Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Xi gesa askar China mesti ‘berani berperang’

Buat kenyataan itu semasa periksa latihan tentera pasukan yang beroperasi di kawasan berhampiran Taiwan
Jul 7, 2023 | 4:06 PM
LATIHAN ASKAR: Askar China berdiri di geladak kapal perang China ketika berlayar semasa latihan ketenteraan berhampiran Fuzhou, wilayah Fujian, berhampiran Kepulauan Matsu yang dikuasai Taiwan.
LATIHAN ASKAR: Askar China berdiri di geladak kapal perang China ketika berlayar semasa latihan ketenteraan berhampiran Fuzhou, wilayah Fujian, berhampiran Kepulauan Matsu yang dikuasai Taiwan. - Foto REUTERS

BEIJING: Presiden China, Encik Xi Jinping, berkata tentera negara itu mesti “berani berperang”, lapor media pemerintah pada Khamis, sedang beliau memeriksa pasukan yang beroperasi di kawasan berhampiran Taiwan.

Lawatan Encik Xi dibuat di tengah-tengah kerancakan diplomasi dengan Amerika Syarikat – penyokong keselamatan utama Taiwan – dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Dr Janet Yellen, kini berada di Beijing untuk mengadakan perbincangan yang bertujuan menstabilkan hubungan ekonomi.

China mendakwa Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan telah berikrar untuk menjadikan pulau itu di bawah kawalannya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu

Semasa pemeriksaan di Komando wilayah timur Tentera Pembebasan Rakyat, Encik Xi memberitahu pihak tentera bahawa mereka harus “berani berperang, pandai berperang, dan tegas mempertahankan kedaulatan (dan) keselamatan negara,” lapor stesen penyiar CCTV.

“Pada masa ini, dunia telah memasuki era pergolakan dan perubahan baru. Ini menjadikan keadaan keselamatan negara kita lebih tidak stabil dan tidak menentu,” kata Encik Xi ditukil CCTV.

“Adalah perlu untuk memperdalam perancangan perang dan pertempuran... memberi tumpuan kepada latihan ketenteraan bagi pertempuran sebenar dan mempercepatkan peningkatan dalam kapasiti kita untuk menang.

“Tentera mesti... meningkatkan keupayaan pemimpin jawatankuasa parti supaya siap sedia untuk berperang,” tambahnya.

Rakaman yang disiarkan CCTV pada Khamis petang menunjukkan Encik Xi, yang memakai baju tentera, memasuki bilik kapal disusuli dengan tepukan gemuruh oleh para pegawai tentera sebelum membuat kenyataan di podium.

China dan Amerika telah bertelagah sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengenai status Taiwan.

Beijing mengadakan latihan ketenteraan berskala besar sebagai tindak balas kepada lawatan ke pulau itu oleh Speaker Dewan Rakyat Amerika ketika itu, Cik Nancy Pelosi, pada 2022.

Pada April, tentera China menjalankan latihan selama tiga hari berupa simulasi sekatan ke atas pulau itu selepas pengganti Cik Pelosi, Encik Kevin McCarthy, mengadakan perbincangan dengan pemimpin Taiwan, Cik Tsai Ing-wen, di California. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg