Topik diikuti
Pergi ke BHkuPuan Halimah seru pelaburan pupuk keharmonian dalam kalangan generasi Asia Tenggara
Puan Halimah seru pelaburan pupuk keharmonian dalam kalangan generasi Asia Tenggara
Kardinal dari Filipina penerima sulung Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian bagi galak dialog, kerjasama antara pemimpin pelbagai agama
Puan Halimah seru pelaburan pupuk keharmonian dalam kalangan generasi Asia Tenggara
Mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, menggesa negara-negara Asia Tenggara melabur secara berterusan dalam melahirkan generasi baharu “juara keharmonian” bagi memastikan keamanan dan perpaduan masyarakat terus terpelihara ketika dunia berdepan polarisasi yang semakin ketara.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang selama ini menjadi kekuatan rantau ini boleh bertukar menjadi punca perpecahan jika setiap generasi gagal memupuk sikap saling menghormati, memahami dan mempercayai antara satu sama lain.
“Hari ini dunia lebih saling berhubung berbanding sebelum ini.
“Namun, masyarakat pada masa sama semakin berpecah belah. Teknologi memudahkan kita berkomunikasi, tetapi tidak semestinya membantu kita memahami antara satu sama lain.
“Kepelbagaian yang sepatutnya menjadi kekuatan kini terlalu kerap menjadi garis pemisah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penyampaian Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian di Hotel Indonesia Kempinski, Jakarta, pada 15 Julai.
Majlis itu turut menyaksikan Kardinal Orlando Beltran Quevedo, Uskup Agung Emeritus Cotabato, dari Filipina, diumumkan sebagai penerima sulung anugerah berkenaan atas sumbangan beliau mempromosikan keamanan, dialog antara agama dan persefahaman dalam kalangan masyarakat di Mindanao selama beberapa dekad.
Anugerah Keharmonian dalam Kepelbagaian diperkenalkan oleh Yayasan Temasek dengan kerjasama 5P Global Movement bagi mengiktiraf individu yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian antara masyarakat berbilang budaya di Asia Tenggara.
Puan Halimah berkata, keamanan dan keharmonian tidak akan wujud secara sendiri, sebaliknya perlu dibina secara terancang melalui dasar, institusi serta penyertaan aktif masyarakat.
“Setiap generasi perlu membuat pilihan secara sedar untuk memelihara dan mengukuhkan keharmonian. Ia bukan sesuatu yang boleh kita anggap akan terus kekal tanpa usaha,” katanya.
Menurut Puan Halimah, Asia Tenggara mempunyai pengalaman unik kerana masyarakat pelbagai agama, bahasa dan budaya telah lama hidup bersama secara aman.
“Masjid, gereja, kuil dan rumah ibadat lain berdiri bersebelahan di banyak tempat di rantau ini.
“Pengalaman ini membuktikan bahawa masyarakat boleh mengekalkan identiti masing-masing sambil menghormati perbezaan orang lain,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalamannya melawat Masjid Istiqlal dan Katedral Jakarta yang dihubungkan melalui Terowong Persahabatan sebelum menghadiri majlis berkenaan.
Terowong itu tambah beliau, menjadi lambang bahawa keharmonian lahir daripada pilihan untuk mendekati, mendengar dan membina hubungan merentasi perbezaan agama dan budaya.
“Ia mengingatkan kita bahawa persefahaman tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada kesediaan untuk menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Dalam ucapannya, Puan Halimah menggariskan tiga langkah utama bagi memperkukuh perpaduan sosial di rantau ini.
Langkah pertama ialah membina institusi dan ekosistem yang membolehkan masyarakat pelbagai kaum serta agama bekerjasama secara berterusan.
Beliau berkata, program khidmat masyarakat dan inisiatif kelestarian alam sekitar boleh menjadi wadah berkesan untuk menyatukan masyarakat kerana isu alam sekitar memberi kesan kepada semua tanpa mengira bangsa atau agama.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan kecelikan budaya dan agama supaya generasi muda bukan sahaja memahami budaya sendiri, malah mempunyai keyakinan untuk berinteraksi dengan masyarakat daripada latar belakang berbeza.
“Usaha ini mungkin kelihatan kecil hari ini, tetapi ia akan membentuk masyarakat yang bakal diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Langkah kedua ialah melahirkan lebih ramai individu yang mampu menjadi jambatan antara masyarakat berbeza.
Beliau berkata, rantau ini memerlukan lebih ramai pemimpin masyarakat, belia dan sukarelawan yang berupaya mengendalikan dialog secara matang serta membina kepercayaan antara komuniti.
Katanya, pelbagai program yang melibatkan belia, institusi pengajian tinggi, pertubuhan akar umbi dan kumpulan keagamaan telah membuktikan bahawa kemahiran berdialog boleh dipupuk sejak usia muda.
Beliau turut menarik perhatian kepada program Harmony Champions bersama Roses of Peace di Singapura yang melatih golongan belia memudah cara dialog antara agama.
Menurutnya, seorang peserta program itu mengakui sebelum ini beliau mengelakkan perbincangan mengenai kaum dan agama kerana bimbang tersilap percakapan, namun kini mampu memimpin perbincangan sedemikian dengan penuh empati dan keyakinan.
Puan Halimah berkata, usaha memperkukuh keharmonian juga perlu merangkumi semua lapisan masyarakat, termasuk pekerja migran.
Beliau berkata, melalui program Harmony Ambassadors, pekerja migran dilatih menjadi ejen perpaduan dalam komuniti masing-masing, sekali gus memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada usaha membina masyarakat yang lebih bersatu.
“Tiada masyarakat yang benar-benar bersatu jika masih ada anggota masyarakat yang tidak didengari atau terasing,” katanya.
Langkah ketiga pula ialah menjadikan amalan menghormati kepelbagaian sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Beliau berkata, keharmonian tidak boleh terhad kepada persidangan, dasar pemerintah atau program rasmi semata-mata, sebaliknya perlu dipraktikkan di sekolah, tempat kerja, kawasan kejiranan dan dalam kehidupan harian.
Mengulas pemilihan Kardinal Quevedo sebagai penerima pertama anugerah itu, Puan Halimah berkata tokoh agama tersebut membuktikan bahawa keamanan berkekalan bermula daripada tindakan yang sederhana tetapi tekal.
Menurutnya, Kardinal Quevedo berjaya mendekatkan masyarakat Islam, Kristian dan masyarakat pribumi di Mindanao melalui wadah Persidangan Uskup-Ulama yang menggalakkan dialog dan kerjasama antara pemimpin pelbagai agama.
“Beliau percaya kepada ‘dialog kehidupan’, iaitu membina keharmonian melalui kehidupan seharian.
“Kadangkala penyelesaian paling berkesan bukanlah melalui kenyataan besar atau perjanjian rumit, tetapi dengan duduk semeja, saling mendengar dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Puan Halimah turut memuji Yayasan Temasek dan 5P Global Movement atas usaha memperluaskan gerakan Keharmonian dalam Kepelbagaian di seluruh Asia Tenggara.
Beliau berharap rantau ini akan terus menjadi contoh kepada dunia bahawa kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya sumber kekuatan yang mampu melahirkan masyarakat lebih penyayang, terangkum dan bersatu untuk generasi akan datang.
