Perdana Menteri Lawrence Wong akan berada di Lima, Peru, dari 14 hingga 16 November bagi mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
Beliau kemudian akan ke Rio de Janeiro, Brazil, untuk Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) dari 17 hingga 20 November, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 13 November.
Encik Wong juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin negara lain di luar kedua-dua sidang puncak itu.
Lawatan berturut-turut Encik Wong itu menandakan kali pertama beliau akan menghadiri mesyuarat antarabangsa utama tersebut sebagai perdana menteri, lapor The Straits Times.
Ia juga akan menjadi lawatan pertamanya ke Amerika Latin dalam kedudukan tersebut.
Pemimpin lain, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden; dan Presiden China, Encik Xi Jinping, juga dijangka menghadiri kedua-dua sidang puncak itu.
Singapura adalah antara 21 anggota Apec, yang merangkumi kuasa besar dunia seperti Amerika, China dan Russia.
Agenda pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec akan meliputi topik seperti penggalakan perdagangan dan pelaburan untuk pertumbuhan inklusif, dan peralihan ke arah ekonomi rasmi dan global.
Encik Wong dijadual menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin, serta dialog dengan Majlis Penasihat Perniagaan Apec dan rahat pemimpin.
Pada Sidang Puncak G20 itu, beliau akan membincangkan kepentingan kerjasama pelbagai hala dalam memupuk pertumbuhan dan pembaharuan institusi tadbir urus sejagat untuk kesan pembangunan yang lebih besar.
Beliau akan turut membincangkan peralihan tenaga bagi memenuhi cita-cita kolektif pelepasan karbon sifar bersih selain penciptaan pekerjaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.
Singapura bukan ahli G20, yang terdiri daripada 19 ekonomi utama dan sedang pesat membangun, bersama dengan Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.
Namun, Singapura sentiasa dijemput untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat kumpulan itu.
Encik Wong akan diiringi oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan pegawai kanan daripada PMO dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Pegawai kanan daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) juga merupakan antara delegasi Apec Singapura, manakala pegawai kanan daripada Kementerian Kewangan (MOF) akan menjadi sebahagian daripada delegasi G20.
Encik Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, akan menjadi pemangku perdana menteri semasa ketiadaan Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg