Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program makanan percuma Prabowo dilancar 2025 dengan 2 hidangan sehari

Oct 9, 2024 | 11:15 AM
Bakal Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, membahagikan makanan percuma kepada pelajar sekolah sedang Indonesia akan melancarkan ribuan dapur di seluruh negara bermula 2025.
Bakal Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, membahagikan makanan percuma kepada pelajar sekolah sedang Indonesia akan melancarkan ribuan dapur di seluruh negara bermula 2025. - Foto INSTAGRAM GIBRAN RAKABUMING

JAKARTA: Program makanan percuma yang diperkenalkan oleh pemerintah baru yang bakal dipimpin oleh bakal Presiden, Encik Prabowo Subianto,  yang pada asalnya direka untuk menyediakan makanan tengah hari kepada pelajar, kini akan diperluaskan kepada dua kali sehari — sarapan dan makan tengah hari.

Encik Hashim Djojohadikusumo, penasihat utama Encik Prabowo, pada 8 Oktober menjelaskan bahawa keputusan untuk menambah jumlah hidangan itu berdasarkan data Kementerian Kesihatan yang menunjukkan bahawa 41 peratus pelajar di Indonesia, atau kira-kira 18 juta orang, pergi ke sekolah tanpa bersarapan kerana keadaan ekonomi keluarga.

Encik Prabowo, yang bakal mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober, merancang melancarkan program besar-besaran ini pada Januari 2025. Pada peringkat awal, program ini akan memberi makanan percuma kepada sekitar 20 juta pelajar dengan kos 71 trilion rupiah ($5.9 bilion).

Menjelang 2027, program ini dijangka mencapai 83 juta penerima, termasuk ibu hamil, dengan kos kira-kira 450 trilion rupiah setahun.

Bagi menyokong pelaksanaan program ini, Indonesia akan membuka ribuan dapur yang dikenali sebagai ‘unit khidmat’ di seluruh negara.

Menurut Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Encik Dadan Hindayana, sebanyak 5,000 unit khidmat akan dibina pada tahun pertama sebelum meningkat kepada 30,000 unit menjelang 2027.

Setiap unit akan menyediakan makanan kepada sekitar 3,000 kanak-kanak sehari, dengan jumlah penggunaan makanan yang besar termasuk 200 kilogram (kg) beras, 350 kg ayam, 3,000 telur, 600 liter susu, dan 350 kg sayur-sayuran.

Encik Dadan juga menyatakan bahawa program itu akan memfokuskan kepada sumber makanan tempatan seperti petani dan nelayan setempat, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Selain itu, ia dijangka akan mencipta lebih 1.5 juta peluang pekerjaan, termasuk untuk wanita dan remaja, yang akan diambil bekerja dalam operasi dapur-dapur ini.

Program itu bukan sahaja bertujuan menangani masalah kekurangan zat makanan dan bantut dalam kalangan kanak-kanak, malah memacu pertumbuhan ekonomi melalui sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

Selain itu, penggunaan teknologi digital akan diterapkan untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan dalam pelaksanaan program ini.

Dengan pelancaran program makanan percuma ini, Indonesia berharap dapat menyelesaikan masalah kekurang zat makanan, meningkatkan taraf kesihatan kanak-kanak, dan pada masa yang sama, menyokong pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan permintaan terhadap produk tempatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg