Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden terpilih Persatuan Guaman Dinesh Dhillon setuju letak jawatan

Dec 18, 2025 | 1:26 PM
dinesh singh dhillon, presiden, persatuan guaman
Kemenangan Encik Dinesh Singh Dhillon, dalam pemilihan presiden baru Persatuan Guaman menimbulkan sedikit kebimbangan kerana beliau merupakan anggota majlis yang tidak dipilih. - Foto ST

Presiden terpilih Persatuan Guaman Singapura, Encik Dinesh Singh Dhillon, bersetuju meletak jawatan selepas pertemuan dengan anggota pada 17 Disember.

Encik Dinesh, yang dipilih oleh majoriti 21 anggota majlis Persatuan Guaman pada November sebagai presiden ke-30, dijadual mengambil alih kepimpinan daripada Cik Lisa Sam Hui Min, pada 2026.

Namun, kemenangannya menimbulkan rasa tidak senang kerana beliau bukan anggota majlis yang dipilih.

Segelintir anggota merancang usul undi tidak percaya terhadap beberapa anggota majlis pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 22 Disember.

Dalam dokumen yang dilihat The Straits Times, majlis menyatakan Encik Dinesh akur melepaskan jawatan presiden demi memelihara perpaduan persatuan, atas dasar “kebimbangan sah” yang dibangkitkan anggota.

Majlis bagi sesi 2026 dibentuk semula, dengan naib presiden, Profesor Tan Cheng Han, mengambil alih jawatan presiden badan tersebut.

Profesor Tan memegang beberapa jawatan, termasuk perunding kanan di Wong Partnership dan ketua pegawai strategi di Sekolah Undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS).

Encik Dinesh, ketua bersama amalan timbang tara antarabangsa di Allen dan Gledhill, akan disokong majlis sebagai naib presiden.

Persatuan Guaman ialah badan perwakilan semua peguam di Singapura, dengan kira-kira 6,400 anggota.

Peguam mengundi setiap Oktober untuk kerusi di majlis, badan tertinggi persatuan yang menguruskan hal ehwalnya.

Majlis biasanya terdiri daripada 15 anggota yang dipilih, tiga anggota yang dilantik oleh menteri undang-undang, dan tiga lagi dipilih oleh majlis.

Semua anggota majlis berkhidmat untuk tempoh dua tahun.

Di bawah Akta Profesion Undang-undang, menteri undang-undang boleh melantik sehingga tiga anggota untuk menganggotai majlis tersebut.

Encik Dinesh adalah salah seorang daripada tiga yang dibawa masuk kali ini.

Undian dalaman untuk empat pemegang jawatan – presiden, dua naib presiden dan bendahari – diadakan setiap tahun dalam kalangan anggota majlis.

Majlis berkata dalam dokumen itu, Encik Dinesh bertanding jawatan presiden “dengan niat baik dan atas hasrat sendiri, demi menyumbang kepada badan peguam”.

Majlis menegaskan: “Tiada isu mengenai kebebasan atau kecekapan Encik Dinesh sebagai presiden Persatuan Guaman.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg