Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kerah Pengawal Kebangsaan selepas serbuan imigresen cetus bantahan di LA

Setiausaha Pertahanan: Pentagon sedia kerah tentera jika keganasan berterusan
Jun 8, 2025 | 6:48 PM
ice, bantahan, imigresen
Timbalan Syerif Daerah Los Angeles mengekalkan kepungan semasa berdepan dengan penunjuk perasaan berikutan beberapa penahanan oleh Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), di Los Angeles, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata ia akan mengerahkan 2,000 tentera Pengawal Kebangsaan bagi membantu ejen federal di Los Angeles yang berdepan dengan penunjuk perasaan buat hari kedua susulan serbuan pihak imigresen terhadap pendatang haram.

Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth pula memberi amaran bahawa Pentagon bersedia untuk mengerah tentera “jika keganasan berterusan” di Los Angeles, sambil menyatakan bahawa Marin di Kem Pendleton yang berdekatan sedang “berjaga-jaga”.

Pegawai keselamatan berdepan sekitar 100 penunjuk perasaan di kawasan Paramount di bahagian tenggara Los Angeles, di mana beberapa penunjuk perasaan mempamerkan bendera Mexico dan yang lain menutup mulut mereka dengan topeng pernafasan.

Satu lagi protes di pusat bandar Los Angeles pada 7 Jun malam menarik kira-kira 60 orang, yang melaungkan slogan, termasuk “ICE keluar dari LA!”, merujuk kepada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika (ICE).

Rumah Putih berkata dalam satu kenyataan bahawa Encik Trump menandatangani memorandum Presiden untuk mengerahkan tentera Pengawal Kebangsaan bagi “menangani pelanggaran undang-undang yang telah dibiarkan membara”.

Ketua Sempadan Encik Trump, Encik Tom Homan, memberitahu Fox News bahawa Pengawal Kebangsaan akan ditempatkan di Los Angeles pada petang 7 Jun.

Namun, Gabenor California, Encik Gavin Newsom, menggelar keputusan untuk mengerah Pengawal Kebangsaan sebagai satu langkah yang “sengaja menghasut”.

Dalam satu hantaran di X, Encik Newsom menyatakan bahawa Encik Trump mengerahkan Pengawal Kebangsaan “bukan kerana terdapat kekurangan penguatkuasaan undang-undang, tetapi kerana mereka mahukan tontonan”.

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut menambah: “Jangan berikan mereka (peluang). Jangan sekali-kali menggunakan keganasan. Bersuara secara aman.”

Encik Newsom berkata ia adalah “kelakuan tidak masuk akal” bagi Encik Hegseth untuk “mengancam mengerahkan Marin yang bertugas aktif di tanah Amerika terhadap rakyatnya sendiri”.

Encik Trump, dalam hantarannya di platform Truth Social berkata bahawa jika Encik Newsom dan Datuk Bandar Los Angeles, Cik Karen Bass tidak dapat menjalankan tugas mereka “maka pemerintah persekutuan akan campur tangan dan menyelesaikan masalah, rusuhan dan perompak, dengan cara ia harus diselesaikan!!!”

Protes itu berlaku di Los Angeles, sebuah kawasan yang dikendalikan oleh parti Demokrat – parti lawan Republikan Encik Trump – di mana data banci menunjukkan sebahagian besar penduduk adalah Hispanik dan kelahiran asing.

Di bawah pentadbiran Encik Trump, Rumah Putih telah mengambil tindakan tegas terhadap golongan pendatang haram sebagai ciri penggal kedua beliau.

“Pemberontak yang membawa bendera asing menyerang pegawai penguatkuasa imigresen, manakala separuh daripada kepimpinan politik Amerika telah memutuskan bahawa penguatkuasaan sempadan adalah jahat,” kata Naib Presiden, Encik J.D. Vance pada X lewat 7 Jun.

Encik Stephen Miller, timbalan ketua kakitangan Rumah Putih, menulis di X bahawa demonstrasi pada 6 Jun adalah “pemberontakan terhadap undang-undang dan kedaulatan Amerika Syarikat”.

Pada 7 Jun, beliau menyifatkan protes pada hari itu sebagai “pemberontakan yang ganas”.

Seorang pegawai berkata bahawa tentera Pengawal Kebangsaan boleh dikerahkan dengan cepat, dalam masa 24 jam dalam beberapa kes, dan bahawa tentera sedang berusaha mendapatkan 2,000 askar.

Undang-undang 1807 itu memberi kuasa kepada Presiden untuk mengerahkan tentera Amerika bagi menguatkuasakan undang-undang dan menyekat kejadian seperti gangguan awam.

Kali terakhir ia digunakan adalah semasa rusuhan Los Angeles 1992 atas permintaan gabenor California.

Rakaman video protes Paramount menunjukkan berpuluh-puluh anggota keselamatan berpakaian seragam hijau dengan topeng gas, berbaris di atas jalan yang berselerak dengan troli beli-belah yang terbalik ketika kanister kecil meletup.

Polis Los Angeles menyiarkan di X bahawa “beberapa orang telah ditahan kerana gagal bersurai selepas beberapa amaran dikeluarkan”.

Ia tidak memberikan butiran lanjut.

Tiada maklumat rasmi mengenai sebarang tangkapan.

“Sekarang mereka tahu bahawa mereka tidak boleh pergi ke mana-mana di dalam negara ini, di mana rakyat kita berada, dan cuba menculik pekerja kita, rakyat kita – mereka tidak boleh melakukannya tanpa tentangan yang teratur dan sengit,” kata seorang penunjuk perasaan, Encik Ron Gochez, 44 tahun.

Protes pertama bermula pada 6 Jun malam selepas ejen ICE menjalankan operasi penguatkuasaan di bandar dan menahan sekurang-kurangnya 44 orang atas dakwaan pelanggaran imigresen.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkata dalam satu kenyataan bahawa terdapat kira-kira “1,000 perusuh” pada protes pada 6 Jun. Reuters tidak dapat mengesahkan kenyataan DHS.

Pengarah eksekutif pertubuhan hak pendatang Chirla, Cik Angelica Salas, berkata peguam tidak mempunyai akses kepada mereka yang ditahan pada 6 Jun, yang disifatkannya sebagai “sangat membimbangkan”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg