LOS ANGELES: Pasukan keselamatan bertempur dengan penunjuk perasaan di luar pusat tahanan di Los Angeles pada 8 Jun ketika tentera yang dikerah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, cuba mengawal keadaan.
Tentera Pengawal Kebangsaan itu dikerah berikutan protes tidak terkawal selama dua hari berhubung serbuan oleh ejen imigresen.
Encik Trump berikrar bahawa tentera akan memastikan “undang-undang dipatuhi dan ketenteraman awam dipulihkan” sambil membayangkan tentera juga akan dikerah ke bandar-bandar lain.
Tentera Amerika berkata 300 askar daripada Pasukan Tempur Briged Infantri ke-79 telah dihantar ke tiga lokasi berasingan di Los Angeles bagi “meningkatkan keselamatan dan perlindungan harta serta kakitangan persekutuan.”
Tentera bertopi keledar dan lengkap bersenjata telah ditempatkan di pusat tahanan persekutuan di pusat bandar Los Angeles untuk menyertai pasukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Semburan lada dan gas pemedih mata telah dilepaskan ke arah peserta protes untuk membolehkan konvoi kenderaan memasuki pusat tahanan itu.
Ditanya mengenai pengerahan tentera, Encik Trump tidak menolak kemungkinan penempatan tentera yang lebih meluas di bahagian lain negara.
“Anda mempunyai orang yang ganas, dan kami tidak akan membiarkan mereka terlepas begitu sahaja,” katanya kepada pemberita.
Menjawab soalan mengenai penggunaan Akta Pemberontakan yang membenarkan tentera digunakan sebagai pasukan polis domestik, Encik Trump berkata: “Kita kini melihat tentera di mana-mana. Kita tidak akan membiarkan ini berlaku kepada negara kita.”
“Trump menghantar 2,000 tentera Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles County bukan untuk memenuhi keperluan yang tidak dipenuhi, tetapi untuk menghasilkan krisis,” kata Gabenor Gavin Newsom menerusi wadah X pada 8 Jun.
“Beliau mengharapkan huru-hara supaya beliau boleh mewajarkan lebih banyak tindakan keras, lebih ketakutan, lebih kawalan. Bertenang dan jangan sekali-kali menggunakan kekerasan,” tambahnya.
Amaran Encik Newsom itu dibuat selepas Los Angeles digemparkan dengan konfrontasi dua hari yang menyaksikan ejen persekutuan melepaskan bom tangan dan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang marah atas penahanan berpuluh-puluh pendatang asing.
Parti Republikan menyokong langkah Encik Trump untuk menolak kritikan Encik Newsom dan pegawai tempatan lain terhadap penempatan Pengawal Kebangsaan.
“Saya tidak sama sekali bimbang mengenai perkara itu,” kata Speaker Dewan Rakyat Republikan, Encik Mike Johnson, menuduh “ketidakupayaan atau keengganan Encik Newsom untuk melakukan apa yang perlu.”
Penunjuk perasaan mendakwa kehadiran tentera itu tidak semestinya untuk menjaga ketenteraman, tetapi merupakan taktik intimidasi. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg