TUNIS: Presiden Tunisia, Encik Kais Saied, memecat Perdana Menteri Encik Kamel Maddouri kurang setahun selepas pelantikannya dan mengumumkan jurutera serta Menteri Peralatan dan Perumahan, Cik Sara Zaafarani, sebagai pengganti.
Ini menjadikan Zaafarani sebagai perdana menteri ketiga dalam tempoh kurang dua tahun, ketika negara itu berdepan krisis ekonomi dan peningkatan mendadak pelarian dari negara-negara sub-Sahara Afrika.
Dalam siaran video menerusi laman Facebook rasmi presiden, Encik Saied menegaskan bahawa pelantikan baharu ini bertujuan untuk menyelaras semula tindakan pemerintah bagi memenuhi harapan rakyat Tunisia yang semakin tertekan dengan keadaan semasa.
“Saya menyeru Sara Zaafarani untuk menyatukan semula tindakan pemerintah dan mengatasi segala halangan demi memenuhi harapan rakyat,” katanya.
Selain itu, Presiden Saied turut melantik Encik Salah Zouari sebagai Menteri Peralatan yang baharu bagi menggantikan Cik Zaafarani.
Ekonomi Tunisia menunjukkan prestasi yang lemah sejak kebelakangan ini. Kadar pertumbuhan tidak melebihi 1.4 peratus pada tahun 2024 dan negara Afrika Utara itu kini mengalami krisis kewangan yang serius. Kekurangan bahan asas seperti gula, beras dan kopi semakin meruncing dan menjadi isu harian bagi rakyat.
Pada Februari, Encik Saied juga memecat Menteri Kewangan, Encik Sihem Boughdiri, dengan alasan kegagalan mengurus keperluan ekonomi negara. Beliau turut menuduh beberapa menteri lain tidak memenuhi standard yang ditetapkan.
Dalam ucapannya semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 14 Mac lalu, Encik Saied menyatakan komitmennya untuk terus ‘berjuang membebaskan’ Tunisia daripada konspirasi dalaman dan luaran.
“Kita akan terus berjuang membebaskan negara ini sehingga keadilan benar-benar dinikmati oleh semua rakyat. Kita akan terus gagalkan semua bentuk konspirasi,” ujar Encik Saied tegas.
Tunisia juga menerima kritikan luas berhubung krisis pelarian yang semakin meruncing. Ribuan pelarian dari sub-Sahara Afrika kini hidup dalam khemah di kawasan hutan sekitar Amra dan Jbeniana selepas usaha mereka untuk menyeberang ke Italy dihalang pihak berkuasa.
Insiden pergeseran antara pelarian dan penduduk tempatan yang mahu mereka dihantar pulang turut meningkat. Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia menuduh pemerintah Tunisia mengamalkan retorik bersifat perkauman dan mengapi-apikan kebencian terhadap pelarian.
Seorang aktivis hak asasi tempatan, Cik Rania Bouguerra, berkata:
“Negara ini bukan sahaja sedang tenggelam dalam krisis ekonomi, tetapi juga dalam krisis kemanusiaan yang memalukan kita di mata dunia.” - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg