Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan salah laku: Presiden badan guaman dakwa tidak dimaklum

Dec 17, 2025 | 8:24 PM
persatuan guaman, siasatan salah laku, lisa sam hui min
Presiden Persatuan Guaman, Cik Lisa Sam Hui Min, berkata dalam satu hantaran di LinkedIn beliau telah berulang kali meminta TSMP Law Corporation, agar memberikan butiran bertulis mengenai dakwaan tersebut, namun dikatakan tidak berhasil. - Foto ST

Butiran siasatan yang sedang dijalankan ke atas Persatuan Guaman Singapura tidak dimaklumkan kepada Cik Lisa Sam Hui Min, presiden yang akan menamatkan jawatannya dalam badan profesional itu.

Meskipun beliau telah membuat beberapa pertanyaan, dirinya masih tidak tahu hasil siasatan firma guaman, TSMP Law Corporation, yang ditugaskan jawatankuasa audit persatuan berkenaan pada September 2025 untuk menyiasat dakwaan wujudnya tingkah laku tidak wajar di tempat kerja dan perbelanjaan berlebihan sewaktu lawatan ke luar negara.

Cik Sam yang akan kekal sebagai Anggota Majlis badan profesional tersebut, dalam satu hantaran LinkedIn lewat malam 17 Disember, dikatakan berulang kali meminta TSMP memberikan butiran bertulis mengenai dakwaan yang dibuat, namun tidak menerima sebarang maklum balas, lapor The Straits Times (ST).

Persatuan Guaman Undang-Undang, sebelum ini, tidak memberi respons terhadap pertanyaan ST mengenai dakwaan dan siasatan tersebut.

Dalam hantarannya, Cik Sam berkata:

“(Saya) terkejut dan amat terganggu kerana butiran mengenai apa yang sepatutnya merupakan satu proses bebas dan sulit berhubung laporan tanpa nama serta dakwaan yang belum disahkan, yang ditugaskan oleh Jawatankuasa Audit Persatuan Guaman dan diserahkan kepada TSMP Law Corporation, telah disalurkan kepada media, malah sebelum saya sendiri diberikan butiran tersebut.”

Dakwaan mengenai perbuatan membuli di tempat kerja itu mula muncul dalam talian pada September 2025, dan telah mencetuskan siasatan dalaman oleh Persatuan Guaman.

Cik Sam berkata beliau telah meminta TSMP agar butiran dakwaan sebenar disediakan secara bertulis supaya beliau dapat memberikan respons bertulis.

“Namun, butiran tersebut tidak diberikan kepada saya,” tambahnya.

Cik Sam menambah: “Amat malang sekali apabila saya terpaksa mengetahui melalui ST tentang apa yang kononnya sedang disiasat.”

Rakan pengarah urusan bersama TSMP, Peguam Kanan Thio Shen Yi, mengesahkan kepada ST siasatan sedang dijalankan dan berkata satu laporan kemajuan telah dikemukakan kepada jawatankuasa audit.

Beliau enggan memberikan butiran lanjut.

ST difahamkan beberapa bekas kakitangan dan kakitangan sedia ada telah ditemu bual TSMP antara Oktober dengan Disember 2025.

Dalam hantaran LinkedIn itu, Cik Sam berkata sebahagian dakwaan yang dinyatakan dalam aduan tanpa nama berlaku sebelum beliau memegang jawatan Presiden.

Beliau telah menjadi presiden persatuan sejak 2024.

Cik Sam berkata: “Saya tidak dapat memahami bagaimana sebarang kemas kini kemajuan yang bermakna atau laporan interim (bersifat sementara) boleh diberikan (kepada media).

“Semakan ini pasti masih berjalan dan jauh daripada selesai, memandangkan TSMP masih belum memberikan saya butiran bertulis mengenai dakwaan sebenar.”

“Tidak perlu dikatakan, saya berasa terganggu apabila rakan pengarah urusan bersama TSMP membuat kenyataan kepada media mengenai perkara yang beliau sepatutnya maklumi adalah sulit dan tindakan itu berpotensi melanggar tanggungjawab beliau kepada Jawatankuasa Audit dan Persatuan Guaman Singapura.”

Cik Sam akan meninggalkan jawatannya pada akhir 2025, dengan Encik Dinesh Singh Dhillon, presiden terpilih, mengambil alih jawatan pada 2026.

ST telah menghubungi Persatuan Guaman dan Cik Sam untuk mendapatkan ulasan mengenai dakwaan tersebut serta status siasatan yang sedang dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg