JAKARTA: Ramalan peluang menang bagi calon Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, 72 tahun, dilihat masih jauh kerana belum mencapai sokongan undi minimum yang diperlukan ketika tinggal seminggu lagi pilihan raya diadakan.
“Bagi memenangi jawatan presiden Indonesia, calon memerlukan lebih 50 peratus undian keseluruhan di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu,” kata penganalisis kepada agensi berita Reuters.
Ia adalah berdasarkan kepada peraturan pilihan raya Indonesia di mana Encik Prabowo setakat ini hanya memperoleh sokongan kira-kira 45.8 peratus menerusi keputusan tinjauan pendapat terbaru, Indikator Politik.
Ketika ini, pesaingnya Encik Ganjar Pranowo, dari parti pemerintah memperoleh 23 peratus manakala mantan Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, memperoleh 25.5 peratus,dengan 5.8 peratus yang ditinjau itu belum lagi membuat keputusan.
Sekiranya gagal, Encik Prabowo perlu bertanding dalam pusingan kedua pada 26 Jun, bersaing dengan pemenang tempat kedua, sekali gus menjadikannya persaingan lebih sukar dimenangi.
“Senario yang tidak pernah lagi berlaku sejak 2004 itu mungkin akan menyaksikan peralihan kesetiaan daripada setengah pihak, tetapi ia bergantung kepada siapa yang menduduki tempat kedua,” lapor Indikator Politik.
“Penyokong Ganjar mungkin akan beralih kepada Anies menjelang pilihan raya, tetapi tidak jelas sama ada pihak yang menyokong Anies akan berada di belakang Ganjar jika dia naib juara,” tambah Indikator Politik.
Terdahulu, kritikan memuncak berhubung campur tangan politik dan berat sebelah Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo yang berkempen secara senyap untuk Encik Probowo.
Malah, Oktober lalu rakyat Indonesia dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi, yang diketuai oleh abang ipar Presiden Jokowi yang membuat perubahan peraturan kelayakan yang membenarkan Encik Gibran Rakabuming Raka (anak Presiden Jokowi) menjadi pasangan calon Encik Prabowo.
“Pengkritik bimbang tindakan itu mengakibatkan penghakisan nilai demokrasi di Indonesia yang sekitar 25 tahun lalu berjaya membebaskan diri daripada pemerintahan kuku besi di tengah-tengah pergolakan sosial dan ekonomi yang besar.
“Namun, Jokowi kekal popular dalam kalangan orang ramai dan sebahagian besarnya, atas faktor itu, kededua Prabowo dan Gibran mendahului dengan konsisten dalam tinjauan setakat ini,” lapor kaji selidik tersebut.
Pilihan Raya Presiden Indonesia pada 14 Februari cenderung menjadi pertandingan personaliti dan bukannya dasar, dengan ketiga-tiga calon membuat ikrar yang sama mengenai pertumbuhan dan kebajikan yang inklusif.
Secara kasar, separuh daripada lebih 270 juta penduduk Indonesia yang tinggal di Pulau Jawa dan wilayah berdekatan akan menjadi penentu utama siapa pemenang pemilihan presiden kali ini.
“Seperti pilihan raya di tempat lain, penganalisis menjangkakan tinjauan pendapat Indonesia akan diputuskan sebahagian besarnya di media sosial – medan yang dikuasai Encik Prabowo.
“Indonesia mempunyai pengguna terbesar dunia aplikasi video pendek TikTok dan Prabowo menggunakannya bukan untuk berkempen, tetapi turut popular kerana aksi tariannya yang janggal sehingga menjadi tular di media sosial.
“Pada masa yang sama, separuh daripada pengundi Indonesia yang layak adalah di bawah 40 tahun dan tidak lagi terpengaruh dengan naratif masa lalu Prabowo yang kontroversi,” lapor Reuters lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg