JAKARTA: Jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia semakin memburuk sehingga menyebabkan puluhan penerbangan di beberapa wilayah Sumatera tergendala sejak beberapa hari lalu, apabila jarak penglihatan merosot ke paras yang membahayakan keselamatan penerbangan.

Keadaan itu turut menjejaskan kesihatan penduduk, dengan kira-kira 28,000 kes jangkitan saluran pernafasan akut dilaporkan di Riau sejak Ogos, selain mengancam habitat hidupan liar termasuk orang utan yang terpaksa meredah api untuk menyelamatkan diri.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II, Palembang, lima penerbangan mengalami kelewatan pada pagi 8 Oktober selepas jarak penglihatan merosot kepada kurang 600 meter, iaitu di bawah paras minimum yang diperlukan untuk operasi penerbangan.

Pengurus Besar lapangan terbang itu, Encik Ahmad Syaugi Sahab, berkata penerbangan terjejas membabitkan tiga pelepasan ke Jakarta dan Pangkalpinang di Kepulauan Bangka Belitung, serta dua penerbangan masuk dari Yogyakarta dan Jakarta.

“Jarak penglihatan di lapangan terbang merosot di bawah paras minimum operasi 600 meter akibat jerebu pagi ini. Oleh itu, kami terpaksa menangguhkan beberapa penerbangan bagi memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal,” katanya, menurut laporan Detik.com.

Gangguan terbaru itu berlaku selepas 18 penerbangan di lapangan terbang sama terjejas pada 3 Oktober akibat keadaan jerebu yang turut menyebabkan jarak penglihatan merosot di bawah paras selamat.

Di Pekanbaru, Riau, dua penerbangan dari Jakarta gagal mendarat di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim pada pagi 7 Oktober apabila jarak penglihatan merosot kepada hanya 600 meter.

Sebuah pesawat Lion Air terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, manakala penerbangan Citilink dialihkan ke Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, Kepulauan Riau.

Di wilayah Jambi pula, lapan penerbangan dari dan ke Jakarta terpaksa ditangguhkan atau dijadualkan semula pada 7 Oktober akibat jerebu tebal di Lapangan Terbang Sultan Thaha.

Jurucakap lapangan terbang itu, Encik Bachren, berkata jarak penglihatan merosot daripada 1,500 meter pada 6 pagi kepada 800 meter menjelang tengah hari 8 Oktober.

Keadaan sama turut berlaku di Lapangan Terbang Silangit, Tapanuli Utara, Sumatera Utara, apabila jarak penglihatan merosot kepada satu kilometer pada 7 Oktober, ketika kawasan berkenaan diselubungi jerebu untuk hari kedua berturut-turut.

Gangguan penerbangan itu berlaku ketika Indonesia mencatatkan penurunan ketara sebanyak 67 peratus jumlah kawasan panas kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara.

Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan sebanyak 387 kawasan panas dikesan menerusi sistem pemantauan Data Sistem Pemantauan Kebakaran Hutan dan Tanah (SiPongi) Kementerian Kehutanan IndonesiaSiPongi, setakat 9.10 malam waktu tempatan pada 8 Oktober, berbanding 1,176 pada hari sebelumnya.

Sumatera Selatan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 130 kawasan panas, diikuti Kalimantan Tengah (86), Kalimantan Selatan (37), Kalimantan Barat (12) dan Jambi (tiga), manakala Riau tidak mencatatkan sebarang kawasan panas dalam pemantauan tersebut.

Walaupun jumlah kawasan panas berkurangan, kementerian itu mengingatkan bahawa risiko kebakaran masih tinggi akibat cuaca kering berpanjangan.

Sebanyak 61 pesawat masih disediakan untuk operasi memadamkan kebakaran, termasuk 44 pesawat pengeboman air dan 17 pesawat bagi rondaan udara serta pembenihan awan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) pula memberi amaran bahawa fenomena El Nino yang sangat kuat dan keadaan Dwikutub Lautan Hindi (IOD) positif terus menghalang pembentukan awan hujan.

BMKG meramalkan sebanyak 66.09 peratus kawasan Indonesia akan menerima taburan hujan rendah, antara sifar dengan 50 milimeter, dalam tempoh 10 hari kedua Oktober.

Sementara itu, kesan jerebu terhadap kesihatan semakin membimbangkan apabila kira-kira 28,000 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan di Riau sejak 19 Ogos.

Ketua Jabatan Kesihatan Riau, Encik Zulkifli, berkata sebanyak 331 kes dilaporkan pada 6 Oktober, diikuti 263 kes pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan itu belum disaring bagi mengenal pasti pesakit yang mendapatkan rawatan berulang kali dan tidak semua kes semestinya berpunca daripada jerebu.

Pihak berkuasa kini mengaktifkan lima pos kesihatan di Pekanbaru yang dilengkapi petugas perubatan dan ambulans, selain menyediakan pusat rawatan sementara serta kemudahan bekalan oksigen.

Di Siak dan Kampar, yang mencatatkan tahap pencemaran udara berbahaya, pelitup muka turut diagihkan kepada penduduk.

Kebakaran hutan itu turut mengancam hidupan liar apabila seekor orang utan betina berusia antara tiga dengan empat tahun mengalami kecederaan melecur selepas meredah api untuk menyelamatkan diri di Kalimantan Tengah.

Orang utan yang dinamakan Novita itu ditemukan berpaut pada sebatang pokok di kawasan hutan terbakar pada penghujung September sebelum diselamatkan pasukan Yayasan Kelangsungan Hidup Orang Utan Borneo.

Novita kini menerima rawatan rapi di Pusat Pemulihan Nyaru Menteng, Palangkaraya, selepas mengalami kecederaan melecur pada tangan, tapak kaki dan jari kakinya.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Encik Jamartin Sihite, berkata haiwan berkenaan terpaksa meredah kawasan yang sedang terbakar sebelum berjaya memanjat pokok untuk berlindung.

“Kami menyelamatkannya dari kawasan yang sedang terbakar. Sebelum kami tiba, dia terpaksa meredah api untuk sampai ke pokok itu dan memanjatnya. Akibatnya, tapak dan jari kakinya melecur,” katanya.

Walaupun jumlah kawasan panas semakin berkurangan, keadaan jerebu yang masih menjejaskan penerbangan, kesihatan penduduk dan hidupan liar menunjukkan ancaman kebakaran hutan Indonesia belum berakhir. – Agensi berita.