CARACAS/NEW YORK: Cik Delcy Rodriguez secara rasmi mengangkat sumpah sebagai presiden interim Venezuela dalam satu sidang Parlimen yang tegang, yang dibuka dengan tuntutan agar Amerika Syarikat membebaskan mantan presiden, Encik Nicolas Maduro, daripada tahanan.
Cik Rodriguez, 56 tahun, yang berkhidmat sebagai naib presiden sejak 2018, menyifatkan penahanan Encik Maduro dan isterinya, Cik Cilia Flores, sebagai satu “penculikan” susulan serbuan tentera Amerika pada awal pagi Sabtu lalu.
“Saya mengangkat sumpah ini dengan penuh kepiluan kerana negara kita sedang melalui penderitaan akibat pencerobohan ketenteraan yang tidak sah,” kata Cik Rodriguez dalam ucapannya di hadapan Dewan Negara Venezuela.
Pelantikan Cik Rodriguez diadakan hanya beberapa jam selepas Encik Maduro tampil di Mahkamah Persekutuan New York, di mana beliau dengan lantang menegaskan bahawa dirinya masih presiden sah Venezuela walaupun berdepan pelbagai pertuduhan berat berkaitan dadah dan keganasan.
Dalam suasana dramatik di bilik mahkamah, Encik Maduro, 63 tahun, muncul dengan kakinya dirantai, berpakaian seragam penjara dan beralas selipar berwarna oren.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan persekutuan, termasuk konspirasi narko-terorisme, penyeludupan kokain dan pemilikan senjata berat.
“Saya tidak bersalah. Saya bukan penjenayah. Saya seorang yang bermaruah. Saya masih presiden negara saya,” kata Encik Maduro melalui jurubahasa, sebelum ditegur oleh Hakim Alvin Hellerstein agar menunggu “masa dan tempat yang sesuai” untuk membangkitkan isu tersebut.
Encik Maduro berdepan hukuman penjara seumur hidup bagi setiap pertuduhan.
Peguamnya, Encik Barry Pollack, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mencabar kesahihan “penculikan ketenteraan” yang dilakukan oleh Amerika terhadap anak guamnya.
Cik Cilia Flores turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang sama, kecuali tuduhan narko-terorisme. Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 17 Mac.
Penahanan Encik Maduro menandakan campur tangan Amerika yang paling kontroversi di Amerika Latin sejak pencerobohan di Panama pada 1989.
Di luar mahkamah, dua kumpulan penunjuk perasaan – penyokong dan penentang Encik Maduro – bertelagah sesama sendiri.
“Kami marah dengan apa yang Amerika lakukan terhadap ketua negara yang dipilih secara sah,” kata Cik Sherry Finkelman, 80 tahun, seorang pesara guru yang menyertai protes menyokong Encik Maduro.
Dalam pendakwaan terbaru yang didedahkan pada 3 Januari, pendakwa raya Amerika mendakwa Encik Maduro sebagai ketua rangkaian pegawai Venezuela yang bersekongkol dengan kartel dadah antarabangsa termasuk Kartel Sinaloa, Los Zetas, kumpulan bersenjata Colombia FARC, dan geng Tren de Aragua.
“Maduro membiarkan rasuah berasaskan dadah berleluasa demi kepentingan dirinya, keluarganya dan rejim pemerintahannya,” menurut dokumen pendakwaan yang difailkan di Mahkamah Daerah Selatan New York.
Di peringkat antarabangsa, Amerika berdepan kecaman keras dalam sesi tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Duta Venezuela ke PBB, Encik Samuel Moncada, menyifatkan tindakan Amerika sebagai “serangan bersenjata yang tidak sah dan tanpa justifikasi undang-undang”.
Sebaliknya, Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, mempertahankan operasi tersebut sebagai satu “tindakan penguatkuasaan undang-undang secara pembedahan” terhadap seorang “pelarian keadilan”.
“Kekayaan tenaga terbesar dunia tidak boleh dibiarkan di tangan seorang pemimpin yang tidak sah,” kata Waltz.
Presiden Amerika Donald Trump, beberapa jam selepas serbuan itu, berikrar bahawa Washington akan “mengurus Venezuela” sehingga berlaku “peralihan yang selamat dan wajar”. Beliau juga menyatakan syarikat minyak Amerika akan memasuki Venezuela bagi membaiki infrastruktur tenaga negara itu.
Namun, walaupun Encik Maduro ditahan, sekutu-sekutunya masih menguasai institusi utama negara, termasuk Parlimen dan jentera keselamatan.
Dalam wawancara dengan majalah The Atlantic, Encik Trump memberi amaran bahawa Cik Rodríguez mungkin “membayar harga lebih besar daripada Maduro” sekiranya enggan bekerjasama dengan Amerika Syarikat.
Rodriguez, bagaimanapun, memberi isyarat lebih berhati-hati. Dalam mesyuarat Kabinet, beliau berkata kerajaan interimnya terbuka kepada kerjasama terhad dengan Washington.
“Kami menjemput kerajaan Amerika Syarikat untuk bekerjasama dalam agenda pembangunan bersama, dalam kerangka undang-undang antarabangsa,” katanya.
Ribuan penyokong Encik Maduro berkumpul di luar Istana Perundangan Persekutuan di Caracas untuk menyatakan sokongan terhadapnya. Anak lelaki Encik Maduro turut tampil menyuarakan sokongan, sambil menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua ibu bapanya “akan kembali” ke Venezuela.
Di dalam negara, pihak pembangkang Venezuela masih berhati-hati.
Tiada tanda jelas tentera akan berpaling tadah walaupun wujud spekulasi bahawa beberapa individu dalaman mungkin terlibat membantu operasi Amerika pada 3 Januari lalu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg