Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Iran pilih Iraq bagi lawatan luar negara pertama

Lawatan peluang Teheran perkukuh pengaruh di rantau, di tengah konflik kian memuncak
Sep 11, 2024 | 4:16 PM
Perdana Menteri Iraq, Encik Mohammed Shia Al Sudani (kiri), menyambut kehadiran Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian (tengah depan), semasa upacara sambutan rasmi di Lapangan Antarabangsa Baghdad pada 11 September.
Perdana Menteri Iraq, Encik Mohammed Shia Al Sudani (kiri), menyambut kehadiran Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian (tengah depan), semasa upacara sambutan rasmi di Lapangan Antarabangsa Baghdad pada 11 September. - Foto EPA-EFE

BAGHDAD: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, tiba di Baghdad pada 11 September bagi satu lawatan rasmi yang dijangka mengukuhkan hubungan strategik antara negaranya dan Iraq, yang kini menjadi sekutu penting bagi Teheran dan Amerika Syarikat.

Lawatan itu dijangka menjadi pusat perbincangan mengenai kerjasama dalam bidang politik, keselamatan, dan isu serantau yang semakin genting dan dianggap signifikan.

Ini kerana Iran dan Iraq berkongsi sejarah panjang dan hubungan kompleks sejak beberapa dekad lalu.

Iran telah memperluas pengaruhnya di Iraq sejak kejatuhan Saddam Hussein pada 2003 selepas pencerobohan Amerika, dan kini Iraq menjadi tuan rumah beberapa parti politik dan kumpulan bersenjata yang rapat dengan Teheran.

Pengaruh itu semakin mendalam, terutama dalam bidang keselamatan dan politik, yang menyaksikan militia yang disokong Iran memainkan peranan penting dalam kestabilan Iraq.

Menurut laporan daripada media rasmi Iran, Encik Pezeshkian, menyatakan hasrat menandatangani beberapa perjanjian penting dalam pelbagai bidang semasa lawatannya ke Baghdad.

“Kami merancang untuk menandatangani beberapa perjanjian,” kata Encik Pezeshkian sebelum memulakan lawatan tersebut.

Ini juga merupakan lawatan luar negara pertama beliau sejak dilantik sebagai presiden, sekali gus menandakan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan negara jiran strategik seperti Iraq.

Dalam pertemuan yang dijadualkan bersama para pemimpin tertinggi Iraq, Encik Pezeshkian dijangka membincangkan isu kerjasama dua hala yang melibatkan politik, ekonomi, dan keselamatan.

Lawatan itu juga dilihat sebagai peluang untuk Iran memperkukuh pengaruhnya di rantau ini, di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Iraq berada dalam situasi unik sebagai sekutu strategik bagi kedua-duanya, Iran dan Amerika.

Negara itu menempatkan sekitar 2,500 anggota tentera Amerika yang terlibat dalam operasi antipengganasan, tetapi pada masa yang sama Iraq juga menjadi rumah bagi militia bersenjata yang disokong Iran, yang banyak di antaranya terlibat secara langsung dalam keselamatan negara.

Sejak tercetusnya perang antara Israel dengan Hamas di Gaza pada Oktober 2023, Iraq telah menyaksikan peningkatan serangan balas-membalas antara kumpulan militan yang disokong Iran dan tentera Amerika di rantau itu.

Militan yang bersekutu dengan Iran di Iraq telah beberapa kali melancarkan serangan ke atas tentera Amerika sejak konflik di Gaza bermula.

Situasi itu menambah ketegangan di kawasan yang sudah sedia bergolak.

Sementara itu, sumber melaporkan bahawa Amerika dan Iraq telah mencapai kata sepakat mengenai pengunduran pasukan gabungan yang diketuai oleh Amerika dari Iraq.

Langkah itu berpotensi mengurangkan ketegangan antara dua negara tersebut, walaupun serangan militia pro-Iran terhadap tentera Amerika masih berterusan.

Selain pertemuan di Baghdad, Encik Pezeshkian akan melawat wilayah Kurdistan Iraq.

Kawasan itu menjadi pusat konflik antara Iran dengan kumpulan pemisah, Kurdish, yang beroperasi dari kawasan tersebut.

Iran sebelum ini telah melancarkan beberapa serangan udara ke atas wilayah itu, mendakwa bahawa ia digunakan oleh kumpulan pemisah Iran serta ejen Israel, musuh ketat Teheran.

Menurut Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, lawatan itu juga akan memberi tumpuan pada kerjasama keselamatan antara dua negara itu.

“Kami mempunyai beberapa bidang kerjasama, termasuk politik, isu-isu serantau, serta keselamatan,” kata Enciik Araqchi.

Beliau menekankan bahawa isu keselamatan, terutama mengenai kumpulan pemisah dan militan bersenjata, akan menjadi tumpuan utama dalam perbincangan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg