JAKARTA: Sedang calon Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bersiap sedia menyandang jawatan pada Oktober, beliau kelihatan bersedia mengambil pendirian lebih tegas dalam dasar luar, dengan mengatakan diplomasi, rundingan dan ‘Cara Asia’ telah membantu mereda ketegangan.
Encik Prabowo, 72 tahun, memenangi pilihan raya umum Februari 2024 dengan kelebihan undi yang besar, bersama-sama pasangannya, Naib Presiden terpilih, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang akan berundur.
Dalam temu bual dengan saluran berita Qatar, Al Jazeera, yang disiarkan pada 12 Mei, Encik Prabowo berkata Asia Tenggara pernah mengalami peperangan, penjajahan asing dan campur tangan dalam politik dalaman.
“Tetapi, kami menyelesaikannya tanpa campur tangan asing, kami bertemu dan berunding,” ujarnya.
Ulasan itu disuarakan sebagai menjawab soalan tentang maksud istilah ‘Cara Asia’ untuknya.
Ditanya mengenai persaingan antara China dengan Amerika untuk mendapatkan pengaruh di rantau ini, mantan komander pasukan khas itu berkata Indonesia sangat terbuka kepada kedua-dua negara.
“Kami menghormati anda dan berterima kasih atas bantuan anda yang lalu,” katanya.
“Kami mengundang Amerika, Jepun, Korea, Eropah. Hakikat bahawa kami berkawan dengan anda tidak bermakna kami tidak boleh berkawan dengan China, India, Russia,” tambahnya, sambil menggunakan tradisi dan sejarah berkecuali Indonesia.
Semasa forum serantau pada November, Encik Prabowo berkata Indonesia komited kepada dasar berkecualinya dan akan mengekalkan hubungan baik dengan China dan Amerika.
Pada April, beliau melawat China, Jepun dan Malaysia, lawatan pertamanya sejak memenangi Pilihan Raya Presiden. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg