DAGESTAN (Russia): Beberapa lelaki bersenjata telah menyerang gereja, rumah ibadat Yahudi dan pondok polis di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara Russia, membunuh sekurang-kurangnya 15 pegawai polis dan beberapa orang awam serta seorang paderi ortodoks, kata pihak berkuasa.
Sekurang-kurangnya 12 orang turut cedera dalam serangan itu yang berlaku di bandar Derbent dan Makhachkala pada 23 Jun, semasa perayaan Pentakosta untuk Gereja Ortodoks Russia.
Video yang disiarkan di media sosial dan ditayangkan di televisyen Russia menunjukkan ruang angkasa Derbent, tempat terletaknya rumah ibadah masyarakat Yahudi purba di wilayah kebanyakannya Islam, diselubungi asap dan api selepas rumah ibadah itu dibakar.
Tempat ibadah juga diserang di Makhachkala, ibu kota Dagestan dan bandar terbesarnya, sejauh kira-kira 125 kilometer dan pondok polis turut diserang.
Jawatankuasa Siasatan Russia berkata ia telah membuka siasatan jenayah berhubung “tindakan keganasan” di Dagestan, yang berjiran dengan Chechnya dan merupakan salah satu kawasan termiskin di Russia.
“Petang ini di bandar Derbent dan Makhachkala serangan bersenjata dilakukan ke atas dua gereja ortodoks, rumah ibadat dan pusat pemeriksaan polis,” kata Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan dalam satu kenyataan kepada agensi berita, RIA Novosti.
“Akibat daripada serangan pengganas, berdasarkan maklumat awal, seorang paderi dari Gereja Ortodoks Russia dan pegawai polis terbunuh.”
Gereja Ortodoks Russia berkata paderi utamanya, Nikolai Kotelnikov, telah “dibunuh dengan kejam” di Derbent.
Serangan ke atas rumah ibadat Yahudi di Derbent berlaku kira-kira 40 minit sebelum solat maghrib dimulakan.
“Sinagog di Derbent dibakar,” kata pengerusi majlis awam Persekutuan Komuniti Yahudi Russia, Boruch Gorin, menulis di Telegram.
“Sinagog di Makhachkala juga telah dibakar.”
Rabai Makhachkala, Rami Davidov, kemudian memberitahu RIA Novosti yang dikendalikan pemerintah, bahawa tiada sesiapa yang terbunuh atau cedera di sana.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Dagestan berkata 19 orang bersembunyi dalam sebuah gereja di bandar itu, sebelum mereka dibawa ke tempat selamat.
Ketua Republik Dagestan, Encik Sergei Melikov, berkata enam penyerang telah “dilumpuhkan”.
Agensi berita Russia, Tass, memetik agensi penguatkuasaan undang-undang sebagai melaporkan bahawa lelaki bersenjata itu adalah anggota “pertubuhan pengganas antarabangsa”.
Penyerang masih belum dikenal pasti. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg