perancangan sambil menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan masalah mendesak di kawasan bencana ditangani terlebih dahulu.
Gempa utama 15 Ogos yang berpusat di perairan Flores turut mencetuskan amaran tsunami sementara dan menyebabkan kerosakan di sekurang-kurangnya sembilan kabupaten di NTT.
Dengan ribuan gempa susulan terus berlaku, pihak berkuasa kini berdepan cabaran memastikan bantuan sampai kepada puluhan ribu mangsa sambil mengelakkan kerosakan dan korban tambahan akibat bangunan yang sudah rapuh. – Agensi berita.
