Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia perangi kebakaran hutan ketika kemarau ‘Godzilla El Nino’ semakin buruk
Ketika musim kemarau mencapai kemuncaknya, diburukkan lagi oleh fenomena yang digelar “Godzilla El Nino” dan perubahan iklim akibat kegiatan manusia, Indonesia kini berdepan kebakaran hutan dan tanah yang meluas di banyak kawasan, selain kemerosotan mutu udara di beberapa tempat.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) menganggarkan kemarau tahun 2026 ini berpotensi menjadi semakin buruk apabila mencapai tahap paling kuat antara September dengan Disember, serentak dengan peralihan secara beransur-ansur kepada musim hujan pada Oktober dan November.
Ketua BMKG, Encik Teuku Faisal Fathani, berkata pemantauan agensi itu sehingga akhir Julai mengesan lebih 5,000 titik panas di seluruh Indonesia, dengan kebanyakannya tertumpu di wilayah Papua Selatan, Kalimantan Barat dan Riau.
Kalimantan Barat dan Riau kini disenaraikan pemerintah sebagai antara enam wilayah yang diberi keutamaan dalam usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara.
Kedua-dua wilayah itu mempunyai kawasan tanah gambut yang luas dan mudah terbakar ketika musim kemarau, yang diramalkan BMKG akan berlanjutan sehingga suku pertama 2027.
“Daripada semua wilayah yang kami pantau, terdapat enam wilayah yang kami anggap paling kritikal,” kata Menteri Penyelaras Bidang Politik dan Keamanan, Encik Djamari Chaniago, kepada media pada 10 Ogos.
Di Palangka Raya, ibu kota wilayah Kalimantan Tengah, keadaan cuaca semakin buruk sejak tiga bulan lalu, menurut aktivis alam sekitar tempatan daripada masyarakat Orang Asli Dayak Ngaju, Encik Wancino, yang hanya menggunakan satu nama.
Agensi Pengurusan Bencana Palangka Raya berkata sejak 1 Jun, apabila pentadbiran bandar itu mengisytiharkan status darurat, sehingga 10 Ogos, kebakaran hutan dan tanah telah memusnahkan kawasan seluas 174.24 hektar.
Kebakaran kini turut merebak semakin hampir ke kawasan kediaman.
Namun, kebakaran itu dijangka sukar dipadamkan dalam masa terdekat kerana kemarau menyebabkan sumber air sukar diperoleh berhampiran kawasan yang terbakar, sekali gus meningkatkan risiko api terus merebak.
Berikutan keadaan itu, pihak berkuasa memutuskan untuk melanjutkan status darurat kebakaran selama sebulan lagi.
“Pentadbiran Kota Palangka Raya memutuskan untuk melanjutkan status tindak balas darurat kebakaran hutan dan tanah sehingga 8 September 2026,” kata Ketua Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Palangka Raya, Encik Hendrikus Satriya Budi, pada 12 Ogos.
Encik Wancino berkata usaha memadamkan kebakaran menjadi semakin sukar apabila api merebak ke kawasan tanah gambut.
Di kawasan berkenaan, api boleh terus membara di bawah permukaan tanah, manakala hanya asap tebal kelihatan pada waktu siang.
“Tanah gambut memang sejak dahulu mudah terbakar ketika musim kemarau dan masyarakat Orang Asli kami biasanya mampu mengawal kebakaran menggunakan pengetahuan tradisional.
“Tetapi sekarang tanah gambut lebih mudah terbakar dan lebih sukar dipadamkan kerana ia telah dibersihkan dan ditukar menjadi ladang kelapa sawit serta projek jelapang makanan,” katanya kepada Berita Harian.
Projek jelapang makanan merupakan inisiatif pemerintah untuk membangunkan kawasan tanah yang luas di sekitar Palangka Raya bagi pengeluaran makanan, terutama padi.
Projek itu dimulakan Presiden ketika itu, Encik Joko Widodo, pada 2020 sebagai sebahagian usaha pemerintahannya memperkukuh keselamatan makanan Indonesia dan kemudian disenaraikan sebagai antara projek strategik nasional.
Kumpulan advokasi alam sekitar, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi), berkata hasil penemuannya menunjukkan kira-kira 74 peratus titik panas, atau 25,524 titik panas yang dikesan di Kalimantan, terletak dalam kawasan konsesi.
Masyarakat Orang Asli sejak sekian lama mempertikaikan kawasan konsesi tersebut kerana mendakwa ia menceroboh hutan masyarakat dan tanah tradisional mereka.
Mereka juga menegaskan bahawa tanah gambut tidak sesuai digunakan untuk penanaman tanaman makanan.
Walhi cawangan Kalimantan Tengah berkata projek jelapang makanan yang memusnahkan tanah gambut menyebabkan rancangan pemerintah menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk usaha memulihkan tanah gambut selepas ia terjejas akibat konsesi tanah, menjadi tidak berkesan.
“Tanah gambut di Kalimantan Tengah yang telah dimusnahkan kini semakin mudah terbakar dengan berlakunya Godzilla El Nino,” kata Pengarah Eksekutif Walhi Kalimantan Tengah, Encik Janang Firman Palanungkai, dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, membicarakan mengenai kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah kini seolah-olah “memainkan rakaman yang sama berulang kali” kerana kebakaran terus berlaku sejak 2015.
Walaupun wilayah itu telah menyediakan rancangan untuk menangani kebakaran, beliau berkata langkah tersebut kini tidak lagi berkesan kerana projek strategik nasional telah memusnahkan kawasan tanah gambut.
“Kami meramalkan kebakaran hutan dan tanah tahun ini akan meningkat 20 peratus berbanding sebelum ini dan penduduk Kalimantan Tengah masih belum dapat bebas daripada jerebu akibat pengurusan tanah gambut yang bermasalah,” katanya.
Encik Wancino pula berkata kejadian kebakaran yang berulang setiap tahun menunjukkan masalah itu masih belum dapat ditangani secara berkesan.
“Kebakaran hutan dan tanah terus berlaku setiap tahun dan menjadi semakin buruk setiap kali ia berlaku.
“Walaupun kami mempunyai cara tradisional sendiri untuk memadamkan kebakaran, masyarakat Orang Asli tidak lagi melakukannya kerana hutan dan tanah itu bukan lagi milik kami,” katanya.
