Topic followed successfully
Go to BHkuSetiap penduduk berusia lebih 50 tahun akan disuntik dos ketiga
Setiap penduduk berusia lebih 50 tahun akan disuntik dos ketiga
Vaksin baru untuk atasi varian baru turut dipertimbang
Setiap penduduk berusia lebih 50 tahun akan disuntik dos ketiga
LONDON: Setiap penduduk berusia lebih 50 tahun di Britain akan mendapat suntikan vaksin Covid-19 ketiga pada beberapa bulan akan datang dalam usaha kerajaan negara itu mahu mencegah ancaman daripada jangkitan secara keseluruhannya menjelang Krismas, lapor akhbar The Times.
Ujian bagi dua pilihan sedang dijalankan, diawasi oleh ketua pegawai perubatan England, Chris Whitty, kata akhbar itu.
Pilihan pertama melibatkan vaksin yang diubahsuai secara khusus untuk mengatasi varian baru.
Yang kedua adalah suntikan ketiga daripada salah satu daripada tiga vaksin yang kini digunakan: Pfizer-BioNTech, Oxford-AstraZeneca atau Moderna.
Lebih 34.6 juta orang di Britain telah diberi dos pertama vaksin Covid-19, demikian dinyatakan dalam satu perangkaan kerajaan kelmarin.
Britain, yang mempunyai penduduk seramai 67 juta, mempunyai perjanjian melibatkan lebih 510 juta dos daripada lapan vaksin Covid-19 berlainan, sebilangannya masih dalam tahap pembangunan.
Britain akan membeli lagi 60 juta dos vaksin Pfizer/BioNTech, kata Menteri Kesihatan Matt Hancock minggu lalu, dalam satu perjanjian yang akan meningkatkan bekalan vaksin negara itu kepada lebih seganda menjelang satu program suntikan penggalak pada akhir tahun ini.
Britain kini telah menempah sejumlah 100 juta dos vaksin Pfizer, satu daripada tiga vaksin Covid-19 yang digunakan di negara itu.
Sementara itu, negara itu telah menubuhkan satu pusat pengujian Covid-19 yang bertujuan mempercepat penggunaan vaksin yang disesuaikan untuk mengatasi varian koronavirus baru.
Kerajaan akan melabur 29.3 juta pound ($54 juta) bagi pembangunan 'makmal canggih, di kemudahan penyelidikan ketenteraan Porton Down untuk menilai keberkesanan vaksin sedia ada dan vaksin baru ke terhadap varian yang menjadi perhatian pihak berkuasa kesihatan, kata Jabatan Kesihatan dalam satu kenyataan melalui e-mel.
Dana tambahan itu akan membolehkan saintis menguji 3,000 sampel darah seminggu, meningkat daripada 700 sekarang, untuk mengukur tahap antibodi terhadap Covid-19 yang dihasilkan oleh pelbagai vaksin.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson mahu membuka semula semua sektor ekonomi Britain mulai 21 Jun, di tengah-tengah penurunan secara dramatik kadar jangkitan dan kematian akibat koronavirus dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Tetapi saintis telah memberi amaran tentang kemungkinan kemunculan semula virus pada akhir tahun sedang lebih banyak orang berkumpul lagi di dalam rumah.
Sebarang kenaikan kes akan menjadikan Covid-19 lebih cenderung untuk bermutasi dan membentuk varian baru yang mungkin tahan terhadap vaksin, yang dapat mengakibatkan sekatan pergerakan selanjutnya.
Walaupun bukti awal menunjukkan vaksin sedia ada berkesan terhadap varian termasuk yang kali pertama dikenal pasti di Kent, tenggara England, dan Afrika Selatan, kerajaan Britain sedang bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal untuk memastikan vaksin yang dihasilkan dapat melindungi daripada virus sedia ada dan virus yang menjalani mutasi pada masa depan. - Agensi berita.

