Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Mesir lahir hasrat dicalon bagi penggal ketiga

Oct 3, 2023 | 12:35 PM
DAPAT SOKONGAN: Penyokong Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, menyertai perhimpunan untuk menyokong pencalonannya dalam pilihan raya presiden yang akan datang di Giza, Mesir.
DAPAT SOKONGAN: Penyokong Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, menyertai perhimpunan untuk menyokong pencalonannya dalam pilihan raya presiden yang akan datang di Giza, Mesir. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, mengumumkan pencalonannya untuk penggal ketiga menerajui negaranya menjelang pilihan raya pada Disember.

Para pemerhati politik menyatakan beliau dijangka memenangi pilihan raya tersebut kelak.

“Memandangkan saya telah menyahut seruan rakyat sebelum ini, saya menyahut seruan mereka lagi dengan mengumumkan hasrat saya untuk bertanding.

“Ini sekali gus memenuhi impian saya untuk mengisi jawatan bagi penggal baru kelak,” kata Encik Sisi di hadapan khalayak ramai yang bersorak di ibu negara baru Mesir – permata utama sebuah projek mega di padang pasir di timur Kahirah.

Stesen televisyen pemerintah menunjukkan beribu-ribu orang meraikan pengumuman itu di seluruh negara.

Terdahulu pada Isnin, perhimpunan diadakan di Kahirah menggesa Encik Sisi mengisytiharkan pencalonannya.

“Tiada sesiapa yang lebih baik untuk masa depan,” kata Encik Hassan Afifi, seorang guru yang mengiringi bas penuh dengan pelajarnya ke perhimpunan di barat Kahirah itu.

Encik Sisi, 68 tahun, menggesa rakyat Mesir supaya turun mengundi dalam pilihan raya dari 10 hingga 12 Disember “walaupun tidak mengundi saya”.

Pasukan keselamatannya telah dituduh mengganggu dan menahan calon lawan, memuji calon lain dan melaungkan kata-kata “permulaan sebenar kepada kehidupan politik yang penuh dengan pluralisme”.

Setahun selepas memecat Presiden Mohamed Morsi, Encik Sisi memenangi 96 peratus undi pada 2014.

Empat tahun kemudian, beliau mencatatkan kemenangan 97 peratus ke atas salah seorang penyokongnya sendiri, selepas lebih banyak calon terkemuka diketepikan atau ditangkap.

Kali ini, ketika rakyat Mesir semakin kecewa dengan krisis ekonomi, calon-calon presiden telah muncul daripada pihak pembangkang yang dihancurkan oleh tindakan tegar Encik Sisi selama sedekad terhadap golongan yang tidak sependapat dengannya.

Segelintir pemimpin parti berkata mereka sudah mengumpulkan 20 pencalonan yang diperlukan di peringkat parlimen.

Seorang lagi pencabar, bekas anggota parlimen, Encik Ahmed al-Tantawi, 44 tahun, telah cuba mendapatkan sokongan popular menerusi kempennya.

Tanpa sokongan parlimen, beliau perlu mengumpulkan 25,000 pencalonan daripada rakyat Mesir merentasi sekurang-kurangnya 15 gabenor menjelang 14 Oktober untuk layak bertanding. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg