Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masa depan Syria bergantung pada pengurangan sekatan ekonomi

Jan 13, 2025 | 5:30 AM
Penumpang turun dari pesawat Syrian Air yang tiba dari Damsyik, di lapangan terbang bandar utara Aleppo pada 18 Disember. Ini merupakan penerbangan pertama sejak kejatuhan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad. Wartawan agensi berita, AFP, melaporkan bahawa penerbangan itu berlepas dari lapangan terbang Damsyik ke Aleppo dengan 32 penumpang, termasuk wartawan.
Penumpang turun dari pesawat Syrian Air yang tiba dari Damsyik, di lapangan terbang bandar utara Aleppo pada 18 Disember. Ini merupakan penerbangan pertama sejak kejatuhan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad. Wartawan agensi berita, AFP, melaporkan bahawa penerbangan itu berlepas dari lapangan terbang Damsyik ke Aleppo dengan 32 penumpang, termasuk wartawan. - Foto AFP

DAMSYIK: Setelah hampir 14 tahun perang saudara yang menghancurkan, Syria kini menghadapi cabaran besar untuk membangunkan semula ekonominya.

Susulan kejatuhan rejim mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, yang mengejutkan, ia membuka peluang ke arah pembaharuan.

Namun, kerosakan yang ditinggalkan rejim tersebut akan mengambil masa yang panjang untuk diperbaiki.

Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya menjadi penghalang utama kepada pembangunan semula negara itu.

Hampir semua sektor ekonomi Syria terjejas teruk akibat perang. Kebanyakan prasarana seperti telaga minyak, ladang, jalan raya dan grid elektrik musnah.

Sumber ekonomi utama sebelum perang termasuk minyak dan pertanian hampir lumpuh. Nilai mata wang pound Syria pula telah menjunam dan bank pusat hampir kehabisan rizab mata wang asing.

Sebanyak 90 peratus penduduk Syria kini hidup dalam kemiskinan.

Sebelum perang, minyak menyumbang dua pertiga daripada eksport negara itu manakala pertanian merangkumi satu perempat daripada kegiatan ekonomi.

Kini, eksport paling menguntungkan Syria ialah captagon – dadah haram yang dikawal oleh kumpulan elit politik yang berpengaruh.

“Sistem ekonomi Syria tidak berfungsi sama sekali,” kata pakar ekonomi Syria yang juga presiden kumpulan pemikir bidang kewangan dan ekonomi negara Arab, Circle of Arab Economists, Profesor Dr Samir Aita.

Bagi pemimpin gabungan pemberontak yang kini menguasai Syria, Encik Ahmed al-Shara, beliau menghadapi tugas yang amat berat.

Beliau perlu menyatukan pelbagai puak pemberontak, membentuk semula pemerintah, menguatkuasakan undang-undang dan menyediakan perkhidmatan asas seperti pengagihan air dan sumber-sumber terhad lain.

Namun, satu langkah penting untuk memulihkan ekonomi Syria hanya boleh dilakukan oleh Amerika Syarikat iaitu dengan mengurangkan atau menghapuskan sekatan ekonomi.

Sekatan yang dikenakan pada 2019 untuk menghukum rejim Encik Assad, kini menyekat Syria daripada mendapat akses kepada perdagangan antarabangsa dan pelaburan yang amat diperlukan bagi pembangunan semula negara itu.

“Menghapuskan sekatan, walaupun secara sementara, adalah keutamaan,” tegas Dr Aita.

Sekatan itu bukan sahaja menghalang bantuan kewangan daripada badan antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, malah turut menyukarkan penghantaran wang oleh keluarga dan organisasi bantuan dari luar negara.

Sebahagian besar telaga minyak Syria terletak di wilayah timur laut, yang kini di bawah kawalan militia Kurdi yang disokong oleh Amerika.

Sebelum perang, sektor minyak menyumbang hampir separuh daripada pendapatan negara, dengan pengeluaran harian sebanyak 383,000 tong.

Namun kini, pengeluaran jatuh kepada kurang daripada 90,000 tong sehari, kata Bank Dunia.

“Telaga-telaga minyak ini sepatutnya berada di bawah kawalan pemerintah Syria,” ujar pengarah bersama Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Oklahoma, Profesor Madya Dr Joshua Landis.

Untuk menghidupkan semula sektor minyak dan gas, Syria perlu menarik syarikat asing yang mempunyai sumber dan kepakaran.

Bagaimanapun, ia hanya boleh dilakukan jika isu keselamatan dapat dihuraikan.

Mengurangkan sekatan ekonomi adalah langkah penting untuk memastikan pemulihan Syria.

Sekatan itu menghalang pelaburan dan bantuan asing yang diperlukan untuk membangun semula prasarana asas.

Lebih penting lagi, sekatan itu memutuskan hubungan ekonomi Syria dengan masyarakat antarabangsa, menyukarkan rakyat yang berada di luar negara untuk menyokong keluarga mereka di tanah air.

Namun untuk memenuhi permintaan, Washington mungkin meminta Syria agar menghapuskan status pemberontak, Encik Ahmed al-Shara sebagai pengganas, kerana beliau sebelum ini mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.

Tanpa langkah itu, Encik al-Shara tidak dapat berfungsi secara berkesan sebagai pemimpin negara.

Selain sektor minyak, pembinaan semula ekonomi Syria memerlukan 8 juta pelarian yang telah melarikan diri dari negara itu agar kembali.

Tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpendidikan amat penting untuk kebangkitan semula Syria.

Namun, ramai pelarian tidak akan kembali selagi tiada jaminan keselamatan dan kestabilan.

“Rakyat Syria yang mempunyai wang adalah kunci bagi pemulihan ekonomi, tetapi mereka tidak akan kembali jika tiada kemudahan asas seperti elektrik dan undang-undang,” tambah Dr Landis.

Negara-negara jiran seperti Turkey turut memainkan peranan penting.

Turkey, yang menjadi tuan rumah kepada lebih 3 juta pelarian Syria, mempunyai kepentingan besar dalam pembangunan semula negara itu.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, mungkin akan memperluaskan pengaruhnya di Syria dengan menyokong projek pembinaan semula.

Syria bukan sahaja perlu mendapatkan legitimasi dalam kalangan rakyatnya, malah juga dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Untuk membangunkan semula negara itu, Syria perlu menunjukkan kestabilan politik, menghormati undang-undang dan mengukuhkan sistem pentadbiran yang bersifat terangkum.

Namun, cabaran geopolitik termasuk ketegangan antara kuasa besar seperti Amerika dengan Russia terus menjadi halangan.

Israel juga dilihat tidak menyokong kembalinya Syria ke pentas antarabangsa tanpa syarat yang ketat.

Sementara itu, sekatan dan konflik berterusan menyukarkan usaha Syria untuk mendapatkan sokongan antarabangsa.

Ekonomi Syria berada dalam keadaan lumpuh, dan jalan ke arah pemulihan adalah panjang dan penuh cabaran.

Namun, langkah pertama yang perlu diambil adalah mengurangkan sekatan ekonomi bagi memberi peluang kepada Syria kembali berdiri di pentas antarabangsa.

Untuk memastikan masa depan yang lebih cerah, Syria perlu memulihkan sektor minyak dan gas, menghidupkan semula prasarana asas dan menggalakkan rakyatnya yang berbakat agar kembali.

Lebih penting lagi, sokongan daripada negara jiran dan masyarakat antarabangsa amat diperlukan bagi memastikan proses pemulihan dapat berjalan lancar.

Namun, Syria perlu menunjukkan komitmen terhadap kestabilan politik dan menghormati hak asasi rakyatnya.

“Pemulihan ekonomi Syria adalah ujian kepada keupayaan masyarakat antarabangsa untuk menangani akibat konflik yang berlarutan,” kata seorang pakar.

Jika peluang ini dilepaskan, rakyat Syria akan terus menderita akibat konflik yang tiada kesudahan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg