Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Produk keluaran Brunei bakal dipasarkan di Mustafa Centre

Sep 27, 2023 | 4:16 PM
SATU PENCAPAIAN: Orang ramai boleh membeli produk keluaran Brunei dari Mustafa Centre apabila barangan eksport pertamanya tiba di sini kelak.
SATU PENCAPAIAN: Orang ramai boleh membeli produk keluaran Brunei dari Mustafa Centre apabila barangan eksport pertamanya tiba di sini kelak. - Foto BEDB

BANDAR SERI BEGAWAN: Para pengguna di Singapura bakal dapat membeli produk keluaran Brunei apabila penghantaran barangan eksport pertamanya itu yang dibuat pada Selasa tiba di sini kelak.

Ini menyusuli pengumuman Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), melalui Darussalam Enterprise (DARe) bahawa eksport pertama produk buatan Brunei itu akan dihantar ke pusat membeli belah Mustafa Centre di Syed Alwi Road, Serangoon

Bagi Brunei, ini merupakan satu pencapaian dalam menampilkan kehadiran Brunei yang semakin meningkat di pasaran antarabangsa.

Eksport ke Mustafa Centre itu sudah disatukan ke dalam kontena 20 kaki yang penuh dengan barangan Brunei dan akan ke Singapura pada Selasa melalui Amann Shipping.

Satu majlis diadakan pada Isnin di Pelabuhan Muara bagi memperingati pencapaian tersebut.

Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT) dan Ahli Lembaga Pengarah BEDB dan DARe, Cik Tutiaty Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap I di MPRT, Encik Mohd Yusree Junaidi; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap II MPRT, Cik Noralinda Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd, Encik Zeng Caili; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB dan DARe, Encik Daniel Leong, bersama wakil MPRT dan DARe hadir di majlis itu.

Inisiatif eksport itu adalah hasil usaha DARe dan MPRT untuk memudahkan akses produk Brunei, baik yang diproses dan dihasilkan di kilang, ke pasaran antarabangsa.

Akses kepada pasaran asing memerlukan gabungan penyelarasan dasar, promosi produk dan kesediaan untuk merundingkan harga dan kekerapan pembekalan dengan bakal pengimport.

Sebelum ini, beberapa sesi rundingan dengan Mustafa Centre dipermudahkan oleh DARe, termasuk lawatan ke Mustafa Centre pada April tahun ini dan seminar yang diadakan di Brunei menumpukan kepada eksport ke Singapura daripada perspektif pembeli.

DARe secara serentak menganjurkan sesi pengenalan contoh produk, mengetengahkan produk sedia di eksport dan yang mempunyai potensi eksport dan memudahkan rundingan harga antara Mustafa Centre dengan bakal pengeksport.

Hasilnya, Mustafa Centre menyatakan komitmennya untuk membeli produk dari lima syarikat Brunei: Ghanim International Sdn Bhd, Marimin Sdn Bhd, Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Sahamada Corporation Sdn Bhd dan Taurean Bakeshop and Café.

Ini sekali gus mengukuhkan perjanjian untuk mendapatkan produk-produk mereka.

Awal tahun lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (MPRT) Brunei telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dan teknologi agro.

MOU itu telah ditandatangani oleh Encik Lim Kok Thai, Ketua Pegawai Eksekutif SFA, dan Cik Tutiaty Abdul Wahab, Setiausaha Tetap MPRT, menurut satu kenyataan SFA.

MOU itu menegaskan komitmen Singapura dan Brunei Darussalam untuk memperdalam kolaborasi dalam bidang berkaitan pertanian dan teknologi pertanian, melalui pertukaran maklumat dan pengetahuan, serta peningkatan keupayaan dan pembangunan sumber, kata kenyataan itu lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg