Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden China kritik dasar perlindungan sedang Trump bayangi sidang Apec

Nov 16, 2024 | 3:15 PM
Presiden China, Encik Xi Jinping (tengah), berkata dasar berat sebelah dan dasar perlindungan perlu ditolak, sebaliknya negara-negara perlu memihak kepada globalisasi ekonomi, ketika sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Peru, pada 15 November.
Presiden China, Encik Xi Jinping (tengah), berkata dasar berat sebelah dan dasar perlindungan perlu ditolak, sebaliknya negara-negara perlu memihak kepada globalisasi ekonomi, ketika sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Peru, pada 15 November. - Foto AFP

LIMA: Sedang bakal kembalinya Encik Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat membayangi sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Lima, Presiden China, Encik Xi Jinping, berkata dasar sepihak dan perlindungan perlu ditolak.

Sebaliknya, negara-negara perlu memihak pada penyejagatan ekonomi, kata beliau pada 15 November di sidang di ibu kota Peru itu.

Kritikan Encik Xi terhadap dasar perlindungan di Apec membayangkan bagaimana China akan berusaha meletakkan dirinya sebaik sahaja Encik Trump mengambil alih jawatan pada Januari.

Encik Trump telah berjanji akan mengenakan tarif ke atas import China melebihi 60 peratus, tetapi Beijing dan syarikat China berharap dasar perlindungannya akan juga menjengkelkan sekutu Amerika di Eropah dan Asia, lantas memberi China peluang meningkatkan pengaruh globalnya dan meningkatkan hubungan perdagangan.

Dalam ucapan yang dibacakan kepada eksekutif perniagaan oleh Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao, di Sidang Puncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apec, Encik Xi berkata globalisasi ekonomi sedang menghadapi “arus bertentangan”, tanpa menyatakan sembarang negara atau pemimpin tertentu.

“Dunia telah memasuki tempoh baru kekacauan dan perubahan, dasar sepihak dan perlindungan semakin merebak, perpecahan ekonomi dunia semakin teruk,” kata Encik Xi.

“Menghalang kerjasama ekonomi atas pelbagai alasan, berkeras untuk mengasingkan dunia yang saling bergantung, adalah membalikkan perjalanan sejarah,” tambahnya.

Encik Xi menyenaraikan beberapa langkah yang diambil baru-baru ini oleh pemerintah China untuk menarik pelaburan asing, termasuk meningkatkan bilangan perusahaan China yang boleh menerima pelaburan asing, serta langkah sepihak mengecualikan visa bagi warga asing yang melawat China.

“China akan melaksana lebih banyak dasar membuka secara bebas dan sepihak, meluaskan rangkaian zon perdagangan bebas standard tinggi bagi dunia dan membuka pintu lebih jauh di dalam China,” kata pemimpin China itu, yang dijangka bertemu Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada 16 November di Peru.

Tetapi beberapa penganalisis berkata pendirian China sebagai alternatif atau pengimbang kepada Amerika yang diterajui Encik Trump yang proteksionis telah hilang sinarnya berbanding 2016, ketika Encik Trump mula-mula dipilih.

Dr Chong Ja Ian, seorang saintis politik di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata tidak seperti 2016, kini terdapat kebimbangan meluas dalam masyarakat antarabangsa tentang bagaimana subsidi China kepada sektor perusahaan dan lebihan kapasiti yang terhasil akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara lain.

“China juga mengamalkan dasar perlindungan seperti Amerika, ekonominya jauh kurang terbuka hari ini berbanding dahulu,” kata Dr Chong.

Encik Xi ditemani ratusan eksekutif perniagaan China dalam lawatannya ke Peru, ketika Beijing berusaha meluaskan hubungan perdagangan dengan Amerika Latin, yang kaya dengan sumber.

Beberapa pemimpin perniagaan di sidang CEO itu, yang diadakan seiring acara utama sidang puncak Apec, berkata kehadiran Asia pada sidang 2024 itu mengatasi Amerika, Canada dan Australia, dengan ketiadaan anggota Mexico amat ketara. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg