Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo tolak kritikan Jokowi tubuh ‘dinasti politik’

Oct 24, 2023 | 1:22 PM
APA SALAHNYA?: Encik Prabowo Subianto (kanan) secara retorik bertanya, “Jika dinasti Jokowi (kiri) bertujuan untuk menyumbang kepada rakyat, apa salahnya?”
APA SALAHNYA?: Encik Prabowo Subianto (kanan) secara retorik bertanya, “Jika dinasti Jokowi (kiri) bertujuan untuk menyumbang kepada rakyat, apa salahnya?” - Foto FACEBOOK PRABOWO SUBIANTO

JAKARTA: Bakal calon presiden dalam pilihan raya 2024 Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menjawab pengkritik yang menuduh Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo menubuhkan dinasti politik selepas anaknya dipilih sebagai pasangan Encik Prabowo sebagai bakal calon naib presiden.

Berucap kepada sekumpulan wartawan di Jakarta pada Isnin, Encik Prabowo mengemukakan soalan retorik: “Jika dinasti Jokowi bertujuan untuk menyumbang kepada rakyat, apa salahnya?”

Beliau menyebut warisan keluarganya sendiri dalam politik, menelusuri kembali kepada datuknya, Encik Margono Djojohadikoesoemo, yang berkhidmat dalam pemerintahan bapa pengasas Indonesia, Allahyarham Sukarno.

Beliau juga menyebut bapanya, Encik Soemitro, yang memegang pelbagai jawatan menteri ekonomi di bawah pemerintahan Allahyarham Sukarno dan Suharto.

Dua orang bapa saudaranya pula mengorbankan nyawa mereka dalam memerangi pendudukan Jepun di Banten pada 1946.

“Saya tergolong dalam sebuah dinasti – saya anak kepada Soemitro dan cucu kepada Margono Djojohadikoesoemo.

“Dua bapa saudara saya memberikan nyawa mereka untuk mempertahankan negara. Kami adalah dinasti patriotik,” kata Encik Prabowo.

Ulasan itu disuarakan sehari selepas Encik Prabowo melantik anak Presiden Indonesia, Encik Jokowi iaitu Encik Gibran Rakabuming Raka, sebagai pasangan naib presidennya dalam pilihan raya pada Februari 2024.

Hanya seminggu sebelum itu, Encik Gibran tidak layak bertanding dalam pilihan raya presiden kerana had umur minimum yang ditetapkan di bawah perlembagaan.

Bagaimanapun, Encik Gibran, yang berusia 36 tahun, layak menjadi calon selepas Mahkamah Perlembagaan (MK) meminda artikel undang-undang pilihan raya umum 2017, yang sebelum ini mewajibkan calon presiden dan naib presiden berumur sekurang-kurangnya 40 tahun.

Versi yang dipinda menetapkan bahawa calon “mesti berumur sekurang-kurangnya 40 tahun atau telah berkhidmat atau sedang berkhidmat dalam jawatan awam melalui pilihan raya umum, termasuk pemilihan pemimpin pemerintah wilayah”.

Encik Gibran adalah Mayor Solo di Jawa Tengah yang dipilih dua tahun lalu.

Dalam pada itu, anak bongsu Encik Jokowi, Encik Kaesang Pangarep, baru-baru ini memulakan kerjaya politik dengan menyertai Parti Solidariti Indonesia (PSI), yang segera melantiknya sebagai pengerusi.

Selain itu, anak perempuan Encik Jokowi, Cik Kahiyang Ayu, berkahwin dengan Encik Bobby Nasution, iaitu Mayor Medan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg