GENEVA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata 22 orang terbunuh dalam serangan pada 21 Jun, merosakkan pejabatnya di Gaza yang dikelilingi oleh ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal yang tinggal di dalam khemah.
ICRC tidak menyatakan pihak mana yang melepaskan “peluru berkaliber berat” tetapi dalam satu kenyataan di platform media sosial X berkata bahawa peluru itu “merosakkan struktur pejabat ICRC”.
Ia berkata 22 mayat dan 45 orang yang cedera telah dibawa ke hospital lapangan Palang Merah yang berhampiran, selepas berlaku tembakan dan terdapat “laporan kematian tambahan”.
Kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas berkata terdapat 25 orang yang maut dan 50 cedera dalam tembakan yang didakwa dilakukan oleh Israel.
Kementerian itu berkata serangan Israel telah “mensasarkan khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi” yang berada di sekitar pangkalan ICRC.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel tidak mengakui sebarang peranan dalam insiden itu, tetapi berkata kejadian itu “sedang disemak”.
“Siasatan awal yang dijalankan menunjukkan bahawa tiada petunjuk bahawa serangan telah dilakukan oleh IDF di kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi.
“Insiden itu sedang disemak,” kata jurucakap itu kepada AFP.
ICRC berkata: “Peluru berkaliber berat jatuh dalam jarak beberapa meter dari pejabat dan kediaman Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah pada petang Jumaat.
“Tembakan begitu berbahaya berhampiran dengan struktur kemanusiaan, yang lokasinya diketahui oleh pihak berkonflik dan jelas ditandakan dengan lambang Palang Merah, meletakkan nyawa orang awam dan kakitangan Palang Merah dalam bahaya,” tambah pertubuhan itu.
“Insiden keselamatan yang buruk ini adalah salah satu lagi daripada beberapa kejadian sejak beberapa hari kebelakangan ini,” tambahnya.
“Sebelum ini peluru sesat telah terkena struktur ICRC. Kami mengutuk insiden ini yang membahayakan nyawa manusia dan orang awam.”
ICRC telah membuat gesaan yang semakin mendesak agar Israel dan Hamas menghormati undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam yang terperangkap di tengah-tengah konflik yang tercetus menyusuli serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Menyeru kedua-dua pihak agar berusaha lebih gigih untuk melindungi orang awam “tidak kira di pihak mana mereka berada”, ketua ICRC, Cik Mirjana Spoljaric, berkata harus ada “batas antara kemanusiaan dengan kekejaman”. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg