Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

rencana

AS-China kembali bincang namun rasa sangsi terus selubungi

Jun 26, 2023 | 05:30 AM



BEIJING/WASHINGTON: Ia merupakan satu misi untuk cuba menyelamatkan hubungan yang dahulunya mesra, namun kini dibelenggu pertelingkahan dan berupaya membawa kepada perpisahan. 


Namun, kebencian dan syak wasangka yang mendalam segera memuncak sebaik sahaja Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, turun dari pesawatnya pada Ahad di Beijing.

Menampilkan beberapa visual diplomat Amerika yang muncul dari pesawat itu, media China dan warganet menuduh akhbar Barat seperti BBC dan Washington Post menggunakan penuras untuk sengaja menggelapkan latar langit biru untuk menunjukkan bahawa ibu kota itu diselubungi jerebu.


Di Twitter, satu lagi persoalan timbul apabila pemerhati dengan penuh bersemangat menguar-uarkan bahawa Encik Blinken disambut oleh ketua pengarah hal ehwal Amerika Utara dan Kelautan Kementerian Luar China dan membuat kesimpulan bahawa Beijing ingin memalukan Amerika kerana ia menghantar “pegawai peringkat rendah”.

Ia tidak mengambil masa yang lama untuk teori konspirasi itu dihapuskan. Ternyata BBC, Washington Post dan juga penyiar China, CGTN, semuanya menggunakan rakaman yang sama dengan Reuters.


Sambutan Encik Blinken oleh seorang ketua pengarah adalah protokol yang sama diberikan kepada setiausaha negara terdahulu.

Kedua-dua pihak melihat dengan jelas bahawa lawatan Encik Blinken – yang ditangguhkan dari Februari selepas perbalahan mengenai belon pengintip  – tidak akan mengubah apa-apa secara material. 

Matlamatnya adalah sekadar untuk kedua-dua belah pihak mula berdialog sekali lagi. Nampaknya matlamat itu berhasil.

Dialog kali ini sekurang-kurangnya lebih mesra berbanding apa yang berlaku di Alaska dua tahun lalu, apabila kedua-dua pihak secara terbuka mencela satu sama lain.

Kenyataan kedua-dua Kementerian Luar China dan Jabatan Negara Amerika pada Isnin menyifatkan perbincangan Beijing selama dua hari sebagai berterus terang, substantif dan membina.

Encik Yang Tao, ketua pengarah yang menyambut Encik Blinken ketika beliau turun dari pesawat, menyifatkan lawatan itu sebagai “permulaan baru” bagi hubungan dua hala.

Beliau turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah melahirkan hasrat untuk menstabilkan hubungan dan mengelakkan ia daripada memburuk.

Encik Blinken diberi masa untuk bersua dengan Presiden Xi Jinping.

Semasa pertemuan itu, Encik Xi duduk di kepala meja bersaiz besar, dengan Encik Blinken dan delegasi Amerika di satu pihak dan pegawai China di pihak yang lain. Ia boleh ditafsirkan sebagai langkah taktikal Beijing untuk menunjukkan siapa bos, kata pengamat.

Kali terakhir pemimpin China itu bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Encik Mike Pompeo, ialah pada Jun 2018, sebelum keadaan hubungan menjadi keruh – kedua-duanya berbasa-basi sambil duduk di sofa empuk.

“Lawatan Blinken ke Beijing memenuhi keperluan dan mesej-mesej jangka pendek bagi kedua-dua negara dan meningkatkan kemungkinan keadaan menjadi lebih tenang sekarang sebelum mesyuarat pemimpin Apec di San Francisco pada November,” kata Encik Stephen Olson, seorang penyelidik kanan di Yayasan Hinrich di Hong Kong.

“Dalam jangka panjang, tiada apa yang berlaku di Beijing pada hujung minggu yang akan menggetarkan hubungan Amerika-China dengan ketara,” tambahnya.

Beijing mungkin telah menunjukkan kesanggupannya untuk memperbaiki hubungan yang berhadapan cabaran kini dan secara keseluruhannya memberikan sambutan hangat kepada Encik Blinken.

Namun ia tetap memastikan rasa kurang senangnya didengari dan sikap itu dilihat oleh tetamu dan rakyatnya.

Dua diplomat tertinggi, Encik Wang Yi dan Encik Qin Gang, mengambil kesempatan mengeluarkan bantahan dan amaran terhadap sekatan teknologi Amerika, Taiwan dan juga terhadap kebimbangan Amerika terhadap kebangkitan China.

Encik Wang menyalahkan Amerika di atas “salah tanggapan Amerika terhadap China” dengan tepat atas hubungan mereka yang berliku, selain menuntut Washington supaya menarik balik sekatan dan berhenti menyekat pembangunan teknologi China.

Encik Blinken pula membangkitkan kebimbangan mengenai hak asasi manusia, tindakan China di Selat Taiwan dan Laut China Selatan Timur serta penahanan warga Amerika.

Ditanya pada Selasa mengenai sama ada Amerika mempunyai salah tanggapan terhadap China seperti yang didakwa Encik Wang, Penolong Setiausaha Negara Amerika bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Encik Daniel Kritenbrink, berkata bahawa pengurusan yang bertanggungjawab dalam jalinan hubungan melibatkan “jalan dua hala”.

Tindakan Amerika mempertahankan kepentingannya “sudah tentu tidak dibangunkan oleh persepsi yang salah terhadap China”, katanya.

Adalah ‘malang’ bagi Amerika untuk tidak berganding dengan China, kata Encik Blinken selepas bertemu Encik Xi semasa perjalanan ke Beijing.

China menyeru Amerika supaya bertemu dengannya di tengah-tengah hubungan yang membeku.

Pihak China tidak terpengaruh, namun pilihan perkataan Amerika memberikan “secara intelektual, sanggahan semula yang lebih kukuh terhadap tuduhan China bahawa Amerika cuba mengecualikannya daripada ekonomi sejagat dan menggagalkan pembangunannya”, kata Profesor Madya Hoo Tiang Boon dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam.

“Apa yang mereka cuba katakan adalah sah kerana ia adalah langkah defensif untuk melindungi diri mereka atas nama keselamatan negara. Tetapi perbezaan antara mengurangkan risiko dengan gandingan adalah beberapa perkara yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara jika anda ingin mengurangkan risiko.

“Jika Amerika berhenti menyasarkan semua sektor teknologi dalam kempennya yang tidak berisiko dan menunjukkan bahawa tindakannya tidak semestinya mengecualikan China daripada ekonomi sejagat, maka Beijing perlu menerima ini pada satu masa nanti,” kata Profesor Hoo.

“Tetapi saya pasti rakyat China juga akan bertindak balas atas nama mengurangkan risiko ke atas syarikat dan sektor Amerika terpilih dan pada masa itu, sukar bagi Amerika dan sekutu mereka untuk membuat sebarang aduan yang sah.”

Lawatan Encik Blinken ke China mendapat tindak balas daripada penyokong konservatif di Washington.

“Tiada kesan bagi belon pengintip,” kata Senator Republikan dan sekutu Encik Donald Trump, Encik Josh Hawley, dari selatan Missouri dalam satu ‘tweet’. 

“Tiada akibat untuk stesen pengintip di Cuba. Tiada akibat mencuri pekerjaan kami. ”

Cik Bonnie Glaser, pengarah urusan Indo-Pasifik bagi kumpulan Dana Jerman Marshall dari Amerika, memberitahu The Straits Times: “Tidak dinafikan terdapat pandangan bahawa dialog dengan China membuang masa dan bahkan mempunyai potensi risiko.”


“Dan ada kemungkinan kebocoran maklumat mengenai pangkalan China di Cuba, yang telah berada di sana sejak sekurang-kurangnya 2019, adalah percubaan untuk mensabotaj kunjungan Blinken,” katanya, merujuk kepada berita yang tersebar pada 8 Jun yang mendakwa Cuba bersetuju menjadi tuan rumah kemudahan elektronik, mencuri dengar China.

“Tetapi terdapat ramai yang percaya pada diplomasi dan keperluan untuk melibatkan diri dalamnya untuk menguruskan persaingan Amerika dengan China.”

Dr Robert Manning, seorang zamil terkenal di Pusat Stimson di Washington, berkata kebijaksanaan konvensional bahawa terdapat konsensus dwiparti mengenai China di Washington adalah tidak betul sepenuhnya.

“Terdapat konsensus bahawa semua andaian lama adalah salah. Dan saya rasa apa yang anda lihat ialah pendekatan yang berbeza. Jika anda melihat Kongres, mereka mahu memansuhkan China, memansuhkan Parti Komunis China, menghilangkannya, terus menggasak mereka, mencederakan mereka – seolah-olah kita mempunyai agensi untuk membuat mereka berlalu pergi,” katanya.

Tetapi, Presiden Joe Biden melihat bahawa China adalah ekonomi kedua terbesar di dunia, dengan hubungan perdagangan AS$700 bilion ($941 bilion) dan pedagang terkemuka dengan semua sekutu Amerika, serta negara berkuasa nuklear yang matang. 

“Dan anda perlu mencari cara untuk hidup bersama mereka,” kata Dr Manning.

China, menurutnya, telah menjadi piñata (sejenis mainan kanak-kanak yang dipukul berasal dari Mexico) gergasi dan politik Washington adalah untuk menunjukkan siapa yang boleh memukulnya lebih kuat.


“Oleh itu, Biden berada di sini cuba untuk menyiapkan rangka kerja bagi kewujudan bersama dan mereka hanya mahu terus mengalahkan China kerana ia adalah politik yang mudah, murah dan bagus,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >