ISTANBUL: Penunjuk perasaan yang marah berhimpun di Istanbul pada 1 Julai walaupun kehadiran ramai anggota polis, menjerit ugutan berikutan dakwaan sebuah majalah bercorak sindiran menerbitkan kartun Nabi Muhammad saw.
Pergolakan bermula lewat 30 Jun selepas ketua pendakwa raya Istanbul mengarahkan penahanan kakitangan majalah mingguan, LeMan, yang didakwa menerbitkan kartun yang “menghina nilai agama secara terbuka”.
LeMan menafikan dakwaan itu, dan ketua pengarangnya memberitahu agensi berita, AFP, bahawa imej itu “tiada kaitan dengan Nabi Muhammad”.
Namun berita mengenai waran penahanan itu membawa sekumpulan penunjuk perasaan petegar Islam yang marah berkumpul di jalan raya, bertempur dengan polis hingga larut malam.
Sebuah kumpulan yang dipanggil Platform Perpaduan Islam mengadakan satu lagi bantahan pada 1 Julai, mendorong polis menutup Dataran Taksim dan Istiklal – pusat beli-belah yang sibuk di bandar itu.
Tetapi mereka tetap berkumpul, dengan kira-kira 300 penunjuk perasaan yang menjerit, mencaci dan melaungkan, “Jangan lupa Charlie Hebdo”.
Ia merujuk kepada serangan 2015 ke atas majalah Paris apabila lelaki bersenjata Islam membunuh 12 orang selepas ia menerbitkan karikatur yang mencerca Nabi Muhammad saw.
Bilangan penunjuk perasaan kurang agresif berbanding mereka yang berhimpun pada malam 30 Jun, apabila kira-kira 400 penyokong tegar Islam cuba menyerbu bar yang sering dikunjungi kakitangan majalah.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi meleraikan penunjuk perasaan.
Penerbitan imej itu mendapat kecaman tajam daripada Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang mengecamnya sebagai “jenayah kebencian”.
“Ia adalah provokasi yang menyamar sebagai jenaka, provokasi keji,” kata beliau, dengan menyatakan pihak berkuasa telah merampas semua majalah yang menyinggung perasaan itu.
Keganasan pada 30 Jun itu mendapat kecaman tajam Encik Erol Onderoglu, daripada kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).
“Tiada pewajaran untuk keganasan sebegitu, yang kami kecam sekeras-kerasnya,” katanya sambil menambah “sukar untuk memahami” mengapa polis tidak campur tangan lebih awal dan “keselamatan kartun mesti diutamakan”.
Menteri Dalam Negeri Turkey, Encik Ali Yerlikaya, menyiarkan gambar pelukisa kartun, pereka grafik LeMan, penerbitnya dan seorang lagi kakitangan yang diseret secara kasar semasa ditahan. Ia menyebabkan tindakan itu ditegur kumpulan hak asasi Turkey.
Persatuan Peguam Istanbul turut mengecam penangkapan itu, dengan berkata:
“Tindakan seperti menggari semasa tahanan, perkongsian rakaman yang diambil dengan menundukkan kepala secara paksa jelas melanggar larangan layanan buruk.” – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg